« February 2015 »
S M T W T F S
1 2 3 4 5 6 7
8 9 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
Articles by Topic
All topics лл
- '08 Visits (Local)
- '08 Visits (O'seas)
- 6-Part Round-up
- Abt the Final 2
- Accolades
- Astronaut/Tourist?
- By Dr Sheikh
- Challenges/Hurdles
- Dr Sheikh
- Editorials (Tributes)
- In Memoriam
- Life in Russia
- LIMA & MISA
- Other Reports
- P1 - Pre-Launch
- P2 - Launch
- P3 - Dock
- P4 - On ISS
- P5 - Undock/Return
- P6 - A New Start
- Prog's Champions
- Rehab. Updates
- Selection Process
- The 2nd Angkasawan
- The Experience
- The Experiments
- The ISS
- The Prog. - Future
- The Prog. - General
- Training Updates
- Var. Formal Appear'ce
- Well-wishes
DR SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR & THE ANGKASAWAN PROGRAMME

A Compilation of News, Updates & Press Releases

DISCLAIMER: This is an independent non-profit website. This website neither advertises nor is promoted by any of the media sites mentioned herein. Views expressed in the individual articles are those of their respective writers/journalists/media sites and not of the owner of this website, unless otherwise stated. This collection serves as a repository for future reference only. All articles and images remain the property of their original sources.

Sunday, 13 July 2008
CORETAN ANGKASAWAN - KERJAYA DOKTOR BUKAN UNTUK JADI KAYA
Topic: - By Dr Sheikh

DR Sheikh Muszaphar memangku seorang kanak-kanak Afghanistan ketika berada di negara itu.

Pelajar perubatan mesti bersikap tabah, tidak pernah mengaku kalah

INGAT zaman kecil-kecil dulu? Kebanyakan orang dewasa sekarang pasti tidak dapat melupakan apabila ditanya mengenai cita-cita mereka ketika itu.

Itu kisah zaman dulu! Saya perhatikan berlaku anjakan paradigma terhadap pemikiran kanak-kanak sejak penghantaran seorang anak Malaysia ke angkasa lepas. Kini ramai memberitahu mahu menceburi bidang sains dan teknologi.

Ramai yang menamakan angkasawan, doktor dan saintis sebagai kerjaya dan ini cukup membanggakan.

Kini kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sudah diketahui. Kepada yang berjaya, apatah lagi mengikuti kursus diminati, saya mengucapkan tahniah.

Setiap tahun, antara bidang yang menjadi pilihan ramai ialah perubatan, tetapi tempat adalah terhad. Ini menyebabkan sesetengah pelajar dan ibu bapa sendiri kecewa kerana walaupun keputusan cemerlang, masih gagal memasuki Fakulti Perubatan.

Adakah keputusan akademik yang cemerlang saja mencukupi? Anda harus memiliki pelbagai kriteria lain untuk menjadi doktor yang berjaya.

Memang keputusan cemerlang, terutama dalam subjek sains adalah asas pemilihan untuk memasuki bidang perubatan kerana ini menunjukkan pelajar mempunyai minat mendalam dan kerajinan yang tinggi.

Bagaimanapun, ada yang terkandas separuh jalan apabila menarik diri atau gagal dalam peperiksaan, apatah lagi tempoh kursus perubatan adalah panjang, iaitu antara lima hingga enam tahun.

Oleh itu, mereka yang bergelar mahasiswa perubatan harus tabah bagi memastikan akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah.

Untuk menjadi seorang doktor, anda harus sentiasa bersikap tabah, penuh perasaan, penyayang, minat mendalam merawat pesakit dan tidak mempunyai sikap mengaku kalah.

Kepada yang sudah memilih doktor sebagai kerjaya, syabas kerana kerjaya ini yang membantu mereka yang memerlukan bantuan adalah mulia. Keinginan menjadi doktor juga harus datang dari diri sendiri dan bukan orang lain, walaupun ibu bapa.

Secara peribadi, saya bercita-cita menjadi doktor sejak berumur enam tahun kerana sering diberi galakan ‘psikologi’ oleh ayah. Mungkin kerana ayah gagal menjadi doktor dan menaruh harapan agar ada anaknya meneruskan impian beliau. Bagaimanapun, minat sebenar bermula apabila memasuki program pra perubatan.

Menjadi doktor juga tidak sepatutnya kerana pangkat atau wang, tetapi untuk membantu pesakit yang menderita. Perasaan puas menyelimuti diri apabila melihat pesakit kembali sihat dan inilah yang harus dicari oleh setiap insan bergelar doktor.

Kepada, pelajar yang berkelayakan dan berminat, tetapi gagal mendapat tempat di IPTA, jangan putus asa. Ikhtiar cara lain. Jika terpaksa melanjutkan pengajian ke luar negara, jangan pandang ke belakang. Teruskan usaha untuk mengejar impian.

Saya tidak menafikan bahawa kos yang tinggi mengehadkan peluang meneruskan cita-cita ini. Oleh itu, berbincanglah dengan ibu bapa agar pengajian tidak berhenti separuh jalan. Saya yakin ibu bapa akan memahami situasi anda jika berterus terang kepada mereka.

Mahasiswa perubatan melalui banyak cabaran. Membaca buku perubatan yang tebal sudah menjadi kebiasaan. Ketika tahun pertama, mereka didedahkan kepada mayat untuk autopsi setiap hari.

Anda harus berani membedah setiap bahagian mayat, termasuk organ dan otak. Anda tidak boleh mempunyai perasaan geli atau takut. Subjek anatomi menjadi kegemaran saya ketika itu dan bau formalin yang kuat sebati dengan diri saya.

Ada mahasiswa terus menarik diri apabila pertama kali melihat mayat, malah ada yang pengsan apabila membelah jantung dan otak. Pastikan anda tidak takut darah. Ini semua untuk membiasakan diri apabila berdepan pesakit sebenar apabila menjadi doktor.

Bagi tempoh dua atau tiga tahun pertama, pengajian lebih tertumpu kepada menghafal dan menelaah buku yang tebal. Paling menarik apabila memasuki peringkat klinikal pada tahun empat dan lima apabila pesakit sebenar dengan pelbagai jenis penyakit berada di depan mata.

Anda harus mempunyai sikap penyayang apabila merawat pesakit kerana mereka datang dengan harapan tinggi untuk mendapat rawatan. Jangan harapkan bayaran lumayan apabila menjadi doktor. Ia bukan kerjaya untuk menjadi kaya, tetapi kepuasan tidak terhingga apabila merawat pesakit yang memerlukan.

Antara pengalaman paling manis saya ialah apabila merawat pesakit di Afghanistan, terutama golongan wanita dan kanak-kanak. Sedih dan hiba apabila mereka terpaksa menjual ubat yang diberi untuk mendapatkan wang. Nampaknya wang untuk membeli makanan seperti roti dan beras lebih penting daripada kesihatan sendiri.

Saya menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang perubatan kerana negara masih kekurangan doktor. Saya harap mereka terus berusaha menjadi doktor pakar dalam bidang yang diminati supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Percayalah! Doktor adalah kerjaya yang mulia dan tidak dapat digantikan dengan wang. Sudah pasti doktor menjadi pilihan saya selain menjadi angkasawan. Saya mendoakan mereka yang memasuki bidang perubatan dan menjadi doktor terus berusaha gigih membantu masyarakat, terutama golongan miskin.

Wassalam
Dr Sheikh Muszaphar


SOALAN: Bagaimanakah cara Dr belajar di asrama kerana di sini, pelajar tidak diawasi oleh guru?

Dpd: Siti Afrina Akmar Alwi, 13 @ Kuala Lumpur 


JAWAPAN:
Apabila anda berada di asrama, ibu bapa tidak lagi dapat melihat anda seperti di rumah. Guru juga tidak dapat mengawasi anda sepenuhnya kerana bilangan pelajar yang ramai. Semua bergantung kepada pelajar sendiri.

Anda harus mempunyai disiplin tinggi dan bergaul dengan kawan yang sentiasa memberi galakan positif. Tubuhkan ‘study group’ yang membolehkan anda berbincang mengenai pelajaran, tetapi jangan terlalu ramai (maksimum lima orang).

Pastikan anda sentiasa rapat dengan guru yang sentiasa bersedia untuk memberi bimbingan. Hanya anda yang mampu mencorak masa depan untuk berjaya dengan cemerlang. Anda juga harus aktif dalam bidang kokurikulum. Sertailah kelab berpidato atau berbahas kerana ini pasti dapat membentuk personaliti anda untuk berani menghadapi cabaran pada masa depan.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 6 July 2008
CORETAN ANGKASAWAN - SEMAI SIKAP 'ULAT BUKU'
Topic: - By Dr Sheikh

DR Muszaphar melayan peminat kecil di Singapura.

Dr Muszaphar galak ibu pupuk hobi membaca anak sejak kecil

SINGAPURA adalah negara keempat selepas Amerika Syarikat, Indonesia dan Brunei yang membolehkan saya berkongsi pengalaman ketika di angkasa lepas. Sebenarnya, banyak jemputan diterima dari negara lain, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana tumpuan utama adalah kepada negara sendiri.

Walaupun hanya di seberang Selat Tebrau, kali terakhir saya ke Singapura ialah kira-kira 15 tahun lalu, suatu tempoh yang cukup lama. Sudah tentu, banyak perubahan yang berlaku di negara jiran sepanjang tempoh itu.

Saya dijemput oleh Jamiyah Singapura, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak bangsa Melayu dan Islam di negara itu. Saya diberi peluang berucap dalam 'Forum Kepimpinan Komuniti' dengan harapan untuk menyuntik inspirasi kepada belia agar lebih berjaya.

Bagi saya, kesempatan ke Singapura adalah suatu kepuasan kerana dapat membantu melakukan perubahan dalam kehidupan setiap insan. Insya-Allah dengan harapan, mereka juga mampu mengejar impian masing-masing.

Saya berada di Singapura selama dua hari dan berasakan tempoh itu amat singkat kerana terpaksa bergegas pulang untuk memberikan ceramah motivasi di Kuala Lumpur pada keesokan hari.

Walaupun singkat, saya berkesempatan melawat sebuah rumah anak yatim orang Islam yang ditinggalkan oleh ibu bapa kerana pelbagai faktor. Anak-anak ini dijaga oleh pegawai Jamiyah yang terlatih bagi menjamin pendidikan dan masa depan mereka lebih terjamin.

Saya juga berkesempatan berkongsi pengalaman dan memberi ceramah motivasi kepada belia yang kebanyakan mereka bersemangat untuk mengetahui penjelajahan ke angkasa lepas. Tidak ada beza antara anak Singapura dan anak Malaysia.

Orang Islam di Singapura adalah golongan minoriti, iaitu kira-kira 220,000 orang berbanding jumlah keseluruhan penduduk Singapura seramai lima juta orang, tetapi mereka mendapat sokongan kerajaan Singapura untuk mempertingkatkan taraf hidup.

Orang Melayu dan Islam patut berasa bertuah tinggal di Malaysia kerana kerajaan kita memperjuangkan hak mereka. Oleh itu, kita harus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh. Tidak ada sebab kita tidak boleh berjaya mengejar impian berbanding negara lain.

Kini saya giat bekerjasama dengan perpustakaan seluruh negara setelah dipilih menjadi 'Ikon Membaca' untuk memupuk minat suka membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Program 'Setiap Bayi Satu Buku' yang dilancarkan di seluruh negara amat baik untuk memupuk sikap membaca di kalangan rakyat. Kita bukan hanya perlu menggalakkan sikap suka membaca di kalangan remaja, tetapi sikap ini harus bermula dari ibu yang bakal melahirkan anak.

Melalui kempen itu, buku yang dibuat dari kain diberikan kepada bakal ibu bagi menggantikan 'bantal busuk' dengan harapan pertalian antara buku dan kanak-kanak akan dijadikan satu keperluan yang berterusan untuk memupuk sikap membaca di kalangan anak-anak.

"Budaya Membaca Budaya Berjaya" yang dipilih sebagai tema kempen membaca pada tahun ini amat tepat untuk menyampaikan mesej bagi mencapai matlamat melahirkan modal insan yang intelektual dalam tempoh terdekat ini.

Saya sudah melawat Sarawak, Perlis dan Pulau Pinang bagi menjayakan program 'Setiap Bayi Satu Buku' bersama Datin Seri Zainab Abdul Kader, yang mengilhamkan program ini sejak awal lagi dan berharap dapat meneruskan program yang bermanfaat ini ke seluruh negara dalam tempoh terdekat ini. Insya-Allah.

Selain itu, saya kini bergiat aktif bekerjasama bersama Pride dan Avon mengetengahkan 'Program Kesedaran Kanser Payu Dara' di kalangan wanita negara ini. Kempen ini bertujuan menyedarkan wanita supaya menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan barah payu dara yang lazimnya dapat mengelakkan penyakit berbahaya itu.


Kekuatan minda kunci kejayaan

SOALAN: Bagaimana Dr membuatkan diri supaya sentiasa bermotivasi tinggi?

Dpd: Aainaa Nur Raihana Abdullah @ Petaling Jaya, Selangor 


JAWAPAN:
Banyakkan membaca buku yang berunsurkan motivasi dan bergaul dengan kawan berfikiran positif yang sentiasa mempercayai kemampuan anda. Elakkan berkawan dengan mereka yang berjiwa negatif.

