Topic: - Dr Sheikh
TIDAK perlu diperkenalkan lagi, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, kini cukup dikenali di negara ini. Setiap peringkat rakyat melihat angkasawan pertama Malaysia sebagai kebanggaan negara. Pemergiannya ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menaiki Soyuz TMA-II pada 10 Oktober lalu juga mendapat perhatian antarabangsa. Media Barat turut melaporkan mengenai isu cara angkasawan Islam beribadat di angkasa lepas. Bergelar angkasawan, beliau kini giat mempromosi di kalangan pelajar supaya meminati bidang sains dan teknologi. Ikuti pandangan Dr Sheikh Muszaphar mengenai pelbagai perkara, pengalamannya di ISS hingga cita-cita barunya menjadi juruterbang.
ZS: Bolehkah program angkasa lepas negara dan anda sendiri sebagai angkasawan menarik minat generasi muda, terutama pelajar untuk meminati sains dan teknologi?
DSMS: Saya berpendapat program angkasa lepas negara memberi kesan yang besar kepada rakyat Malaysia, terutama pelajar dan kanak-kanak.
Ramai kanak-kanak memberitahu saya bahawa mereka kini meminati bidang sains dan teknologi. Malah kanak-kanak berumur lima tahun melahirkan minat mereka untuk menjadi seorang angkasawan.
Ini suatu kesan yang besar dan memudahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan negara menggalakkan lebih ramai generasi muda untuk mendalami bidang sains dan teknologi, sekali gus dapat melahirkan lebih ramai ahli sains dalam pelbagai bidang untuk memajukan industri angkasa lepas.
Saya kini bertugas untuk Mosti dan kami membuat banyak program di sekolah dan universiti yang membolehkan saya berkongsi pengalaman ketika di angkasa lepas. Saya rasa ini cara yang baik untuk menyuntik semangat kepada mereka supaya belajar bersungguh-sungguh dan lebih mendalami bidang sains.
Itu tanggungjawab saya sebagai seorang angkasawan, tetapi saya rasa lebih banyak boleh dilakukan untuk menarik minat pelajar terhadap bidang sains, terutama melalui usaha Kementerian Pelajaran.
Saya harap Kementerian Pelajaran dan sekolah dapat mendedahkan bidang astronomi kepada pelajar di peringkat lebih awal seperti Tahun Satu atau Dua di sekolah rendah. Selain itu, lebih banyak kelab astronomi perlu ditubuhkan.
Saya melihat Malaysia sekarang berada dalam era bar u. Ini tanda yang bagus seperti Yuri Gagarin menaikkan semangat rakyat Russia dan Neil Amstrong melakukan perkara yang sama di Amerika Syarikat. Menghantar angkasawan ke angkasa lepas adalah antara cara yang baik untuk membuka minda rakyat dan pelajar untuk lebih meminati sains.ZS: Bagaimana dengan maklum balas yang diterima sepanjang program di sekolah dan universiti.
DSMS: Memang hebat dan menggalakkan. Ramai yang datang menemui saya untuk mengetahui pengalaman saya dengan lebih mendalam. Di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2007 (Lima 2007) baru-baru ini, beratus-ratus kanak-kanak berjumpa saya untuk mengetahui program angkasa lepas.
ZS: Masih ramai yang tidak jemu mendengar pengalaman di angkasa lepas. Penilaian anda sepanjang di sana?
DSMS: Pengalaman di angkasa lepas walaupun hanya 12 hari sesuatu yang ajaib dan menyeronokkan. Saya takjub melihat kebesaran Allah dan sepanjang masa mengendalikan eksperimen untuk universiti tempatan.
Pengalaman itu sesuatu yang hebat dan saya berjanji kepada rakyat Malaysia bahawa saya akan berkongsi pengalaman itu. Setiap hari ketika berada di angkasa lepas, walaupun sibuk, saya memastikan menulis setiap detik pengalaman di ISS. Saya berharap dapat menulis buku untuk berkongsi pengalaman itu.
ZS: Sekarang masih dalam proses penulisan?
DSMS: Ya! Kemungkinan pertengahan tahun depan buku itu akan diterbitkan. Sebenarnya saya sekarang sedang menerbitkan buku tulisan adik saya, Ajil (Allahyarham Sheikh Mustaffa Al Masrie). Apabila saya kembali, dia telah menulis sebuah buku mengenai diri saya, My Journey to Space, adalah suatu penghormatan kepada adik saya. Saya ingin menubuhkan tabung untuk anaknya.
