Topic: - Other Reports
KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Inovasi Kebangsaan (NICE) 2007 yang bermula semalam, dijangka mendapat sambutan luar biasa orang ramai dengan tumpuan kepada mesyuarat Majlis Inovasi Kebangsaan (NIC) kedua, pada Jumaat ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, mesyuarat pertama NIC yang diadakan pada 4 Disember tahun lepas, telah memutuskan supaya pameran inovasi yang diadakan sempena mesyuarat tersebut dijadikan acara tahunan.
Mesyuarat tersebut, katanya, melibatkan 38 ahli terdiri daripada pakar tempatan dan antarabangsa serta firma perundingan yang dilantik bagi memberi input kepada kerajaan untuk menggubal model inovasi.
"Pada tahun ini, NICE 2007 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mempunyai signifikan, selaras dengan usaha untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan inovasi serta merangsang serta menggalakkan budaya inovasi di setiap peringkat masyarakat, khususnya generasi muda," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan penganjuran NICE 2007 di sini, baru-baru ini.
Katanya, NICE 2007 yang berakhir pada 30 Disember dan bertemakan Inovasi Untuk Menjana Kekayaan dan Kesejahteraan Sosial turut diisi dengan pelbagai program dan aktiviti melibatkan persidangan, pameran, bengkel dan sesi plenari.
Kata beliau, sempena penganjuran NICE 2007 juga, satu pameran diadakan yang menampilkan bahan-bahan inovasi sains dan teknologi semasa dengan tumpuan kepada produk, perkhidmatan, inovasi sekolah dan inovasi akar umbi.
Pameran tersebut terdiri daripada 30 pameran akan umbi, kategori produk (20), perkhidmatan (14) dan sekolah (10).
Menurut Jamaludin lagi, pameran tersebut turut disertai oleh agensi penyelidikan yang menerima geran penyelidikan daripada kementeriannya, manakala acara yang dijangka paling menarik perhatian ialah Pameran Angkasawan.
"Pameran angkasawan memberi peluang kepada pengunjung untuk bertemu angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha," ujarnya.
Turut diadakan serentak sempena NICE 2007 ialah empat acara terbesar iaitu Persidangan BioMalaysia 2007, Waste 2 Wealth atau W2W (daripada bahan sisa kepada bahan berguna), RoboFest dan Nanotech Malaysia 2007.
Persidangan BioMalaysia merupakan acara perdana tahunan yang menemukan profesional, eksekutif, usahawan, pelabur dan penggubal dasar dari seluruh dunia menubuhkan jaringan dan berkongsi pendapat.
RoboFest pula merupakan satu pertandingan robot yang melibatkan beberapa peringkat iaitu institusi pengajian tinggi, sekolah menengah dan rendah bertujuan merangsang minat peserta pertandingan dan pelawat dalam bidang inovasi.
Dalam pada itu, Nanotech Malaysia 2007 pula merangkumi simposium dan forum bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pendedahan mengenai pembangunan penyelidikan nanoteknologi semasa.
Pada masa yang sama, penganjuran W2W pula bertujuan supaya rakyat menyedari kepentingan teknologi sedia ada untuk menjana kekayaan daripada hasil buangan.
"Sempena persidangan kali ini juga, satu majlis penyampaian Anugerah Inovasi Negara 2007 akan diadakan pada Jumaat dan pemberian Anugerah Frost & Sullivan kepada Mimos Berhad serta beberapa dokumen antara agensi kerajaan serta syarikat swasta," ujarnya.
Sumber: Utusan Online