Kekuatan minda untuk berjaya adalah kunci kejawaan seseorang. Kekuatan minda yang membuat saya terpilih sebagai Angkasawan Negara.


INFO

Pembaca yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai program angkasa lepas dan penghantaran angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, boleh berbuat demikian dengan menghantar soalan ke alamat e-mel Berita Minggu, iaitu bminggu@bharian.com.my atau melalui surat ke alamat Soalan Kolum Coretan Angkasawan - Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 29 June 2008
CORETAN ANGKASAWAN - MALU BIAR BERTEMPAT
Topic: - By Dr Sheikh

DR SHEIKH Muszaphar menandatangani autograf selepas Program Penggalakan Sains dan Teknologi di Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, Kedah, baru-baru ini.

Pelajar mesti berani untuk tampil sebagai anak Melayu yang berjaya di peringkat antarabangsa.

Selepas melawat lebih 150 sekolah dan universiti di seluruh negara, baik di kawasan bandar mahu pun luar bandar, banyak perkara yang dapat saya lihat dan ingin dikongsi bersama pembaca Berita Minggu.

Memang tidak dinafikan terdapat perbezaan ketara di kalangan pelajar yang saya temui, tetapi secara umum, kesan program angkasawan di kalangan pelajar amat menggalakkan.

Mereka bertanya pelbagai soalan mengenai kehidupan di angkasa lepas dan paling penting adalah soalan yang dikemukakan berkualiti. Perasaan ingin tahu ini membuktikan minat yang sangat mendalam di kalangan pelajar.

Saya dapati semua pelajar yang ditemui sangat meminati bidang angkasa lepas. Ramai yang mempunyai impian untuk menjadi angkasawan, tetapi saya sering menekankan bahawa anda tidak semesti menjadi angkasawan.

Anda boleh menjadi doktor, saintis dan jurutera angkasa lepas untuk memberi sumbangan memajukan industri angkasa lepas. Oleh itu, pelajar perlu memberi tumpuan terhadap pelajaran, terutama bidang sains dan matematik.

Kepada pelajar, negara dan semesti ibu bapa menaruh harapan agar mereka menjadi modal insan berilmu dan intelektual yang membawa Malaysia ke era baru lebih gemilang.

Saya mendapati pelajar bandar mempunyai kelebihan dari segi kemudahan dan infrastruktur yang boleh membantu mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Buku astronomi dan angkasa lepas hanya boleh dibeli di kedai buku ternama di bandar besar. Penguasaan bahasa Inggeris juga membantu membuat kajian lebih mendalam, selain dibantu kemudahan internet dan e-buku yang mudah didapati.

Pelajar bandar lebih berani bertanyakan pelbagai soalan. Ini mungkin hasil pendedahan yang diberikan ibu bapa sejak kecil. Saya sering memberitahu pelajar supaya tidak mempunyai perasaan malu atau takut untuk bertanya sebarang soalan.

Perasaan malu dan takut menyukarkan kita mencapai kejayaan. Untuk bersaing, kita tidak boleh segan silu, sebaliknya mesti berani untuk tampil sebagai anak Melayu di peringkat antarabangsa.

Setakat jaguh kampung tidak memadai dan harus menjadi yang terbaik dalam apa juga bidang yang diceburi. Malu biarlah bertempat.

Sebagai perbandingan, pelajar luar bandar nampak lebih bersikap malu dan segan. Ini mungkin kerana kurang pendedahan, tetapi semangat mereka yang berkobar-kobar untuk mempelajari perkara baru dapat dirasai.

Raut wajah menampakkan mereka begitu berminat dan tekun mendengar setiap pengalaman yang dikongsi bersama. Tersentuh hati apabila ramai pelajar naik ke pentas untuk mendapatkan pelukan dari angkasawan negara. Ini membuatkan diri ini lebih berusaha berjumpa pelajar di kawasan luar bandar untuk menyuntik inspirasi kepada mereka.

Kekurangan infrastruktur dan kemudahan juga membuatkan pelajar luar bandar amat dahagakan ilmu . Saya berpendapat kerajaan perlu menitikberatkan serta memberi perhatian terhadap pelajar luar bandar supaya impian mereka juga menjadi kenyataan.

Sebagai alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), saya dapati MRSM mempunyai sistem pendidikan yang unik dan perlu dibanggakan apabila berjaya melahirkan golongan bijak pandai di kalangan pelajar luar bandar.

Syabas kepada Mara (Majlis Amanah Rakyat) terhadap usaha mereka yang kini membuahkan kejayaan. Selain itu, saya perhatikan kebanyakan pelajar yang cemerlang dalam keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) datang dari sekolah agama di seluruh negara.

Ini jelas menunjukkan keberkesanan sistem pendidikan yang diterapkan oleh guru mereka yang bertauliah dan berkebolehan.

Pendek kata, kejayaan pelajar akhirnya bergantung kepada keinginan mereka sendiri untuk berjaya. Berusahalah bersungguh-sungguh, gigih dan sentiasa dahagakan ilmu.

Pelajar sendiri harus mengambil inisiatif untuk melakukan yang terbaik bagi mengejar impian mereka. Guru dan ibu bapa pula sentiasa bersedia membimbing mereka ke arah kejayaan dan merealisasikan impian Wawasan 2020.

Sebelum berpisah, saya menggalakkan pembaca Berita Minggu mengemukakan soalan mengenai pelbagai perkara dan tidak semestinya hanya mengenai angkasa lepas. Sebagai contoh, soalan boleh ditanya mengenai pelajaran dan motivasi diri. Jumpa lagi.

Wassalam

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 22 June 2008
CORETAN ANGKASAWAN - SETIAP HARI BADAN BERBAU MAYAT
Topic: - By Dr Sheikh

DR SHEIKH dikerumuni pelajar selepas menyampaikan ceramah motivasi ketika melawat Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah.

Pelajar perubatan di Manipal dapat satu mayat seorang khusus untuk subjek anatomi.

SEBELUM ini, saya pernah menceritakan pengalaman di India ketika mengikuti kursus A Level di Manipal Junior College selama dua tahun. Itu hanya permulaan.

Pengalaman sebenar mengikuti kursus perubatan peringkat universiti bermula apabila diterima memasuki Kasturba Medical College (KMC) di Manipal. Bermula 1991, saya belajar di sini hingga tamat pengajian pada 1997.

Memasuki universiti ibarat suatu dunia baru. Segala perkara berbeza. Bagaimanapun, saya juga datang dengan semangat baru. Ramai pelajar warga asing dari setiap pelusuk dunia mengikuti kursus perubatan di sini. Saya bersyukur diterima sebagai antara 180 mahasiswa tahun pertama.

Anatomi, fisiologi dan biokimia adalah mata pelajaran yang diajar pada tahun pertama. Mata pelajaran kegemaran saya sudah pasti adalah anatomi. Saya bersama sembilan mahasiswa lain diberi satu mayat. Setiap hari, kami berhempas pulas memeriksa dan membedah mayat yang kami namakan sebagai Max.

Setiap petang sebelum pulang, badan kami melekat dengan bau formalin yang datang dari mayat itu dan terpaksa bergegas pulang untuk mandi bagi menghilangkan bau itu.

Kami mempelajari setiap lapisan otot, urat dan salur darah tubuh manusia. Paling menyeronokkan apabila membedah jantung dan otak. Kalau dulu sudah biasa dengan katak dan tupai, kini tubuh manusia sebenar dijadikan subjek setiap hari.

Terima kasih kepada abah yang sering menggalakkan saya membaca buku bertemakan sains dan biologi sejak kecil. Pengalaman dan minat yang mendalam sejak awal sudah pasti membantu saya melalui liku-liku kehidupan sebagai seorang doktor perubatan.

Di Manipal, saya aktif dalam sukan renang. Apatah lagi KMC mempunyai kolam renang saiz Olimpik dan setiap petang, saya tidak melepaskan peluang berlatih berenang.

Apabila memasuki tahun ketiga dan keempat, mata pelajaran yang perlu dipelajari semakin banyak seperti farmakologi, forensik, perubatan dan surgeri. Apabila memasuki peringkat klinikal, keadaan menjadi semakin rumit kerana perlu berinteraksi dengan pesakit yang kebanyakannya adalah penduduk kampung yang tidak boleh bertutur bahasa Inggeris.

Penyelesaiannya? Kami terpaksa mempelajari bahasa tempatan serba sedikit untuk membantu memberikan rawatan terbaik kepada mereka.

Bukan hanya di India, saya percaya mahasiswa perubatan tanah air yang belajar di Mesir dan Russia juga terpaksa mahir dalam bahasa tempatan untuk lulus dalam peperiksaan klinikal.

Untuk menjadi seorang doktor, tidak semesti hanya duduk di perpustakaan seperti anggapan kebanyakan pihak. Saya memastikan setiap hari menghabiskan masa selama dua jam mengulang kaji pelajaran.

Saya juga bersosial dan menyelami kehidupan penduduk tempatan. India adalah sebuah negara yang besar, kaya dengan sejarah dan sungguh menyeronokkan dijelajahi. Saya menaiki kereta api dan mengembara hingga New Delhi, melawat tempat bersejarah seperti Kashmir, Hyderabad, Goa dan semestinya keajaiban Taj Mahal di Agra.

Kesempatan tinggal bersama keluarga India sebagai anak angkat saya gunakan untuk mempelajari dengan lebih mendalam budaya mereka. Di sini, saya melihat jurang antara golongan kaya dan miskin sangat besar. Perasaan sayu apabila melihat kanak-kanak kecil yang mengemis di bandar.

Saya akhirnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir. Ijazah perubatan kelas pertama dan akhirnya kami bergelar doktor. Perjalanan yang jauh dan penuh berliku, tetapi kaya dengan pengalaman tidak dapat dilupakan.

Bagaimanapun, saya tidak terus pulang kerana perlu mengikuti setahun lagi 'housemanship' merawat dan mempelajari pelbagai penyakit. India dengan jumlah penduduk yang sangat ramai adalah tempat terbaik untuk mengikuti bidang perubatan kerana pelbagai penyakit yang dapat dipelajari.

Keseluruhan masa yang saya lalui di India adalah selama tujuh setengah tahun! Kini sudah tiba masa untuk pulang dan berkhidmat kepada tanah air tercinta. Sudah tentu kerana tempoh yang lama dihabiskan di India menyebabkan terasa pilu dan sedih apabila hendak meninggalkan rakan dan guru yang boleh dianggap seperti keluarga sendiri.

Kini sudah 10 tahun pengalaman belajar di India berlalu. Saya berazam untuk pulang kembali ke Manipal dalam tempoh terdekat untuk mengingati kembali memori manis yang sentiasa terpahat pada diri ini.

Minggu ini, saya berada di Pulau Pinang selama lima hari untuk berkongsi pengalaman dan menyampaikan ceramah motivasi bersama pelajar di sini.

Ini adalah kali keempat saya ke Pulau Pinang sejak kembali ke bumi. Saya tidak pasti mengapa. Ketika berada di angkasa lepas, saya berkesempatan melihat Pulau Pinang, Pulau Mutiara yang begitu indah dari jendela ISS.

Mungkin itu yang menyebabkan saya sering kembali ke pulau bersejarah ini. Saya juga sempat ke Yan, Kedah dan bermesra bersama kira-kira 2,000 pelajar dari 160 sekolah berdekatan dengan harapan dapat memberi perangsang agar mereka juga mampu mengejar impian mereka.

Ramai pelajar memberitahu bahawa mereka kini berminat terhadap subjek sains dan matematik. Nampaknya impak program angkasawan amat berkesan dan berjaya mencapai matlamat. Insya Allah dalam tempoh 10 tahun akan datang, harapan negara untuk melahirkan lebih ramai doktor, saintis dan jurutera angkasa lepas mampu menjadi kenyataan.

Ini juga memenuhi harapan wawasan negara melahirkan modal insan yang berilmu dan berkualiti.

Wassalam

Dr Sheikh Muszaphar
Angkasawan Negara


Keyakinan tinggi lupakan risiko

SOALAN: Apakah pendapat Dr mengenai keselamatan seorang angkasawan seperti Dr yang menaiki kapal angkasa Soyuz bersama dua angkasawan lain yang tidak memiliki pengalaman berlepas ke ISS. Adakah baju angkasawan yang Dr pakai ketika berlepas dan mendarat adalah milik Dr?

Dpd: Muniratul Najihah @ Kuala Terengganu 


JAWAPAN:
Menaiki Soyuz dan menjelajahi angkasa lepas memang mempunyai risiko tinggi. Apa pun boleh terjadi dan saya terpaksa meletakkan keyakinan kepada pakar Russia. Saya sanggup melakukan apa saja untuk ke angkasa lepas kerana ini adalah impian saya sejak berumur 10 tahun.

Setiap baju angkasawan dibuat khas untuk pemakai dan bergantung kepada kerajaan sama ada ingin membeli baju itu dari Russia. Bagi saya, baju itu penting diletakkan di muzium supaya pelajar dapat mempelajari dengan lebih mendalam mengenai pakaian angkasawan.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 15 June 2008
CORETAN ANGKASAWAN - TERSENTUH LIHAT WARGA EMAS HIDUP SENDIRIAN
Topic: - By Dr Sheikh

WARGA emas tidak dilupakan dalam lawatan Dr Sheikh Muszaphar di Tawau.

Walaupun sibuk, luangkan masa untuk melawat atau sekurang-kurangnya menelefon ibu bapa.