Oleh itu pada Februari depan, saya akan menerbitkan buku Ajil terlebih dulu mengenai perspektifnya terhadap saya sejak kecil hingga dewasa. Memang dia sudah menulis. Semuanya sudah siap dan hanya menunggu untuk diterbitkan.
ZS: Pengalaman paling hebat ketika berada di angkasa lepas?
DSMS: Sudah pasti melihat bumi. Apabila melihat bumi dari angkasa lepas buat kali pertama, saya berasa sungguh takjub terhadap kebesaran Allah. Itu adalah saat paling manis bagi saya. Kehidupan di ISS juga sangat baik dan begitu juga kerjasama krew ISS dari Amerika Syarikat dan Russia. Kehidupan dalam ISS adalah suatu tempat tanpa mengenal negara.
Kami bekerjasama demi kebaikan manusia serta mendapatkan hasil eksperimen yang mendalam untuk kebaikan sains dan teknologi.
ZS: Tidak menghadapi sebarang masalah?
DSMS: Saya seronok di angkasa lepas dan tidak menghadapi masalah langsung. Tiada kesan sampingan, rasa pening atau masalah lain. Saya bersyukur dan berasa ini hasil pertolongan rakyat Malaysia yang sentiasa berdoa untuk kejayaan angkasawan negara. Saya berasa seolah-olah saya dilahirkan di angkasa lepas. Saya sangat sesuai di angkasa lepas. Saya berharap dapat tinggal lebih lama... kalau boleh hingga enam bulan.
ZS: Dilaporkan pengalaman mendarat di bumi lebih mendebarkan, berbanding ketika berada di angkasa lepas?
DSMS: Saya menghadapi penurunan balistik yang jarang berlaku. Cuma dua kali terjadi membabitkan program angkasa lepas Russia sejak 1961. Kami terbabas sejauh 600 kilometer dari tempat asal.
Bagaimanapun, ini suatu pengalaman yang menarik kepada saya kerana kami berpusing-pusing dan terhumban dalam kapsul apabila memasuki atmosfera. Kami juga menanggung tekanan graviti atau tekanan terhadap dada hingga 9G. Saya tidak dapat bernafas, tetapi berjaya diatasi kerana dilatih bernafas menggunakan abdomen.
Segala-galanya berlaku dengan pantas. Ketika itu, saya lebih mementingkan bahan eksperimen yang berada dalam kapsul Soyuz. Ya Allah! Saya sudah menghabiskan banyak masa untuk penyelidikan dan kerajaan juga sudah banyak berbelanja untuk eksperimen. Itu saja dalam pemikiran saya. Alhamdulillah, saya diberitahu bahawa semuanya selamat dan berjaya.
ZS: Walaupun bukan angkasawan Islam pertama ke angkasa lepas, pemergian angkasawan negara lebih banyak diperkatakan, terutama yang membabitkan aspek keislaman seperti cara beribadat. Bagaimana anda melihat perspektif ini sebagai angkasawan Islam?
DSMS: Memang saya bukan angkasawan Islam pertama, tetapi adalah orang pertama pergi ketika Ramadan. Saya sempat berpuasa dan menunaikan solat di angkasa lepas. Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) juga buat kali pertama menerbitkan sebuah buku panduan mengenai cara beribadat di angkasa lepas.
Tidak dapat dinafikan bahawa perkara ini menarik perhatian negara Islam seluruh dunia. Saya juga merekodkan video dan gambar mengenai cara melakukan solat dan berpuasa di angkasa lepas untuk dijadikan teladan dan contoh kepada angkasawan Islam lain yang hendak ke angkasa lepas.
Ini perkara yang baik kerana secara peribadi, Islam adalah suatu yang mudah. Walaupun kita berada di dunia atau di mana-mana saja, termasuk angkasa lepas, kita tidak harus melupakan tanggungjawab sebagai orang Islam. Amat penting bagi saya menunaikan tanggungjawab ini dan menunjukkan kepada umat Islam bahawa Islam suatu cara hidup.
Saya berharap berkongsi dengan umat Islam seluruh dunia. Berikutan itu, saya dijemput memberikan ceramah untuk berkongsi pengalaman dengan rakyat di negara Asia Barat melalui program anjuran pelbagai pertubuhan Islam. Saya berharap menjalankan tanggungjawab saya sebagai orang Islam dan mewakili Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
ZS: Jika berpuasa di bumi mudah berasa lapar, adakah keadaan yang sama dialami ketika di angkasa lepas?
DSMS: Seolah-olah tidak terasa seperti berpuasa langsung. Walaupun tempoh masa berpuasa lebih kurang sama, iaitu antara jam 5 pagi hingga 7 malam dengan mengikut waktu Kazakhstan, saya berasa begitu berbeza apabila berpuasa di angkasa lepas. Saya rasa begitu tenang dan secara kerohanian begitu rapat dengan Allah.