MINGGU ini saya berkesempatan berkongsi pengalaman dan mengadakan ceramah motivasi bersama penduduk Sabah, terutama di Tawau.

Ini adalah kali kedua saya dijemput ke Tawau sejak kembali dari angkasa lepas. Kehadiran saya di Tawau juga bagi memenuhi janji untuk menjelajah seluruh negara, terutama kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Tawau sentiasa mendapat tempat di lubuk hati saya kerana penduduk yang sentiasa ramah dan mesra. Dari sudut pembangunan angkasa lepas, Tawau juga adalah tempat yang strategik dan sesuai untuk pelancaran roket.

Saya berharap anak Sabah juga akan mencapai impian untuk ke angkasa lepas pada masa depan. Saya berada di Tawau selama empat hari mulai 6 hingga 9 Jun lalu dan sempat beramah mesra bersama penduduk kampung di Pasir Putih.

Paling menggembirakan saya ialah apabila melihat ramai anak kampung yang bersemangat untuk menjelajah angkasa lepas. Ramai yang ingin menjadi angkasawan. Nampaknya kesan program angkasawan tercapai hingga ke pelusuk pedalaman.

Bagaimanapun, saya mengingatkan mereka bahawa tidak semestinya menjadi angkasawan. Sumbangan kepada pembangunan angkasa lepas boleh dilakukan dengan menjadi doktor, saintis dan jurutera angkasa lepas. Ini memerlukan tumpuan diberikan kepada bidang sains dan matematik. Saya berdoa impian mereka akan menjadi kenyataan.

Di Tawau, saya tidak melupakan golongan warga emas. Angkasa lepas mengubah persepsi saya mengenai erti kehidupan.

Fokus saya kini bukan hanya terhadap kanak-kanak, tetapi meliputi belia, wanita dan warga emas yang sering tidak diberi perhatian.

Setelah bekerjasama bersama Avon untuk memberi kesedaran kepada wanita mengenai penyakit kanser payudara, saya merasakan amat penting untuk lebih prihatin terhadap warga emas.

Kesempatan berjumpa warga emas di Tawau sedikit sebanyak menyentuh perasaan saya. Ada yang menangis dan menitis air mata ketika pertemuan itu. Ini sungguh menyayat hati dan saya meminta anak-anak supaya sentiasa memberi perhatian kepada ibu bapa.

Jika tidak tinggal serumah, walaupun sibuk macam mana pun, luangkan masa untuk melawat atau sekurang-kurangnya menelefon mereka. Jagalah ibu bapa hingga ke akhir hayat mereka.

Misi utama saya ke Tawau sebenarnya untuk berjumpa seramai 312 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Tawau. Mereka, termasuk yang datang dari Semenanjung berada di PLKN selama tiga bulan dan akan menamatkan tempoh latihan tidak lama lagi.

Pelatih PLKN menunjukkan tahap disiplin yang tinggi, bersemangat patriotisme, semangat daya juang dan fokus yang menggalakkan. Walaupun hujan lebat, mereka tetap berbaris selama dua jam di padang luas yang basah.

Malangnya ada pihak mendakwa PLKN membazir, perlu ditamatkan dan pelbagai kenyataan negatif yang dilemparkan kepada kerajaan.

Selepas melihat dengan mata sendiri anak muda yang berkeyakinan tinggi dan bersemangat waja, saya menyokong 100 peratus PLKN dan berpendapat program ini perlu diteruskan untuk membentuk perwatakan dan minda generasi muda yang sejajar dengan wawasan negara.

PLKN memang memberi manfaat kepada belia sebelum mereka meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Saya juga berkesempatan untuk kali kedua ke Pulau Sipadan selama dua hari bagi mengikuti aktiviti selam skuba yang telah lama ditinggalkan sejak menyertai program Angkasawan Negara. Pengalaman di dasar laut yang yang kaya dengan pelbagai hidupan dan fauna cukup menakjubkan.

Di Semporna, saya memberi ceramah motivasi kepada anggota elit Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang saya pandang tinggi kerana berjuang demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Sudah tentu saya tidak akan melupakan memori manis ketika menjalani latihan ala komando untuk pemilihan sebagai Angkasawan Negara selama tiga hari di Lumut. Di sana, rakan Paskal membimbing saya hingga berjaya menjadi angkasawan.

Insya-Allah jika diberi peluang, saya berharap dapat membalas jasa mereka dengan membuat lawatan ke Lumut dalam masa terdekat ini. Terima kasih kepada Komander Ridzuan (Paskal) dan Mejar Jeffri dari Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memberi kawalan keselamatan sepanjang berada di Pulau Sipadan.

Terima kasih Sabah. Saya pasti akan kembali lagi dan merancang untuk melawat MRSM Kota Kinabalu dan MRSM Tawau dalam masa yang terdekat ini.

Wassalam.


ISS bising, tapi tak ganggu tugas

SOALAN: Adakah keadaan dalam ISS bising seperti yang disiarkan secara langsung dalam televisyen dan tayangan video. Saya juga mendapati bahawa ISS kelihatan sama pada setiap sudut. Tidak adakah tempat khusus untuk angkasawan melakukan rutin harian.

Mengapakah Dr sanggup membahayakan diri untuk berkhidmat dengan Mercy di tempat yang bahaya?

Dpd: Hassan Hamlussalam @ Kangar 


JAWAPAN:
Bunyi di ISS boleh dikatakan agak bising dengan bunyi peralatan di ISS yang mencecah hingga 70 decibels. Mungkin sudah kebiasaan, ia tidak mengganggu kerja seharian mahu pun ketika tidur.

Di ISS memang disediakan tempat khas untuk tidur, makan dan aktiviti lain. Saya memilih tempat tidur di Soyuz kerana lebih sejuk dan kurang bising. Ada tiga bilik kecil yang disediakan, tetapi diberikan kepada mereka yang tinggal selama enam bulan di ISS.

Saya mengikuti misi Mercy ke Afghanistan dan Kemboja untuk menjalankan kerja amal seperti merawat pesakit yang memerlukan pertolongan, terutama golongan wanita dan kanak-kanak. Saya sentiasa mendapat kepuasan apabila melihat senyuman yang terpancar pada wajah kanak-kanak yang penuh dengan penderitaan.

Kita sebagai rakyat Malaysia patut bersyukur dengan keadaan di Malaysia yang berada dalam keadaan aman dan makmur.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 8 June 2008
CORETAN ANGKASAWAN - KAYUH BASIKAL KE KULIAH
Topic: - By Dr Sheikh

Dr Sheikh Muszaphar (depan dua dari kiri) bersama rakan di Manipal, India.

Sukar lupakan pengalaman ketika belajar di Manipal, India terutama guru Biologi yang sangat garang

MENGAPA doktor dan bukan kerjaya lain? Begitu juga mengapa angkasawan menjadi cita-cita saya. Sebenarnya minat menjadi doktor tidak muncul tiba-tiba, tetapi lahir sejak saya berumur enam tahun. Dorongan abah memperkuatkan cita-cita ini.

Mungkin kerana impian abah sendiri untuk menjadi doktor tidak tercapai, lantas ayah menyemaikan impian itu kepada anak-anaknya.

Sejak kecil, abah sering membelikan buku bertemakan sains dan perubatan. Memotong katak dan tikus juga menjadi lumrah ketika itu. Latar belakang ini sudah pasti menyebabkan saya berani dan tidak takutkan darah.

Ketika berumur 10 tahun, menyembelih ayam untuk dijadikan hidangan sudah menjadi kebiasaan. Secara tidak langsung ayah memberi asas yang tidak ternilai kepada saya sebagai persediaan menjadi seorang doktor.

Pada masa sama, saya bercita-cita menjadi seorang angkasawan. Saya sering mendongak ke langit, mengelamun, melihat bintang berkelipan dan sentiasa ingin mengetahui mengenai kehidupan di angkasa lepas.

Kedua-dua impian ini tersemat kukuh dalam dada. Syukur kerana pada umur 35 tahun, kedua-dua impian ini berjaya dicapai. Inilah ketentuan dan takdir Tuhan.

Sudah tentu pembaca ingin mengetahui perjalanan saya menjadi seorang doktor. Selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bersama 23 pelajar lain ditawarkan melanjutkan pelajaran ke India di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kami adalah kumpulan pertama dihantar ke Manipal, India, untuk mengikuti kursus A Level dan seterusnya meneruskan pengajian di Kolej Perubatan Kasturba (KMC) di Manipal. Sudah tentu, saya sangat seronok apabila ditawarkan mengikuti kursus yang diidamkan ini.

Abah dan umi turut berbangga terhadap kejayaan ini kerana adik-beradik lain kurang berminat menjadi seorang doktor.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia biasa dengan nama KMC. Kolej ini terletak di sebuah perkampungan Manipal berhampiran bandar Mangalore di selatan India. Berbeza dengan Malaysia, cuaca di sini terlalu kontras. Enam bulan panas dan enam bulan hujan.

Walaupun ramai rakyat India adalah golongan miskin, KMC dipenuhi ramai pelajar luar negara berketurunan India. Ibu bapa mereka bermastautin di Amerika Syarikat atau rantau Arab, tetapi menghantar anak belajar di Manipal.

Walaupun kami adalah kumpulan pelajar tajaan JPA pertama di Manipal, sebenarnya ramai rakyat Malaysia mendapat pendidikan di sini sejak tahun 1960-an. Saya memilih KMC kerana di India, terdapat banyak penyakit yang boleh dipelajari. Selain itu, banyak mayat yang dapat dibedah ketika ujian praktikal berbanding negara sendiri.

Di Manipal, saya dan tiga pelajar lain tinggal di rumah sewa. Perbelanjaan di sini agak murah kerana taraf kehidupan yang rendah. Walaupun biasiswa hanya RM270 sebulan, jumlah ini boleh dikatakan agak tinggi ketika itu.

Basikal menjadi kenderaan saya ke kuliah setiap hari dan ini amat menyeronokkan. Puri dan capati menjadi makanan kegemaran untuk bersarapan. Di sini juga, saya belajar masakan Malaysia daripada kawan-kawan.

Keadaan menjadi sukar apabila musim hujan tiba. Bayangkan hampir setiap hari hujan antara tiga hingga empat bulan.

Saya belajar di Kolej Rendah Manipal (MJC) antara 1989 hingga 1991, sebagai persediaan A Level selama dua tahun sebelum memulakan kursus perubatan di KMC.

Pelbagai memori manis tidak dapat dilupakan ketika belajar di sini. Pernah kelas kami dibanjiri seramai 120 orang dan kadang-kadang kelas terpaksa dibatalkan kerana banjir. Guru pula amat garang, terutama Guru Biologi.

Kami bukan saja harus memahami setiap mata pelajaran, tetapi terpaksa menghafal setiap baris perkataan ketika menjawab soalan yang dikemukakan.

Saya mengambil bahasa Perancis sebagai mata pelajaran tambahan selama dua tahun. Saya tidak pasti mengapa kerana sepatutnya lebih elok jika kami mempelajari bahasa Hindi. Paling melucukan apabila ujian pertama, saya terkedu apabila soalan dikemukakan dalam bahasa Perancis.

Saya termenung seketika kerana tidak memahami soalan yang dikemukakan. Mungkin kerana terlalu fokus pada mata pelajaran biologi, fizik dan kimia yang menjadi kegemaran.

Kepada adik-adik, untuk menjadi doktor tidaklah sukar seperti disangkakan. Mungkin kerana tempoh yang agak lama membuatkan ramai takut meneruskan cabaran menjadi doktor. Percayalah, anda hanya memerlukan kerajinan dan ketabahan.

Bagi saya, doktor adalah kerjaya mulia dan memberi kepuasan tidak terhingga apabila dapat merawat pesakit yang memerlukan pertolongan. Saya menggalakkan anda menceburi bidang sains, termasuk perubatan agar lebih ramai doktor yang dapat dilahirkan pada masa depan.


SOALAN: Apakah cabaran yang paling sukar dan mudah ketika ujian pemilihan program Angkasawan Negara?

Dpd: Balkish Aiman 


JAWAPAN:
Setiap cabaran yang dilalui ketika program pemilihan seperti centrifuge (emparan), aerochamber (kebuk penerbangan), winter survival (ikhtiar hidup musim sejuk) di Siberia, sea survival (ikhtiar hidup di laut) di Ukraine dan pelbagai lagi memang sungguh mencabar dan pada masa sama menyeronokkan.
Bagaimanapun, tidak ada yang sukar jika kita mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Saya juga sedar ini adalah harapan seluruh rakyat Malaysia menyebabkan saya sentiasa mahu melakukan yang terbaik untuk mencapai objektif dalam program penghantaran angkasawan.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 1 June 2008
CORETAN ANGKASAWAN - PANDUAN IBADAH DI ISS DIIKTIRAF DUNIA ISLAM
Topic: - By Dr Sheikh

Dr Sheikh Muszaphar membuat uji kaji di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.

Angkasawan negara bangga terbabit dalam usaha kembalikan keagungan Islam di mata dunia khususnya dalam sains dan astronomi.

PENJELAJAHAN angkasawan ke angkasa lepas bukan saja menarik minat rakyat Malaysia pada 10 Oktober 2007 malah membuka mata umat Islam di seluruh dunia. Walaupun saya adalah orang Islam yang ke-9 berada di angkasa lepas, amat penting bagi saya menekankan bahawa tanggungjawab sebagai umat Islam harus dilakukan tidak kira di mana kita berada sama ada di bumi atau angkasa lepas.