Walaupun saya hanya berpuasa dua hari, saya tidak berasa lapar. Kalau di bumi, kadang-kadang kita berasa hendak makan dan minum, tetapi ini tidak berlaku di sana.
ZS: Bagaimana pula beribadat di angkasa lepas?
DSMS: Cara beribadat boleh dikatakan mudah kerana panduan ditetapkan. Saya melakukan solat mengikut waktu Kazakhstan. Walaupun setiap 45 minit matahari naik dan turun serta jika mengikut matahari terbit, saya perlu melakukan solat 80 kali, tetapi mengikut Jakim, solat adalah lima kali sehari mengikut waktu Kazakhstan.
Melakukan tayammum dan solat juga mudah. Cuma kaki perlu diikat supaya tubuh tidak terapung-apung. Saya bersolat dalam keadaan berdiri dan kadang-kadang duduk apabila keadaan terdesak. Kadang-kadang terpaksa bersolat dalam keadaan yang sempit. Bagaimanapun bagi saya, ini tidak menjadi masalah kerana agak mudah sama seperti di bumi.
ZS: Apa pula reaksi anggota lain dalam ISS. Adakah timbul perasaan ingin tahu apabila melihat anda bersolat?
DSMS: Mereka menghormati Islam. Di ISS, tidak kira sama ada Kristian atau Islam, kita mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk menjalankan ibadat. Mereka menghormati waktu saya melakukan solat. Sudah tentu mereka bertanya mengenai Islam dan saya banyak berkongsi mengenai Islam.
ZS: Anda kini dikenali oleh setiap rakyat Malaysia. Dijemput ke seluruh negara, memberikan ceramah dan menghadiri pelbagai majlis. Bagaimana menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku?
DSMS: Sebenarnya apabila dipilih sebagai angkasawan pertama negara, saya tahu ini akan berlaku. Segala perkara mengenai kehidupan saya ingin diketahui umum. Saya menerima tanggungjawab ini dengan baik dan bersyukur kerana diberi mandat berkongsi dengan rakyat Malaysia.
Walaupun kadang-kadang media massa ingin mengetahui kehidupan peribadi, saya berharap mereka akan lebih memfokuskan terhadap eksperimen dan pengalaman di angkasa lepas. Walaupun kadang-kadang tidak dapat dielakkan keseluruhan, bagi diri saya, jika dapat memberikan kegembiraan walaupun kepada seorang rakyat Malaysia, saya akan gembira.
Saya gembira dengan apa dilakukan dan akan terus menerus berkongsi pengalaman kepada setiap insan di negara ini, tanpa mengira kaum dan agama. Saya akan meneruskan tanggungjawab sepanjang hayat.
ZS: Ada terasa seperti menjadi seorang selebriti apabila mendapat tumpuan ramai?
DSMS: Bagi diri saya, ini bukan mengenai kemasyhuran dan pujian. Saya tidak kisah semua itu. Saya mahu menjalankan tugas sebagai angkasawan untuk menukar minda rakyat Malaysia. Itu adalah matlamat saya. Saya benar-benar mahu berjumpa pelajar dan memberitahu mereka supaya yakin kepada diri sendiri.
Jika saya boleh melakukannya, mereka juga boleh kerana saya bukan seorang yang istimewa. Saya sama seperti mereka. Saya cuma seorang doktor di HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) dan yang penting ialah kekuatan mental. Kita perlu yakin terhadap kekuatan minda. Saya hendak menanamkan semangat di kalangan pelajar bahawa apabila mereka ingin melakukan sesuatu, mereka mampu melakukannya.
Impian saya menjadi kenyataan selepas 25 tahun. Saya ingin sampaikan kepada mereka supaya simpan impian itu dan insya-Allah, pada bila-bila masa ia akan menjadi kenyataan.
ZS: Apabila berada di tempat awam seperti berjalan-jalan, adakah masa untuk bersendirian (privacy) hilang?
DSMS: Memang sudah tiada lagi. Di mana-mana saya pergi, memang ramai akan berjumpa, bersalam dan mengambil gambar. Saya tahu itu tanggungjawab saya kepada masyarakat dan saya tidak ada masalah. Saya akan menjalankan tugas walaupun di mana saya berada. Walaupun privacy sudah tiada, saya rasa perkara itu harus diterima.
ZS: Sedikit pun tidak berasa terganggu?