Persoalannya tiada siapa tahu bagaimana ibadah harus dilakukan sama ada berpuasa mahupun bersembahyang. Ini amat penting untuk menjadi panduan kepada bakal astronaut beragama Islam pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya mereka boleh merujuk kepada panduan bagaimana ibadah dilakukan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertemu dengan ulama seluruh dunia sebelum menghasilkan satu garis panduan mengenai tanggungjawab umat Islam di angkasa lepas. Saya berasa bangga kerana dapat menerajui tanggungjawab ini dengan harapan mengembalikan keagungan Islam di mata dunia khususnya dalam sains dan astronomi. Saya berharap dapat memainkan peranan dalam menyatupadukan umat Islam seluruh dunia untuk mencapai kejayaan lebih gemilang.

Saya telah mendapat jemputan untuk berkongsi pengalaman khususnya dari negara Islam seperti Arab Saudi, selain beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kazakhstan, Britain dan banyak lagi.

Di Amerika Syarikat, saya dijemput oleh Islamic Syurah Council, California pada 8 hingga 12 Mai 2008. Tujuan utama adalah penerimaan anugerah keamanan dari pihak terbabit atas sumbangan Islam dalam bidang sains dan angkasa lepas. Ia adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna pada diri ini. Ia membuat saya untuk terus berjuang demi memartabatkan nama Islam ke arah sains dan teknologi.

Di samping itu, saya juga berkesempatan berjumpa dengan komuniti Islam di California, memberi ceramah di masjid di San Jose dan San Diego untuk berkongsi pengalaman dengan harapan untuk menyuntik inspirasi kepada mereka. Saya juga berkesempatan untuk memberi ceramah di California State Universiti kepada 1,000 pelajar yang mengikuti bidang "Islam and its contribution and direction". Amat mengasyikkan apabila lebih separuh daripada pelajar adalah bukan beragama Islam. Ini jelas menunjukkan minda pelajar Amerika Syarikat yang begitu berminat untuk mengikuti perkembangan Islam dengan lebih mendalam. Paling menyeronokkan apabila berpeluang berjumpa dengan kanak-kanak Islam yang begitu bersemangat bertanyakan mengenai kehidupan di angkasa lepas. Ramai di antara mereka yang bercita-cita untuk pergi ke angkasa lepas dan saya juga diajukan pelbagai soalan menarik.

Berjumpa dengan 250 rakyat Malaysia di California adalah pengalaman yang manis di mana kebanyakan daripada mereka adalah pelajar tajaan yang masih meneruskan pengajian mereka di sana. Saya diberi makanan ala Malaysia seperti kari ikan hingga ayam masak kurma. Saya berasa seolah-olah saya berada di negara sendiri.

Saya juga dijemput oleh pihak NASA untuk melawat Jet Propulsion Laboratory (JPL) di Pasadena di mana ia bertanggungjawab atas pelbagai satelit yang dilancarkan untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai planet. Saya juga didedahkan dengan pembikinan rovers Phoenix yang baru-baru ini telah membuat pendaratan di planet Marikh untuk mengetahui adakah ada kehidupan di planet itu. Amat mengagumkan apabila dapat mempelajari pelbagai teknologi canggih terkini yang dihasilkan oleh NASA.

Secara keseluruhan komuniti Islam di Amerika Syarikat khususnya di California terdiri daripada golongan minoriti pelbagai negara dan kebanyakannya golongan profesional. Islamic Shura Council mewakili komuniti Islam di Amerika Syarikat dan menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan dalam membentuk perpaduan di kalangan umat Islam dan saya berasa amat berbangga kerana dapat menyumbangkan tenaga dan ilmu dengan harapan dapat menyemai kepentingan Islam khususnya kepada anak-anak Islam di Amerika Syarikat. Inilah janji saya apabila kembali ke bumi. Tidak ramai di kalangan Islam yang membabitkan diri dalam bidang aeroangkasa. Impian saya untuk mengumpul kesemua sembilan astronaut Islam yang menjelajahi angkasa lepas dan menjelajahi seluruh benua dalam memupuk semangat dan menukar minda umat Islam agar mengembalikan kembali keagungan dan kegemilangan Islam khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Banyak lagi usaha yang harus dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Selepas benua Amerika saya juga telah berada di Brunei selama 3 hari dan berkongsi pengalaman bersama pelajar di negara itu. Sungguh menyeronokkan apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh anak kecil yang mempunyai impian tinggi untuk menerokai angkasa lepas. Impian mampu menjadi kenyataan sekiranya seseorang itu berusaha dengan gigih dan yakin dengan kemampuan sendiri dan sentiasa bersikap positif.

Kini saya berada di Sarawak melawat Bandar Miri dan Kuching untuk memberi ceramah kepada lebih 5,000 penduduk Sarawak. Saya bekerjasama dengan pustaka negeri Sarawak dalam memupuk sikap membaca di kalangan pelajar. "Knowledge is power". Kita seharusnya membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap minggu. Amat penting untuk Malaysia dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berkualiti dalam mengejar impian Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Angkasawan tidak ada perasaan takut

SOALAN: Apakah perasaan Dr ketika mendarat ke bumi. Gerun atau tiada perasaan takut sama sekali. Selain itu, apakah barang yang pertama sekali perlu diselamatkan ketika mendarat?

Dpd: Siti Norsamsia Hassanudin @ Masai, Johor Baru 


JAWAPAN:
Kami diajar untuk tidak mempunyai sebarang perasaan takut. Apabila kembali ke bumi melalui ballistic reentry, fokus saya lebih kepada eksperimen yang berada dalam kapal soyuz kerana risau ia akan mengalami kerosakan. Saya sudah bekerjasama bersama saintis tempatan selama 2 tahun dan ketika itu sentiasa berdoa agar saintifik eksperimen itu tidak mengalami kerosakan.


SOALAN: Sebagai pelajar sekolah menengah, saya ingin tahu mengenai beberapa perkara, iaitu adakah dari ISS, Dr dapat melihat galaksi di angkasa lepas seperti 'spiral galaxy', 'elliptical galaxy' dan 'barred spiral galaxy'. Bagaimana pula cuaca sekitar ISS, adakah seperti bumi, ISS mendapat cahaya matahari?

Dpd: Siti Aishah Anver @ Jelutong, Pulau Pinang 


JAWAPAN:

Di ISS kami dapat melihat bulan, bintang, bumi dan pelbagai pemandangan yang menakjubkan. Galaksi sungguh luas terbentang dan matahari naik dan turun setiap 45 minit. Saya tidak berapa pasti akan spiral galaksi atau elliptical galaksi yang dimaksudkan tetapi anda tidak dapat melihat akan galaksi itu kerana memerlukan peralatan teropong astronomi seperti yang ada di bumi.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 25 May 2008
CORETAN ANGKASAWAN - SUKAR LUPA NOSTALGIA DI MRSM
Topic: - By Dr Sheikh

Dr Sheikh bersalaman dengan pelajar MRSM dalam program 'Angkasawan Pulang ke Gagang'.

DALAM ruangan yang terbatas ini, saya ingin menceritakan kisah zaman sekolah menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, iaitu sejak di Tingkatan Satu pada 1985 hingga Tingkatan lima pada 1989.

Sebenarnya kejayaan dua abang saya yang berjaya memasuki Maktab Tentera Diraja atau dikenali sebagai Royal Millitary College (RMC) sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.

Pada masa sama, abah juga menggalakkan anaknya, termasuk saya memasuki sekolah berasrama penuh kerana percaya ini dapat mengajar kami hidup berdikari.

Abah sering memberitahu bahawa kejayaan bukan hanya dalam akademik. Katanya, bercampur gaul bersama segenap lapisan masyarakat juga amat penting untuk membentuk minda seseorang. Bukankah peribahasa Melayu menyatakan 'jangan menjadi seperti katak di bawah tempurung'.

Abah dan umi memilih MRSM kerana yakin sistem pengajaran dan pembelajaran unik sekolah berasrama penuh ini boleh membantu mempertingkatkan prestasi pelajar.

Bagaimanapun, umi amat sedih apabila saya dihantar ke MRSM Muar kerana berasakan tempat ini terlalu jauh.

Kalau boleh, umi mahu kami walaupun memasuki sekolah berasrama penuh, hanya di sekitar Kuala lumpur. Mungkin pada umur 13 tahun di Tingkatan Satu menyebabkan mana-mana ibu yang sudah biasa melihat anak di depan mata agak keberatan melepaskan anak belajar jauh.

Di MRSM, saya meneruskan zaman aktif di sekolah rendah. Saya menganggotai Badan Wakil Pelajar mulai Tingkatan Dua hingga lima. Ketika di Tingkatan lima pada 1989, saya dipilih sebagai Pelajar Berbudi Pekerti Mulia.

Dalam aktiviti kokurikulum, saya aktif dalam sukan bola tampar, tenis, pidato awam dan berbahasa serta menganggotai pasukan bomba.

Banyak kenangan manis yang saya lalui di MRSM Muar tidak dapat dilupakan dan akan sentiasa saya sematkan dalam memori hingga bila-bila.

Kini sudah hampir 20 tahun zaman di MRSM berlalu. Ramai rakan lama yang berjaya dengan cemerlang dalam kerjaya masing-masing.

Baru baru ini, saya berkesempatan kembali ke MRSM Muar dalam program 'Angkasawan Pulang Ke Gagang' dan berpeluang berjumpa guru yang masih mengajar di situ.

Keadaan MRSM sudah jauh berbeza dengan kemunculan bangunan baru. Bagaimanapun, hati saya tersentuh apabila pusat sumber ilmu dinamakan sempena nama saya. Ini adalah suatu penghargaan yang tidak akan dapat saya lupakan. Terima kasih MRSM Muar.

Terima kasih Mara. Terima kasih guru MRSM yang sentiasa memberi bimbingan dan galakan kepada diri saya untuk berjaya.

Wassalam, Dr Sheikh Muszaphar

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 18 May 2008
CORETAN ANGKASAWAN - MASUK 'PERPUSTAKAAN' SETIAP HARI
Topic: - By Dr Sheikh

DR Sheikh Muszaphar Shukor melayan kanak-kanak yang menyertai pertandingan melukis.

Ibu dan bapa pastikan kami adik beradik menelaah sekuarang-kurangnya satu jam dalam bilik bacaan

KALI ini saya ingin membicarakan suatu topik yang mungkin biasa dan selalu diperkatakan ramai orang, tetapi sebenarnya amat penting. Topiknya ialah 'Membaca'.

Kami lima beradik dibesarkan dalam suasana suka membaca sejak kecil. Rumah kami mempunyai sebuah bilik khas atau perpustakaan yang dipenuhi dengan pelbagai bahan bacaan, terutama sains, novel dan astronomi.

Abah dan Umi pula akan memastikan kami memasuki perpustakaan itu setiap hari, sekurang-kurangnya sejam untuk menimba ilmu. Ini diikuti perbincangan mengenai apa yang kami baca di meja makan.

Ketika kecil, saya begitu meminati buku berunsurkan sains dan astronomi. Saya gemar menonton filem Star Trek dan Star Wars serta berangan-angan terbang di angkasa lepas. Bilik saya pula dipenuhi gambar planet dan bintang. Saya sering mendongak ke langit dan bintang, mengelamun seorang diri ingin mengetahui kehidupan di angkasa lepas.

Minat yang begitu mendalam terhadap bidang sains dan astronomi bermula ketika saya berumur 10 tahun. Ketika itu, saya sudah mengetahui nama planet, gugusan bintang dan galaksi. Itulah titik permulaan minat saya untuk menjelajah angkasa lepas.

Abah dan umi sering menghadiahkan buku setiap kali saya berjaya dalam peperiksaan. Saya tidak begitu ingat buku pertama yang paling suka dibaca, tetapi ketika berumur 18 tahun dan bersiap sedia untuk meneruskan pelajaran di Manipal, India, ayah menghadiahkan saya sebuah buku bertajuk "Think and Grow Rich" oleh Napoleon Hill yang kini masih dalam genggaman saya.

Buku ini memang mengubah minda saya ketika itu untuk bersikap lebih positif dan yakin untuk mengharungi cabaran hidup. Hingga kini, saya masih berulang kali membacanya sebagai pedoman. Saya masih menyimpan buku itu di bilik.

Bagi saya, buku itu adalah khazanah yang tidak ternilai harganya. Walaupun kini saya mampu membeli pelbagai jenis buku yang berharga ratusan ringgit, tetapi buku ini tetap menjadi nombor satu dalam hidup saya kerana ia adalah pemberian abah. Buku ini juga menjadi titik permulaan buat diri saya.

Ibu bapa saya memang gemar membaca dan tidak dinafikan ini mempengaruhi diri saya. Abah lebih cenderung kepada buku berkonsepkan motivasi, minda positif. Umi pula lebih suka novel dan biografi.

Tabiat suka membaca ketika kecil sudah pasti membawa kebaikan dan ini berterusan hingga dewasa, terutama apabila memasuki zaman perubatan di Kolej Perubatan Kasturba (KMC), Manipal, India.

Hingga kini, saya memastikan membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap minggu sama ada novel, politik atau topik lain. Ini saya lakukan walaupun amat sibuk dengan pelbagai aktiviti harian. Ketika menjalani latihan selama setahun di Russia, saya sering membaca buku berkaitan angkasa lepas untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam bidang ini.

Saya percaya ramai pembaca kolum ini suka membaca buku dan saya menggalakkan ibu bapa mendidik anak membaca buku supaya tabiat yang amat baik ini dapat dipupuk sejak peringkat awal.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan ialah seminggu sekali, bawa mereka ke perpustakaan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.

Selalu ingat bahawa "knowledge is power" atau pengetahuan adalah kuasa. Ini sejajar dengan harapan kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berilmu serta menjadikan rakyat berpengetahuan setanding negara maju.

Insya-Allah berbekalkan ilmu, mereka akan berjaya mencapai impian. Saya juga percaya guru harus memainkan peranan penting untuk menggalakkan pelajar membaca. Pada zaman sains dan teknologi maklumat, kanak-kanak boleh memperoleh maklumat bukan saja di perpustakaan, tetapi melalui internet dengan syarat ibu bapa dan guru bijak membimbing mereka.

Mereka yang kurang berilmu sudah pasti akan ketinggalan dalam zaman persaingan sekarang. Kepada adik-adik semua, pupuk tabiat membaca mulai sekarang. Tumpukan kepada sains dan angkasa lepas. Semoga anda juga dapat menjelajahi angkasa lepas pada masa akan datang.


Kagum lihat saiz bumi dari ISS

SOALAN: Apa khabar? Saya ingin tahu apakah perkara pertama dan terakhir yang Dr lakukan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Sesetengah rakan saya memberitahu bahawa angkasawan Amerika Syarikat, Neil Amstrong, tidak pernah menjejakkan kaki di bulan. Apa pula pandangan Dr?

Dpd: Syamil Musthaffa Kamal @ Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang 


JAWAPAN:
Khabar baik Syamil. Perkara pertama saya lakukan apabila sampai di ISS adalah mengambil masa beberapa minit untuk melihat bumi dari jendela ISS. Begitu menakjubkan apabila dapat melihat saiz bumi yang kecil dari mata sendiri. Diri ini berasa sungguh rapat dengan Allah.

Jantung langsung tidak berdegup selama beberapa minit. Mata langsung tidak berkelip. Itulah kehebatan melihat bumi dari ISS. Perkara terakhir sebelum kembali ke bumi adalah membaca al-Quran kerana berasa begitu sedih untuk kembali ke bumi.

Setelah berada selama 12 hari di ISS, harapan saya untuk tinggal lebih lama di ISS bagi meneruskan eksperimen saintifik di ISS.

Mengenai sama ada Neil Armstrong benar-benar menjejakkan kaki ke bulan, setelah berada di NASA (Pihak Berkuasa Angkasa Lepas dan Aeronatik) Houston, selama dua minggu dan melihat sendiri teknologi mereka, saya yakin bahawa Armstrong dan 11 lagi rakyat Amerika Syarikat telah mendarat di bulan bermula 1969.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 11 May 2008
CORETAN ANGKASAWAN - MULA BERSEKOLAH KETIKA UMUR TIGA TAHUN
Topic: - By Dr Sheikh

SHEIKH Muszaphar ketika Tahun Enam di Sekolah St Paul, Seremban pada 1984

Angkasawan negara masuk tadika kerana tidak mahu tinggal seorang diri di rumah

TEMPAT jatuh lagi dikenang, inikan pula tadika dan sekolah rendah. Saya percaya ramai yang sukar melupakan zaman awal persekolahan.

Di sinilah, kita mula keluar daripada lingkungan keluarga ke dunia yang lebih luas. Naik bas sekolah atau dihantar oleh ibu bapa, mendapat kenalan baru dan belajar banyak perkara baru daripada guru. Inilah yang akan saya cerita pada minggu ini.

Dunia persekolahan saya bermula agak awal, iaitu ketika berumur tiga tahun apabila memasuki tadika montesorri di Seremban, Negeri Sembilan, kerana mengikut jejak dua abang yang sudah memasuki tadika ketika itu.

Saya tidak mahu tinggal seorang diri di rumah dan sering menangis apabila melihat abang saya memakai pakaian seragam, beg di bahu, kasut putih dan berbekalkan coklat ke kelas. Saya meraung sekuat hati hingga akhirnya ibu membenarkan saya memasuki tadika lebih awal.

Inilah memori yang ibu ceritakan kepada saya. Malangnya, tidak banyak yang saya boleh ingat suasana ketika zaman tadika.

Bagaimanapun, ada untungnya apabila bergelar angkasawan kerana baru-baru ini, seorang guru tadika, Cikgu Janet memberitahu saya bahawa dia mengajar saya di tadika itu. Terima kasih cikgu kerana masih mengingati saya hingga kini.

Saya pasti kelas montesorri sedikit sebanyak membantu dalam pembentukan minda pada peringkat awal hingga dipilih menjadi angkasawan negara.

Kisah lebih panjang yang hendak saya berkongsi dengan pembaca ialah di Sekolah St Paul, Seremban, tempat saya belajar mulai darjah satu hingga darjah enam. Di sini, banyak memori manis yang masih saya ingat.

Sebenarnya di Seremban, Sekolah King George V dianggap sebagai sekolah bertaraf tinggi atau pilihan. Di sekolah inilah, abah dan umi bersekolah. Bagaimanapun, kami adik-beradik dimasukkan ke Sekolah St Paul.

Abah mahu kami bergaul dengan pelajar berbilang kaum dan menguasai Bahasa Inggeris dengan fasih kerana Sekolah St Paul mengutamakan penggunaan bahasa antarabangsa itu.

Oleh kerana tinggal di Bukit Rasah dan sekolah terletak agak jauh, ibu terpaksa menghantar kami setiap hari pada jam 7 pagi. Inilah kesungguhan ibu bapa yang sanggup menghantar anak ke sekolah yang lebih jauh walaupun ada sekolah lain berdekatan untuk memastikan pendidikan terbaik untuk kami semua.

Ibu, seorang suri rumah sepenuh masa terpaksa mengharungi pelbagai kerenah kami dengan penuh kesabaran. Pada waktu petang, kami dihantar ke kelas mengaji al-Quran. Alhamdulillah, kami semua khatam al-Quran ketika berumur tujuh tahun.

Saya aktif ketika di St Paul. Saya mewakili Negeri Sembilan dalam acara renang dan muncul juara bercerita peringkat negeri. Saya juga wakil sekolah dalam pertandingan berpidato. Antara jawatan yang dipegang ialah Ketua Pengawas dan Ketua Pengakap.

Dari segi akademik, saya sering mendapat tempat lima terbaik dalam peperiksaan kerana ingin membuktikan kepada ibu bapa bahawa saya mampu menyaingi kedua-dua abang ketika itu. Kami sering membawa bekalan makanan ke sekolah dan ayah memberi 20 sen sebagai wang belanja setiap hari.

Antara kawan baik yang masih saya ingat ialah See Jin Chong dan kami sering bersaing dalam peperiksaan.

Hingga kini, saya masih mencari rakan karib saya ini. Kali terakhir saya berbual dengannya adalah kira-kira 10 tahun lalu. Ramai lagi kawan sekolah rendah saya yang hebat seperti Kamal (saya berjumpanya empat bulan lalu), Saiful Amini, Vasantha, Kelvin, Suresh, Gamel dan Nazambri. Ini hanya sekadar menyebut beberapa nama.

Guru juga tidak ketinggalan. Maurice Chai sebagai guru besar. Begitu juga guru Matematik dan Sains adalah kegemaran saya ketika itu.

Seperti dijanjikan, saya akan kembali ke Sekolah St Paul pada 27 Jun ini untuk menyuntik inspirasi kepada pelajar Paulian dengan harapan mereka bersikap positif, gigih dan berusaha ke arah kejayaan pada masa akan datang.

Dalam kesempatan terbatas ini, saya meminta semua bekas pelajar St Paul yang kini berjaya agar kembali ke pangkuan sekolah untuk berkongsi pengalaman dan menyuntik kejayaan yang dicapai kepada pelajar.

Harapan ini bukan hanya kepada bekas pelajar St Paul, tetapi setiap pelajar di mana-mana sekolah yang telah berjaya tidak boleh melupakan sekolah rendah yang menjadi asas kepada kejayaan mereka hari ini.

Kehadiran anda di sekolah akan memberi kesan yang mendalam kepada anak-anak kita. Kanak-kanak sekolah memerlukan panduan dan pedoman untuk mengharungi cabaran hidup. Oleh itu, amat penting untuk kita memainkan peranan masing-masing membimbing mereka.

Saya akan melakukan apa yang termampu supaya misi ini menjadi realiti. Terima kasih St Paul atas bimbingan anda selama ini. Insya-Allah, saya akan berjumpa anda dalam masa terdekat ini.


Solat duduk atau berdiri ikut kesesuaian tempat di ISS

SOALAN: Bolehkah Dr menceritakan lebih lanjut mengenai cara menunaikan solat di ISS. Adakah ibadat ini dilakukan secara duduk atau berdiri? 

Dpd: Nur Nadia Zulkarna'in @ Batu Pahat, Johor 

JAWAPAN:

ISS bergerak dengan sangat pantas, iaitu pada kelajuan 27,000 kilometer sejam. Ini bermakna sehari hanya 45 minit siang dan 45 minit malam. Oleh itu, jika mengikut waktu bumi, solat perlu dilakukan sebanyak 80 kali sehari.

Bagaimanapun, hasil perbincangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama ulama dan pakar dalam pelbagai bidang di seluruh dunia berjaya menghasilkan panduan beribadah di angkasa lepas. Amat penting bagi kita, umat Islam membuktikan bahawa ibadat ini boleh dilakukan di mana-mana, bumi atau angkasa lepas.

Saya menunaikan solat lima kali sehari mengikut waktu tempat pelancaran, iaitu Kazakhstan. Untuk menentukan arah kiblat, memadai dengan menghala ke bumi. Mengambil wuduk dilakukan dengan cara tayammum, iaitu menepuk dinding sebanyak dua kali lalu menyapu muka dan kedua-dua belah tangan.

Solat dilakukan secara duduk dan berdiri mengikut kesesuaian tempat di ISS. Saya mengikat kedua belah kaki supaya tidak terapung. Bagaimanapun, tidak boleh sujud terlalu lama kerana badan mula terapung dan melonjak ke atas.

Semua ini direkodkan dan akan dikongsi bersama dalam masa terdekat ini. Insya-Allah.

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 4 May 2008
CORETAN ANGKASAWAN - KASIH SAYANG KELUARGA PENDORONG KEJAYAAN
Topic: - By Dr Sheikh

DIDIKAN ibu bapa dan hubungan erat adik-beradik kukuh sehingga dewasa.

HAMPIR setiap orang mempunyai adik-beradik dan saya juga tidak terkecuali. Memang seronok mengenang kisah adik-beradik ketika kecil yang penuh dengan pengalaman suka dan duka. Ini yang menyebabkan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman mengenai kisah adik-beradik kami yang semuanya lima orang dan semuanya lelaki.

Kami dibesarkan dalam suasana yang ceria dan penuh kasih sayang. Abang yang sulung, Sheikh Ahmad, 37, seorang peguam, manakala Sheikh Taufik, yang setahun lebih muda adalah seorang akauntan.

Saya sendiri yang berumur 35 tahun adalah doktor ortopedik. Dua adik saya, Sheikh Mustapha, 32, jururancang perumahan dan yang bongsu, Sheikh Arwiz, 29, seorang akauntan.

Hubungan kami sangat akrab walaupun kadang-kadang masa tidak mengizinkan memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Kami akan pastikan berjumpa seminggu sekali untuk mengetahui perkembangan terkini dan mengeratkan ikatan persaudaraan agar sentiasa kukuh.

Memori manis ketika zaman kanak-kanak sentiasa bermain di fikiran saya. Untuk pengetahuan pembaca Berita Minggu, saya dilahirkan di Hospital Assunta, Petaling Jaya sebelum berpindah ke Seremban.

Sebahagian besar zaman kanak-kanak dan remaja saya adalah di Negeri Sembilan. Ketika itu, sukar juga ibu menjaga kami yang boleh dianggap agak nakal.

Kami sering bergaduh dan bertengkar, tetapi itulah keistimewaan kami yang dididik untuk makan bersama, mengaji bersama, tidur bersama dan segala-galanya bersama. Hubungan antara kami sungguh rapat.

Alhamdulillah, kami dibesarkan dalam suasana positif. Ayah sentiasa menekankan sikap berdikari, disiplin dan kekuatan mental.

Ayah mempunyai pendirian yang berbeza dengan orang lain kerana tidak pernah membawa kami menonton wayang kerana dianggap membazir. Sebaliknya, kami diajar berenang sejak umur tiga tahun lagi dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga remaja.

Memenangi pelbagai piala sudah menjadi lumrah dan kami sering bersaing antara satu sama lain. Ayah membuat keputusan memasukkan kami semua ke sekolah berasrama penuh untuk belajar erti kehidupan bergaul bersama masyarakat.

Ketika itu, saya amat pantang menerima kekalahan. Setiap perkara yang dilakukan, saya pastikan akan mencapai kemenangan walaupun perkara itu kecil seperti perlawanan badminton dan perdebatan. Itulah sifat yang diterapkan sejak kecil.