DSMS: Tidak... tidak. Saya tidak melihat ini sebagai masalah berjumpa rakyat Malaysia kerana ini yang saya mahu. Saya mahu melakukan perubahan bukan saja di Malaysia, tetapi dunia. Saya mahu suara saya didengar untuk menukar minda rakyat. Antara caranya ialah berjumpa mereka.
ZS: Bila sebenarnya bermula impian menjadi angkasawan?
DSMS: Saya berminat sejak berusia 10 tahun. Saya ingat lagi, saya suka melihat langit dan mengetahui mengenai angkasa lepas. Saya tahu bahawa ketika itu, Malaysia memang baru dalam program angkasa lepas. Bagaimanapun, saya pendam dalam diri dan saya mengambil bidang kedoktoran kerana ia lebih rapat dalam bidang sains.
Bagaimanapun apabila ditawarkan pada 2003, dalam hati saya tahu ini adalah takdir saya dan terus memohon dan Alhamdulillah hingga mencapai tahap menjadi angkasawan Malaysia.
ZS: Ketika mula menghantar borang menjadi angkasawan, adakah pernah terfikir akan pergi sejauh ini?
DSMS: Ketika saya mengisi borang pada 2003, saya tahu bahawa saya akan pergi jauh. Saya tahu bahawa saya akan pergi hingga tahap 10 calon terakhir. Tiga adik-beradik saya juga memasuki program ini dan mereka berjaya ke tahap 59 orang terakhir.
Bagaimanapun, saya tidak sangka akan dipilih sebagai angkasawan pertama negara. Jika hendak menyatakan pergi jauh, saya yakin kepada diri saya dan tahu saya mempunyai mental yang kuat. Apabila terpilih, itu adalah rezeki dan ketetapan Allah.
ZS: Seorang doktor perubatan, model sambilan, ahli perniagaan (mengusahakan Restoran Rebung di Bangsar) dan kini seorang angkasawan. Semua bidang ini amat kontras atau tidak mempunyai kaitan langsung. Mengapa?
DSMS: Pertama, saya suka mempelbagaikan. Saya tidak suka membabitkan diri dalam satu bidang. Saya rasa dengan cara itu, saya dapat melihat betapa jauh saya boleh pergi. Saya tidak suka duduk dalam zon selesa. Saya suka mengambil risiko dan mencuba apa juga bidang yang berbeza.
Ini menyebabkan saya menggalakkan semua rakyat di luar menceburi apa juga bidang yang mereka minati. Saya selalunya selepas berjaya dalam satu bidang akan bertukar ke bidang lain dan mencuba bidang itu. Kalau saya berjaya, Alhamdulillah, saya akan mencuba bidang lain, saya akan tengok berapa jauh saya boleh pergi.
Saya ingin menjadi seorang juruterbang dalam tempoh lima tahun dari sekarang. Itu antara sasaran saya. Memang benar, ia jauh berbeza. Saya rasa setiap peluang tidak harus dilepaskan. Saya akan cuba hingga berjaya dalam bidang itu.
Bidang model pun saya berminat kerana dapat berjumpa dengan orang yang berbeza. Maknanya bukan saja yang berfikiran kedoktoran atau sains. Di restoran, saya suka berjumpa dan melayan orang. Sudah tentu saya juga suka makan. Banyak perkara yang saya ingin lakukan.
ZS: Apakah perancangan selepas ini?
DSMS: Memang banyak. Pertama sekali, saya ingin memberi semangat kepada semua rakyat di seluruh Malaysia, terutama di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak. Saya juga ingin memfokuskan kepada MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) kerana saya bekas pelajar MRSM Muar.
Saya masih dalam bidang ortopedik dan seorang pensyarah UKM. Saya harap kembali ke UKM serta meneruskan tugas merawat, berjumpa pesakit di wad dan melakukan pembedahan. Itu memang minat saya.
Saya juga berharap bertugas dengan Angkasa (Agensi Angkasa Negara) dan MOSTI mempromosi program angkasa lepas. Saya berharap menggunakan pengalaman yang saya ada, teknologi yang saya pelajari di Russia untuk berkongsi pengalaman dan memajukan industri angkasa lepas supaya pada suatu hari, Malaysia dapat melancarkan kapal angkasa sendiri.
Saya juga berminat meneruskan latihan sebagai seorang angkasawan dan kembali ke ISS selama enam bulan atau pergi ke planet Marikh. Saya rasa ada perancangan untuk menghantar kami berdua (Mejar Dr Faiz Khaleed) untuk meneruskan latihan sebagai angkasawan aktif. Maknanya bukan setakat ini, saya sudah menjadi angkasawan dan berhenti setakat itu saja.
Sumber: Berita Harian Online