Bagaimanapun, ada masanya saya kalah, tetapi saya akan pastikan mencapai kemenangan keesokan hari. Kami sungguh kompetitif hingga sekarang, baik dalam pelajaran mahu pun kehidupan. Mungkin sikap ini yang membantu saya hingga terpilih menjadi Angkasawan Negara.

Sekarang kami semua dewasa. Ada yang berkeluarga. Kadang-kadang saya tersenyum sendirian mengingatkan kembali kenangan lama. Masing masing berjaya dan sibuk dengan tugasan.

Dua daripada kami sudah berkeluarga. Kami semua mengikut jejak ayah yang mendirikan rumah tangga agak lewat. Ayah juga berkahwin ketika berumur 33 tahun. Alasannya? Ayah sering berkata kukuhkan dulu kewangan, emosi dan keimanan sebelum mendirikan rumah tangga.

Pastikan kehidupan stabil terdahulu dan benar-benar bersedia sebelum menamatkan zaman bujang. Kata-katanya kami ambil sebagai pedoman. Saya bersyukur kerana kami berlima masih rapat dan sentiasa memberi sokongan padu untuk berjaya.

Yang menarik ialah tiga daripada kami menyertai program angkasawan dan sentiasa berbincang mengenai strategi yang harus dilakukan.

Sheikh Ahmad berjaya hingga ke peringkat 100 peserta terakhir. Sheikh Arwiz hingga ke 59 peserta terakhir dan saya sendiri meneruskan cabaran dengan sokongan tidak terhingga dari belakang takbir.

Adik beradik sentiasa memberi dorongan dan ini menguatkan tekad saya untuk meneruskan cabaran. Ketika di Russia selama setahun, kami sering berbual melalui telefon mahupun emel agar saya meneruskan perjuangan dan tidak sekali-kali putus asa. Itulah kehebatan kami berlima.

Apabila arwah adik, Sheikh Mustapha, meninggal dunia, saya masih berada di ISS. Ia memberi impak mendalam buat kami sekeluarga. Bagaikan tali yang terputus. Di saat genting, kami kehilangan seorang adik yang amat disayangi.

Kami tidak sangka kejadian ini boleh berlaku. Penjelajahan saya ke angkasa lepas amat berisiko tinggi, tetapi siapa sangka adik tersayang di bumi yang melalui bencana. Inilah suratan takdir dan kesannya saya rasai hingga kini.

Demi ibu, kami harus kuat mengharunginya ujian ini. Saya berasa kesal kerana tidak berkesempatan memberitahu Ajil (nama panggilan Sheikh Mustapha) mengenai kasih sayang ini kerana terlalu sibuk dengan program angkasawan sejak kebelakangan ini.

Kepada adik-adik di luar sana, 'don’t take things for granted'. Luahkan kasih-sayang kepada orang tersayang baik ibu-bapa mahupun keluarga kerana hidup ini tiada kepastian. Allah menentukan segala-galanya. Kita hanya mampu berusaha. Hidup ini penuh dengan liku-liku dan kita harus tabah melaluinya.


SOALAN: Saya bangga dengan kejayaan Dr mengharumkan nama negara. Soalan saya ialah adakah penghidap skoliosis layak bergelar angkasawan jika mempunyai kelayakan dan minat mendalam. Saya juga ingin tahu sama ada Dr mempelajari bahasa Russia kerana minat atau diwajibkan?

Dpd: Nur Farzana Muhamad Ismail 

JAWAPAN:
Tahap kesihatan yang tinggi diperlukan Tahap kesihatan yang tinggi diperlukan untuk menjadi angkasawan. Skoliosis yang Nur Farzana tanyakan adalah penyakit tulang spina yang tidak mempunyai penjajaran (alignment) yang normal. Pesakit mengalami kesakitan tulang belakang yang bergantung kepada tahap keparahan (degree of severity).

Lazimnya pesakit skoliosis tidak dibenarkan menjadi angkasawan kerana mungkin akan menghadapi masalah apabila berada dalam keadaan graviti mikro. Malah dalam keadaan normal, 30 hingga 40 peratus astronaut mengalami kesakitan tulang belakang (backache) di angkasa lepas akibat pelbagai faktor seperti ketegangan ligamen spinal.

Mengenai bahasa Russia, oleh kerana latihan dijalankan di negara itu, amat penting bagi setiap angkasawan menguasai bahasa Russia yang juga bahasa komunikasi di StarCity dan ISS. Semua astronaut dan cosmonaut boleh berbahasa Inggeris dan Russia. Angkasawan negara juga tidak terkecuali.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 27 April 2008
CORETAN ANGKASAWAN - LARIAN OBOR PENCETUS SEMANGAT
Topic: - By Dr Sheikh

Oleh DR SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR 

SEJAK dulu, saya sentiasa ingin berkongsi pengalaman di angkasa lepas bersama pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan harapan untuk membakar semangat mereka supaya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

Saya memulakan penjelajahan "Angkasawan Pulang Ke Gagang" ke MRSM seluruh negara bermula dengan MRSM Pendang, MRSM Kepala Batas dan MRSM Taiping. Oleh kerana bilangan MRSM di seluruh negara banyak, program di tiga MRSM ini turut disertai beberapa MRSM berdekatan.

Pemergian ke MRSM membawa kembali banyak kenangan manis ketika bergelar pelajar di MRSM Muar antara 1985 hingga 1989. Walaupun pengalaman itu sudah hampir 20 tahun berlalu, lagu MRSM tetap saya ingat.

Saya sungguh gembira apabila melihat pelajar MRSM begitu tekad, berdisiplin dan bersemangat waja. Sistem MRSM sejak ditubuhkan wajar menjadi contoh kerana berjaya melahirkan ramai tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk sebagai angkasawan negara.

Syabas kepada Mara (Majlis Amanah Rakyat) dan guru MRSM yang memberi bimbingan dan tunjuk ajar tidak terhingga hingga menjadikan graduan institusi ini sebagai modal insan berkualiti tinggi.

Sebagai anak didik Mara, berkongsi pengalaman dengan menyampaikan ceramah motivasi di MRSM begitu istimewa buat diri saya kerana wujud suatu pertalian yang sungguh erat.

Saya juga bangga apabila diberi penghormatan merasmikan penubuhan Persatuan Falak dan Ham Radio Amatur MRSM Pendang. Lebih menggembirakan apabila berjumpa semula Cikgu Shaari yang ketika saya di MRSM Muar adalah Penolong Pengetua dan kini bergelar Pengetua MRSM Pendang.

Terima kasih di atas bimbingan cikgu selama ini ketika saya di tingkatan satu. Saya tidak sabar untuk memberikan ceramah motivasi kepada MRSM Muar dan Jasin pada 3 Mei ini.

Sementara itu, saya diberi penghormatan apabila menyertai Larian Obor Olimpik baru baru ini dengan peserta dipilih daripada kalangan 80 atlit dan tokoh negara.

Kali terakhir Malaysia menyertai upacara ini adalah pada 1964 ketika Jepun menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Obor seberat 980 gram yang dibuat daripada aluminium ini dibawa ke puncak Menara KL dan dibawa mengelilingi satu pusingan dengan berlatar belakang bandar raya Kuala Lumpur sebelum dibawa turun kembali.

Larian Obor Olimpik adalah suatu kejayaan kepada Malaysia dalam menganjurkan upacara yang bersejarah ini. Slogan "Light the Passion, Share the Dream" amat sesuai dengan tema kali ini supaya perpaduan dan keharmonian dapat dicapai di kalangan penduduk dunia.

Politik dan sukan tidak harus dicampuradukkan. Sukan Olimpik sepatutnya dapat menyatupadukan setiap warga dunia tanpa mengira bangsa, agama atau negara. Tahniah kepada Majlis Olimpik Malaysia kerana menjayakan program larian obor yang penuh bermakna ini.

Saya juga sempat berada di Melaka, bekerjasama dengan MIDF (Malaysian Industrial Development Finance Bhd) dalam program pemberian basikal dan peralatan sekolah kepada 50 pelajar miskin.

Melihat senyuman di bibir anak-anak ini membuatkan saya lebih berazam untuk menumpukan perhatian kepada kebajikan mereka dan saya berharap dapat menjalankan pelbagai kerja amal pada masa depan.

Pada masa sama, saya berharap lebih banyak organisasi dapat memberi perhatian kepada nasib kanak-kanak miskin, terutama dalam bentuk pendidikan supaya mereka juga dapat mengejar impian menjadi doktor dan saintis demi kegemilangan negara. Saya sentiasa percaya bahawa impian mampu menjadi kenyataan.


SOALAN: Saya bangga dengan kejayaan Dr. Oleh kerana minat, saya mewujudkan blog mengenai angkasa lepas. Terima kasih kerana merangsang minat kami terhadap angkasa lepas. Saya ingin tahu kenapa Dr makan epal selepas mendarat di bumi. Kenapa tidak buah lain?

Dpd: Nina Rawang

JAWAPAN:

Epal diberikan sebagai tradisi ketika mendarat dan ini dilakukan oleh angkasawan Yuri Gagarin. Rakyat Russia memang kaya dengan pelbagai tradisi, termasuk berkaitan angkasa lepas. Pelbagai tradisi itu kami patuhi sebagai tanda penghormatan kepada mereka.

Contoh tradisi lain ialah adat memotong rambut sebelum pelancaran, melawat Kremlin sebagai tanda penghormatan, meletakkan tandatangan di pintu bilik, membuang air kecil di tayar bas dan banyak lagi.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 20 April 2008
CORETAN ANGKASAWAN - SIBUK PENUHI UNDANGAN SEKOLAH, IPT
Topic: - By Dr Sheikh

Sheikh Muszaphar menceritakan pengalamannya ketika mengikuti program angkasawan kepada kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP).

JADUAL saya kini dipenuhi dengan program motivasi berkongsi pengalaman bersama pelajar di seluruh Malaysia. Ia bukan saja membabitkan kanak-kanak, malah sekolah dan universiti tempatan. Setiap hari saya mendapat panggilan supaya hadir ke majlis mereka untuk berkongsi pengalaman sebagai angkasawan negara.

Tidak lupa juga stesen radio dan rangkaian televisyen yang tidak henti-henti mengundang untuk menghadiri program mereka.

Minggu lalu, saya melawat Sekolah Seri Puteri Cyberjaya , Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Universiti Tun Abdul Razak Kelana Jaya, Universiti Malaysia Pahang, UiTM Melaka, Sekolah Menengah Sains Raub, Sekolah Menengah St John dan Universiti Multimedia.

Kadangkala dua atau tiga sekolah dalam sehari. Saya tidak sampai hati untuk menghampakan harapan pelajar apabila dijemput ke sekolah mereka walaupun pada Sabtu atau Ahad.

Suatu kepuasan tercapai dalam diri ini apabila dapat melihat senyuman pada bibir mereka. Inilah yang dijanjikan buat negara Malaysia setelah kembali dari angkasa lepas.

Jadual saya kini padat hingga Julai. Tidak lupa pula janji saya untuk MARA dalam lawatan "angkasawan pulang ke gagang" dan saya akan bermula bertapak di utara melawat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Kepala Batas dan Taiping.

Banyak lagi sekolah yang masih belum diterokai, terutama di Sabah dan Sarawak. Saya berharap mereka dapat bersabar kerana saya pasti akan ke sana dalam masa terdekat ini. Cuma saya terkilan apabila sesetengah pihak sudah mendirikan kain rentang dan memberitahu, akan kehadiran angkasawan walaupun masih belum mendapat persetujuan daripada saya.

Saya menerima banyak emel dan surat mengatakan Dr Sheikh tidak datang seperti yang dijanjikan. Saya benar-benar berharap perkara ini tidak akan berulang kerana bersimpati kepada mereka yang datang dari jauh.

Apabila saya bermesra bersama pelajar, saya sering bertanyakan impian mereka dan ramai yang begitu bersemangat dan bercita-cita menjadi angkasawan. Saya sering menekankan bahawa anda tidak semestinya memilih angkasawan kerana peluang dalam bidang itu adalah terhad, tetapi boleh menjadi saintis, doktor dan jurutera angkasa lepas untuk membuat sumbangan dalam bidang angkasa lepas.

Penjelajahan saya ke angkasa lepas bukan saja membabitkan bidang sains, tetapi sastera dan Islam. Bagi bidang sastera, saya membawa baju batik, menulis sajak dan membuat lukisan untuk sumbangan kepada golongan seni.

Bagi umat Islam pula, cara berpuasa dan bersolat telah direkodkan dalam bentuk video untuk dikongsi bersama umat Islam seluruh dunia. Inilah kehebatan program angkasawan negara yang membabitkan setiap lapisan masyarakat.

Saya juga mengikuti perkembangan rakan karib, Yi Seo Yeon, wanita Korea Selatan yang pertama ke angkasa lepas. Beliau juga menjalani pelbagai eksperimen saintifik di ISS dan membawa makanan kegemaran Korea iaitu Kimchi dan akan tinggal di ISS selama 10 hari sebelum kembali bersama krew saya, Yuri Malanchenko dan Peggy Whitson.

Saya berharap Malaysia juga mampu menghantar wanita kita ke angkasa lepas pada masa akan datang. Ini sudah pastinya akan menjadi satu inspirasi kepada golongan wanita di Malaysia.


SOALAN: Saya ingin tahu adakah Dr nampak arah ke Kaabah dari ISS. Boleh ceritakan pengalaman ketika pendaratan cemas? 

Dpd: Farah Husna 

JAWAPAN:

ISS berada 400 kilometer (km) dari bumi dan mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000 km/jam. Dari jendela ISS, kami dapat melihat lautan, gunung-ganang, sungai, pencemaran hutan dan lautan, tetapi mustahil untuk melihat bangunan mahupun kenderaan kerana kedudukannya terlalu jauh.

Ada peralatan komputer di ISS yang menunjukkan tempat-tempat yang kami lalui dan saya berkesempatan untuk melihat Pulau Pinang apabila melalui kawasan Malaysia. Negeri yang begitu indah apabila dapat melihatnya dari jendela ISS.

Ada pelbagai sebab mengapa pendaratan cemas berlaku. Berat badan yang berbeza juga boleh menyebabkan 'ballistic reentry'. Setelah dikaji, masalah kabel adalah punca mengapa kami terbabas sejauh 450 km dari sasaran.

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Saturday, 19 April 2008
ARGENTINA TO COMPETE IN UNDER-23 TOURNEY
Topic: - Var. Formal Appear'ce

PETALING JAYA: Olympic champions Argentina, Australia and Nigeria are the main attractions for the invitational Inter-Continental Cup Under-23 tournament in Kuala Lumpur from May 15-25.

The three teams, who will be competing in the Beijing Olympic Games, will join Ghana, Ireland, Iraq, Croatia and hosts Malaysia in the eight-team tournament, which will be hosted by the FA of Malaysia (FAM).

The tournament, to be held at the MBPJ Stadium in Kelana Jaya and the KL Football Stadium in Cheras, will be organised by Octagon Marketing.

IN TOUGH COMPANY: Astronaut Dr Sheikh Muszaphar Shukor (left) and FAM vice-president Datuk Capt. Gulzar Mohamed Nor conducting the Intercontinental Cup draw on Friday. Malaysia is grouped with Iraq, Ireland and Nigeria for the Under-23 tournament. - VICTOR K. K. NG/ The Star

Phil Carling, the global head of Octagon Marketing, said football fans would have to wait and see if Argentine Olympic coach Sergio Batista includes Barcelona ace Lionel Messi in his squad for the 10-day tournament.

"It all depends on the player's club commitment in the Champions League," Carling said in a press conference after the draw .

Malaysia is in Group A with Ireland, Iraq and Nigeria. Group B comprises Argentina, Australia, Ghana and Croatia.

The top two teams from the two groups will advance to the semi-finals.

 

Source: The Star Online


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 13 April 2008
CORETAN ANGKASAWAN - TAK PERNAH LUPA JASA CIKGU
Topic: - By Dr Sheikh

SHEIKH Muszaphar bersama guru ketika mengunjungi MRSM Kuala Krai.

Angkasawan negara cari guru pernah mengajar di MRSM Muar untuk ucap terima kasih.

SAYA menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar dari 1985 hingga 1989 dan pelbagai memori manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh 5 tahun belajar di sekolah asrama penuh itu.

Segala didikan dan amalan dipelajari di sekolah berkenaan. Di situlah saya mempelajari hidup berkeluarga tidak mengira pangkat mahupun kekayaan. Setiap pelajar dianggap sama rata dan kami sering bantu membantu di antara satu sama lain untuk mengejar impian hidup.

Guru MRSM Muar sentiasa membimbing saya untuk menjadi seorang yang berjaya dan mampu menghadapi segala cabaran hidup. Apabila dikenang kembali, sudah hampir 20 tahun masa berlalu.

Sejak kembali menjadi angkasawan negara, saya telah berjanji untuk membalas jasa guru MRSM khususnya MRSM Muar yang tidak pernah serik membimbing saya hingga ke puncak kejayaan. Saya kembali mencari guru kesayangan yang kini kebanyakannya tidak lagi mengajar di MRSM Muar.

Tidak sukar untuk mencari mereka kerana database boleh didapati di induk MARA sendiri. Tidak dapat saya lupakan Cikgu Azmi yang mengajar Kimia yang menggalakkan saya mendalami subjek itu sehingga mendapat tempat kedua dalam pertandingan Saintis Tunas Muda.

PELAJAR Tabika gembira dengan kehadiran Sheikh Muszaphar.

Saya akhirnya memberikan pelukan erat apabila menjejaki beliau di Ibu Pejabat MARA. Juga ustaz Khaidir dan ustaz Muhaidin yang kini berada di MRSM Kuala Krai dan Terengganu yang sentiasa memberi pedoman buat diri ini.

Cikgu Zaherah, penolong pengetua ketika itu dan ramai lagi guru di MRSM Muar yang sentiasa membimbing saya tanpa penat lelah, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Terima kasih MRSM Muar kerana membimbing saya menjadi angkasawan negara.

Saya telah berjanji pada diri ini untuk menumpukan penjelajahan kepada pelajar MRSM supaya mereka juga mampu mencapai impian mereka.

Saya kini bekerjasama dengan MARA dan kumpulan bekas pelajar MARA iaitu ANSARA untuk menjayakan program "Angkasawan Kembali Ke Gagang" untuk menjelajahi MRSM seluruh negara bermula di utara bersama MRSM Pendang, Kepala Batas dan Taiping pada 19 dan 20 April ini.

Tidak sabar diri ini untuk berkongsi pengalaman dan bermesra bersama mereka. Diharapkan dapat membakar dan mencetus semangat mereka supaya mereka juga mampu mencapai impian mereka.

Saya menyeru kepada mereka yang berjaya supaya tidak melupakan jasa guru yang telah membimbing mereka selama ini.

Sekadar ucapan terima kasih akan menjadi begitu bermakna buat mereka. Terima kasih kepada guru seluruh Malaysia. Teruskanlah perjuangan dalam membimbing anak Malaysia ke arah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Syabas buat anda semua.


SOALAN: Saya ingin tahu mengenai pelbagai perkara berkaitan Dr Sheikh Muszaphar seperti jenis makanan dan makanan tambahan yang diamalkan sejak zaman persekolahan hingga kini serta pekerjaan sebelum menjadi angkasawan. Cukupkah tidur hanya empat jam sehari!

Saya juga ingin kepastian mengenai suara azan yang Dr dengar di angkasa lepas serta benarkah Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan?

Dpd: Saharudin Abdullah @ Kota Tinggi 


JAWAPAN:

Saya tidak mempunyai apa-apa bentuk pantang dari segi pemakanan. Tetapi saya pastikan saya melakukan pelbagai senaman sekurang-kurangnya dua jam sehari. Kadang-kadang terpaksa berjoging pada jam satu pagi untuk mencari masa.

Sebelum menjadi angkasawan, saya mempunyai tiga pekerjaan iaitu doktor di HUKM, restoran di Bangsar, klinik di Rawang dan bergiat sebagai peragawan.

Bagaimanapun, kini segala telah berubah. Saya tidak melakukan tugas peragawan lagi kerana ingin menjadi model contoh kepada golongan kanak-kanak dan belia. Saya tidur hanya empat jam sehari kerana sudah menjadi tabiat.

Saya berasa jika anda berseronok melakukan sesuatu, istilah penat tidak akan timbul. Ada banyak

perkara yang ingin saya lakukan dan berasa 24 jam sehari tidak mencukupi.

Saya memang terdengar azan tiga jam sebelum kembali ke bumi dan ia datang dari ISS sendiri. Saya dapat mendengarnya dengan jelas dan ia adalah suara yang begitu merdu dan menakjubkan. Setelah berada di NASA dan melihat teknologi mereka, memang benar Neil Amstrong pernah menjejaki bulan pada tahun 1969.

Setakat ini 12 orang sudah menjejaki bulan selepas Neil Amstrong. Ini adalah pandangan saya saja
.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 3:01 PM JST
Monday, 7 April 2008
DR MUSZAPHAR SEDIH PROGRAM ANGKASAWAN DIANGGAP MEMBAZIR
Topic: - '08 Visits (Local)

DUA WIRA BERTEMU: Dr Sheikh Muszaphar Shukor (kanan) bersalaman dengan penjelajah muda negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin selepas perasmian penutupan program Motivational Talk, di Pusat Sains Sukan, UiTM, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM: Angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, menegur sikap sesetengah pihak yang masih bersikap negatif mengenai program angkasawan negara yang disifatkan mereka satu pembaziran.

Sedih dengan pandangan mereka, Dr Sheikh Muszaphar berkata, beliau sudah berkorban jiwa dan raga supaya pengalaman yang diperoleh boleh dikongsi bersama rakyat Malaysia.

Katanya, melalui ceramah di sekolah dan universiti di seluruh negara, beliau mendapati ramai pelajar terutama kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun amat berminat dengan subjek Sains dan Matematik serta bercita-cita menjadi angkasawan.

Justeru, beliau meminta pihak yang masih berfikir negatif mengenai program itu supaya menemuinya secara peribadi.

"Jumpa saya dan saya akan terangkan secara lebih jelas satu persatu mengenai program ini dan kesannya kepada negara supaya mereka lebih menghargainya," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah motivasi di Pusat Sains Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Datuk Nasuddin Othman dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Luqmanul Hakim.

Dr Sheikh Muszaphar berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober tahun lalu dan berada di stesen itu selama 10 hari bagi menjalankan pelbagai penyelidikan.

Angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, pula dijadual berlepas ke ISS selewat-lewatnya pada 2011 dan dijangka berada di stesen itu selama enam bulan.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Sheikh Muszaphar berkata, kos penghantaran seorang angkasawan ke ISS kini melambung tinggi iaitu mencecah RM100 juta.

Katanya, perkara itu dimaklumkan bakal angkasawan Korea Selatan yang akan berlepas ke ISS dalam masa sehari dua ini.

 

Sumber: Berita Harian Online


Posted by site editor at 5:50 PM JST
Sunday, 6 April 2008
CORETAN ANGKASAWAN - PROGRAM ANGKASAWAN 'BAKAR' MINDA RAKYAT
Topic: - By Dr Sheikh

Ramai pelajar semakin minat bidang sains dan matematik selain mempunyai impian jadi angkasawan

ADA sesetengah pihak yang masih skeptikal dengan program angkasawan negara. Mereka mengatakan ia adalah suatu pembaziran menghantar seorang angkasawan ke angkasa lepas sedangkan lebih banyak lagi faedah yang boleh digunakan demi pembangunan negara.

Ada juga mengatakan tidak ada gunanya menghantar seorang angkasawan Malaysia dengan menaiki roket Soyuz milik Russia.

Pelbagai kritikan negatif yang dilemparkan kepada program ini walaupun saya sedar ia hanya membabitkan segelintir daripada 27 juta rakyat Malaysia. Begitu juga mengenai saintifik eksperimen yang dilakukan oleh negara lain. Mengapa dilakukan semula?

Saya berasa ia adalah tanggungjawab saya dalam menerangkan segala aspek mengenai isu ini kerana seluruh dunia amat mengagumi pencapaian Malaysia dalam bidang ini tetapi berlainan pula di kalangan kita sendiri.

Bagi saya, sikap negatif ini semuanya kerana kurang pendedahan dan pemahaman mengenai program angkasawan negara.

Saya memberikan segala-galanya kepada program ini termasuk jiwa dan raga saya kerana mempercayai manfaat dan faedah yang dapat disampaikan kepada kita.

Saya juga kehilangan arwah adik ketika melalui program angkasawan ini dan tidak pernah menyesal kerana yakin program ini dapat membawa negara ke arah kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi. Cuma faedahnya akan dapat kita lihat dalam tempoh antara 5 hingga 10 tahun akan datang.

Pertama sekali ingin saya tekankan bahawa program angkasawan ini adalah sebuah offset program di mana Malaysia membeli Sukhoi jet dari Russia dan melalui ini Malaysia diberi satu tempat khas untuk menghantar seorang angkasawan negara ke angkasa lepas.

Ia tidak membabitkan sebarang pertukaran wang. Ini berbeza dengan Korea Selatan yang membayar AS$25 juta untuk menghantar astronaut mereka dalam masa terdekat ini.

Seperti Yuri Gagarin yang membakar semangat seluruh rakyat Russia menjadi orang pertama ke angkasa lepas pada 1961, seperti Neil Amstong yang menyuntik inspirasi kepada rakyat Amerika Syarikat apabila menjadi orang pertama menjejaki bulan.

Inilah sebenarnya objektif program angkasawan, iaitu untuk membakar serta menukar minda cara rakyat Malaysia, terutama golongan belia dan kanak-kanak supaya mereka lebih bersikap positif dan mampu mengejar impian mereka.

Saya menjelajah seluruh Malaysia dan saya dapat melihat betapa besarnya impak program angkasawan negara kepada rakyat. Ramai kanak-kanak berumur lima tahun ke atas kini mempunyai impian untuk menjadi angkasawan.

Ramai pelajar mengatakan mereka lebih berminat dalam bidang sains dan matematik. Nampaknya kini sudah ada anjakan paradigma di kalangan rakyat Malaysia di mana mereka begitu bersemangat untuk mengejar impian dan mempercayai pada kebolehan mereka.

Kalau dulu mereka ingin menjadi polis dan askar, kini semangat mereka berkobar untuk menjadi lebih daripada itu kerana mereka melihat dengan mata mereka sendiri bahawa rakyat Malaysia mampu menjelajah angkasa lepas.

Kita tidak perlu pergi jauh. Tanya dan dengar sendiri daripada anak-anak kita yang kini begitu bersemangat untuk menjelajah angkasa lepas, ingin menjadi doktor, saintis dan jurutera. Bukankah ini berbaloi melebihi wang ringgit?

Mengenai penghantaran angkasawan melalui kapal Soyuz milik Russia, sudah pastinya ini hanya titik permulaan dalam bidang penjelajahan angkasa lepas. Insya-Allah selepas ini kita akan mempelajari teknologi mereka dan menggunakannya untuk kebaikan negara.

Saya yakin dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita mampu menghasilkan roket kita tersendiri. Kini Malaysia melancarkan tiga satelit milik negara dan satelit RazakSat pula akan dilancarkan selewat-lewatnya tahun ini. Bukankah ini suatu kebanggaan melihat anak Malaysia memiliki teknologi terkini dalam bidang aeroangkasa?

Setiap eksperimen yang dijalankan di angkasa lepas membawa hasil yang berbeza, bergantung kepada teknik yang digunakan.

Hasil keputusan kajian saintifik eksperimen itu nampaknya sungguh membanggakan dan sudah pasti akan membawa kebaikan kepada manusia seluruh dunia. Negara luar seperti Jepun dan Amerika Syarikat juga begitu berminat untuk mengetahui hasil keputusan eksperimen itu dan akan mengambil masa sebulan lagi untuk dikongsi bersama.

Saya yakin program angkasawan negara ini sungguh berkesan untuk menukar minda rakyat dan dapat membawa Malaysia ke era baru mempertingkatkan kemajuan negara dalam bidang sains, teknologi dan aeroangkasa serta mampu bersaing dengan negara maju.

Persoalannya ialah apakah yang akan berlaku selepas ini? Fasa kedua ini amat penting dalam meneruskan matlamat program ini dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang cemerlang, gemilang lagi terbilang.


SOALAN: TERIMA kasih kerana melaksanakan impian setiap rakyat Malaysia dan menjadi idola saya. Alhamdulillah, saya juga cemerlang dalam subjek sains di sekolah. Soalan saya ialah bagaimana bernafas menggunakan abdomen dan keadaan kapal Soyuz. Bila hendak berkunjung ke Kota Kinabalu?

Dpd: Surmani Ruskin @ Kota Kinabalu 


JAWAPAN:
Bernafas menggunakan abdomen diajar untuk mengatasi tekanan 9G yang menekan dada ketika waktu pelancaran mahupun pendaratan.

Teknik ini dapat dilihat apabila kita menarik nafas, bahagian abdomen juga akan meningkat. Oleh kerana ketika ballistic reentry saya mengalami daya tekanan 9G, saya tidak mampu bernafas menggunakan dada tetapi lebih kepada abdomen di mana diafragma membantu proses pernafasan.

Saya sudah berjumpa rakyat Sabah di Tawau dan Insya-Allah akan cuba berkongsi pengalaman bersama penduduk Kota Kinabalu pula pada masa yang terdekat ini. Sabah sentiasa membawa memori manis buat diri ini. Sudah pasti saya akan kembali
.


INFO

Pembaca yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai program angkasa lepas dan penghantaran angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, boleh berbuat demikian dengan menghantar soalan ke alamat emel Berita Minggu, iaitu bminggu@bharian.com.my atau melalui surat, iaitu Soalan Kolum Coretan Angkasawan - Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Wednesday, 2 April 2008
ANGKASAWAN TO GRACE UNITAR FIESTA
Topic: - '08 Visits (Local)

FANCY meeting Malaysia’s angkasawan Dr Sheikh Muszaphar Shukor?

If so, then make your way to University Tun Abdul Razak's 10th Annivesary Fiesta which will be held on April 12 and 13 at its Kelana Jaya campus.

Dr Sheikh Muszaphar, who will be officiating the event, will also give a talk on his experience aboard the International Space Station last year.

Unitar's business and development vice president Saroni Judi said Dr Sheikh Muszaphar's presence is part of the celebration to commemorate a decade of Unitar’s establishment.

"Unitar will buy 500 copies of Reaching for the Stars, the book penned by the astronaut's late younger brother, Sheikh Mustapha Shukor Al-Masrie."

"The books will be donated to 10 secondary schools in the Klang Valley. Each school will receive 50 copies from Dr Sheikh Muszaphar," he said.

The fiesta, which is open to the public, will feature an Asian and international food fair, cultural dances and singing performances. It will also have activities that will appeal to students who are exploring educational and career options.

The activities include programme consultations, exhibitions by financial institutions, telecommunications industry representatives and others.

SPM graduates are also encouraged to attend as the university will hold a pre-registration programme for its May intake; the first 200 early bird enrolments will be given a RM1,000 rebate, subject to terms and conditions.

Unitar will also introduce its new boutique campus, the Tun Razak City Campus, at Capital Square.

Two new programmes at the new campus under the Bank Rakyat School of Entrepreneurship, in collaboration with Unitar, are the Bachelor of Business Management (Entrepreneurship, Hons) and MBA (Entrepreneurship). The school was launched on Dec 19, 2007, and officiated by Deputy Prime Minister Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Among other short executive programmes for working adults at the boutique campus are management and doctoral seminars and courses that offer professional and technical expertise on human capital development, research and development, technical management and fostering trade and investment among emerging economies.

Unitar has also collaborated with foreign universities such as Toulouse Business School and University of Westminster.

 

Source: The Malay Mail Online


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Tuesday, 1 April 2008
AIM HIGH, URGES SPACE PIONEER
Topic: - '08 Visits (Local)

By THE STAR

LIKE cosmonaut Yuri Gagarin who was the first human to travel into space and astronaut Neil Armstrong who was the first man to walk on the moon, Angkasawan Dr Sheikh Muszaphar Shukor wants to fuel the imagination of the nation.

Malaysia's first Angkasawan said his mission was not merely to travel into space but to come home and inspire the young generation.

"My mission is also to change the mindset of Malaysians - especially the young. I believe that one day, we can even launch our own rocket into space."

"I have wanted to be an Angkasawan since I was 10 years old. Along the way, I have been a model, doctor and restaurant owner. It took me 25 years to fulfil my dreams but I did it."

"Do not be afraid to try new things. Because I believe in myself, I know that no matter which field I am in, I will succeed."

Life-changing experience: Dr Sheikh Muszaphar giving his talk at USM.

"Nothing is out of reach if you believe in yourself. Write down your dreams on posters and put it up in your room."

"Read it out loud every day and it will inspire you to strive towards success," he said, adding that it was a fallacy to say that women were less capable than men.

"My Russian Soyuz 15-S mission crew members were Russian cosmonaut Yuri Malechencko and American Peggy Whitson. Peggy is the International Space Station (ISS) commander and she is very capable."

"In fact, I think women are mentally stronger than men," he said during the closing of the Brain Awareness Week (BAW) 2008 at Universiti Sains Malaysia (USM) Dewan Budaya recently.

He was delivering a talk on 'Brain in Space: Our New Frontier'.

Sharing his space experience with more than 500 students from all over the country, he said he had always insisted on being called an angkasawan even when undergoing training in Russia.

"In Russia, they are called cosmonauts and in America, they are astronauts. I think as a Malaysian, the correct term is angkasawan. We must be proud of our culture and language."

"It was very difficult for me to learn the Russian language so everywhere I went, I would say 'Ya La Blu Tibia' ('I love you' in Russian) to everyone. They really appreciated me trying to learn their language," he said, adding that it was not easy to become an angkasawan.

"I went through so many physical and mental tests. I even had to answer a 1,000-question personality evaluation that included questions like 'Do you like to sleep with one or two pillows?'"

"Everything I said and did was evaluated by a team of psychiatrists to make sure that I was mentally fit for the mission."

"I had always been afraid of heights. I went bungee jumping every now and then to get over my fear," he said.

Among the questions asked were whether Dr Sheikh Muszaphar played football in space and how space has changed his perception of life.

"Unfortunately, I did not play football in space – I would have loved to though. I did however play the gasing in space and because there was no gravity, it spun for more than a day. I actually got tired of waiting for it to stop," he said.

He added that the experience in space taught him to look at the "bigger picture".

"Nowadays, I don't care what is being said about me. I worry more about trying to make the world a better place," he said.

Also present was USM vice-chancellor Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak
.

 

Source: The Star Online

 


Posted by site editor at 12:01 AM JST
Sunday, 30 March 2008
CORETAN ANGKASAWAN - TOKOH MAULIDUR RASUL SATU TANGGUNGJAWAB
Topic: - By Dr Sheikh

Dr Muszaphar azam beri sumbangan kembalikan keagungan Islam dalam bidang astronomi, sains.

PENGANUGERAHAN Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan adalah satu penghormatan yang begitu besar buat diri ini. Saya berasa begitu terharu dan berbangga menerima anugerah itu memandangkan ia adalah satu tanggungjawab yang begitu besar.

Ia sudah pasti membuat saya berusaha dengan lebih gigih menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam dengan harapan dapat mengembalikan keagungan Islam khususnya bidang astronomi dan sains.

Ini jelas menunjukkan penjelajahan angkasawan ke angkasa lepas bukan saja membabitkan bidang sains tetapi juga kebanggaan Islam secara menyeluruh. Negara Islam seluruh dunia juga berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam kehidupan di angkasa sebagai umat Islam.

Bagi saya, "Islam is a way of life" dan amat penting ibadat dilakukan baik di bumi mahupun di angkasa. Islam bukan saja membabitkan ibadat yang dilakukan seharian seperti bersembahyang atau berpuasa tetapi lebih kepada corak pemikiran dan tingkah laku. Dengan erti kata lain , Keislaman seseorang harusnya datang dari rohani dan jasmani.

Walaupun saya orang Islam ke sembilan menjelajahi angkasa lepas, Malaysia adalah negara yang pertama menghasilkan panduan beribadah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bersama Jabatan Agama Islam (Jakim) selepas berbincang bersama ulama dan mufti seluruh dunia

Semoga ia menjadi teladan dan contoh kepada angkasawan Islam yang lain pada masa akan datang. Baru-baru ini, saya di jemput oleh Shura Council di Amerika Syarikat untuk berkongsi pengalaman di angkasa bersama umat Islam di negara itu pada Mei ini dan insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab itu sebagai angkasawan negara.

Saya baru kembali menjelajahi Sibu, Sarawak selama tiga hari bertemu pelajar di Sibu dan sekolah berhampiran di Sarawak dan begitu terpegun dengan semangat yang ditunjukkan mereka.

Ramai yang bertanyakan soalan yang berkualiti tinggi untuk mengetahui dengan lebih mendalam bukan saja mengenai kehidupan seharian di ISS tetapi juga eksperimen saintifik yang sudah dijalankan.

Walaupun majoriti penduduk Sibu berbangsa Cina, semangat perpaduan yang ditunjukkan bersama masyarakat Melayu dan India sungguh mengagumkan. Saya berkesempatan melawat Agape Centre di Sibu dan begitu tertarik dengan perhatian dan bantuan yang diberikan kepada golongan kurang upaya dan kanak-kanak yang memerlukan.

Penduduk Sibu nampaknya begitu ramah dan mesra dengan senyuman yang sentiasa terpapar di wajah mereka. Saya berjanji untuk kembali ke Sibu untuk menjalankan pelbagai kerja amal khususnya kepada golongan kanak-kanak yang memerlukannya. Mungkin bukan sahaja Sibu tetapi seluruh negara.

Fokus saya sejak dulu lagi adalah kepada golongan kanak-kanak dan akan melakukan yang terbaik untuk mereka. Merekalah harapan negara pada masa akan datang dan amat penting untuk menukar minda mereka dari peringkat awal lagi.

Ibu bapa dan guru harus memainkan peranan yang mendalam dalam mencorak kehidupan mereka. Tidak semestinya menjadi angkasawan tetapi juga sebagai saintis, doktor mahupun bidang kejuruteraan. Kita harus bermula dari sekarang untuk mencapai wawasan dan visi negara untuk menjadi sebuah negara yang maju dalam menghasilkan modal insan yang berilmu tinggi dan berkualiti. Inilah harapan kita semua. Inilah impian negara. Wassalam.


SOALAN: Bagaimana Dr berbuka puasa di angkasa lepas dan apakah juadahnya. Saya juga ingin tahu apa yang Dr lakukan ketika masa lapang?
Dpd: Mohamad Safwan Safrieales @ Taiping, Perak 


JAWAPAN:

Saya sempat berpuasa selama dua hari di dalam kapal Soyuz ketika mengelilingi orbit sebelum docking di ISS dan ia adalah pengalaman menakjubkan. Tidak langsung berasa lapar mahupun dahaga. Sebaliknya saya merasakan ketenangan yang tak terhingga sepanjang dua hari berpuasa.

Saya bersahur dan berbuka puasa mengikut waktu Kazakhstan iaitu tempat pelancaran dan berbuka hanya dengan jus, roti dan keju ketika berada dalam kapal Soyuz.

Waktu lapang? Lazimnya kami begitu sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk eksperimen saintifik yang dijalankan ketika berada di ISS dan jarang mempunyai waktu lapang.

Waktu berehat adalah ketika waktu makan tengah hari dan malam. Jika ada kelapangan saya akan menghabiskan masa melihat bumi dan bintang di luar jendela ISS. Saya dapat merasakan kebesaran Allah dan memberikan ketenangan infiniti setiap kali melihat bumi yang begitu kecil ketika di ISS
.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM JST

Newer | Latest | Older

free web tracker