DEBARAN menanti siapa yang bakal bergelar angkasawan pertama Malaysia sudah pun berakhir. Isnin lalu, pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 34, dan doktor gigi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kapten Dr. Faiz Khaleed, 26, diumumkan sebagai calon angkasawan negara.
Impian yang sememangnya mereka idam-idamkan sejak dari kecil kini bakal menjadi realiti.
Dua lagi calon akhir yang sama-sama bersaing, iaitu juruterbang Mohammed Faiz Kamaluddin, 34, tidak terpilih kerana masalah kesihatan manakala calon tunggal wanita, S. Vanajah, 35, gagal ujian daya tindakan graviti (daya-G).
Sheikh Muszaphar akan memikul tanggungjawab sebagai angkasawan dan dijadualkan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2 September tahun depan manakala Faiz diletakkan sebagai simpanan.
Bagaimanapun, keputusan yang dibuat oleh Panel Pemilihan Calon Angkasawan Negara yang dipengerusikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif Omar boleh berubah.
Sama ada Sheikh Muszaphar atau Faiz yang dipilih ke ISS boleh ditentukan pada peringkat akhir sebelum pelancaran ke angkasa lepas.
Ia tidak dianggap sesuatu yang luar biasa kerana orang pertama berada di angkasa lepas pada 12 April 1961, iaitu Yuri Gagarin sebenarnya merupakan calon simpanan.
Gherman Titov adalah calon utama yang sepatutnya mencatat sejarah dunia itu.
Disebabkan latarbelakang keluarga yang mempengaruhi ekoran ideologi komunisme yang begitu kuat ketika itu, keputusan menghantar Gagarin ke angkasa lepas dibuat empat hari sebelum kapsul Vostok 1 dilancarkan.
Bapa Gagarin merupakan seorang petani dan beliau dilihat akan lebih tabah menghadapi cabaran di angkasa lepas berbanding Titov yang mana bapanya bekerja sebagai guru sekolah.
Di antara Sheikh Muszaphar dan Faiz, siapa juga yang akan dihantar ke angkasa lepas hampir pasti tidak akan menimbulkan masalah memandangkan mereka sudah pun memiliki pakej sebagai seorang angkasawan, baik fizikal mahu pun mental.
Apa yang mungkin ketara membezakan mereka berdua ialah faktor usia namun ia bukan halangan.
Berdasarkan laporan pakar-pakar perubatan yang mengendalikan program berkenaan, kedua-dua anak jati Kuala Lumpur ini memiliki personaliti yang meyakinkan panel pemilihan untuk menamakan mereka sebagai angkasawan negara.
Sheikh Muszaphar selain matang, merupakan seorang yang sentiasa percaya akan kebolehan dan kemampuan diri sendiri terhadap apa juga bidang diceburinya.
Setiap sasaran atau cita-cita anak ketiga dari lima beradik ini akan dikota sehingga menjadi kenyataan.
Menurut adiknya, iaitu Sheikh Mustapha, sifat sedemikian sudah ada dalam diri abangnya itu sejak kecil lagi.
"Semasa kecil, dia sentiasa mahu menang dalam setiap aktiviti atau permainan yang kami adik-beradik sertai."
"Abang-abangnya yang besar pun akan dicabar dan biasanya dia berjaya menjadi juara," katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.
Ia terbukti dalam kehidupan seharian di mana selain seorang doktor, Sheikh Muszaphar merupakan model sambilan dan usahawan yang berjaya.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Johor ini juga sedang menuntut di tahun akhir kursus Sarjana Surgeri Ortopedik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Mampu
Bukan calang-calang orang mampu melakukan kesemua itu dengan terurus dalam masa serentak.
Begitu juga dalam memastikan tahap kecergasan yang konsisten sebagai seorang angkasawan.
Walaupun sibuk dengan urusan seharian, lulusan ijazah perubatan MBBS dari Kolej Perubatan Kasturba, Manipal, India ini tidak pernah mengabaikan penjagaan kesihatan dan kecergasan.
Kadang-kala beliau terpaksa berjoging pada tengah malam dan pergi ke gimnasium pukul 1 pagi kerana itu saja waktu-waktu yang terluang baginya.
Seorang pakar perubatan yang enggan namanya dikenali memberitahu, beliau turut kagum dengan komitmen Sheikh Muszaphar yang meletakkan kerjaya angkasawan sebagai pilihan nombor satu dan doktor pakar sebagai pilihan kedua.
"Saya pasti tidak ramai doktor yang akan melakukan apa yang dia inginkan, sanggup meletakkan bidang pakar perubatan sebagai bukan pilihan utama," jelasnya yang pernah menemuramah Sheikh Muszaphar semasa proses pemilihan.
Sementara itu, Faiz yang diletakkan sebagai calon simpanan tidak langsung merasa rendah diri.
Beliau yang memiliki ijazah sarjana muda pergigian dari Universiti Malaya menjelaskan, dirinya tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Sheikh Muszaphar dan akan sentiasa membantu rakannya itu untuk menjayakan misi ulung negara.
"Sesiapa pun daripada kalangan rakyat Malaysia yang dihantar ke angkasa lepas sebagai angkasawan bererti membawa imej negara di mata dunia."
"Justeru, apa yang penting ialah menjayakan matlamat itu," jelasnya ketika diwawancara dalam rancangan khas di televisyen Rabu lalu.
Faiz seperti anak-anak muda lain yang seusia dengannya dilihat sebagai seorang calon yang sentiasa bersemangat tinggi dalam setiap perkara yang dilakukan.
"Sudah menjadi sifat semulajadi orang muda, Faiz merupakan seorang periang, peramah, cergas dan sentiasa bersemangat untuk mencuba sesuatu yang baru."
"Ini merupakan antara ciri-ciri seorang angkasawan ditambah dia pegawai tentera yang sentiasa diterap dengan disiplin tinggi dan tahap kecergasan yang konsisten, saya yakin dia pilihan tepat," kata bekas Pengarah Pergigian ATM, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Mohamad Termidzi Junaidi yang pernah menjadi 'boss' Faiz.
Di kalangan calon-calon lain yang pernah bersaing dengannya dulu juga mengakui Faiz mempunyai karisma.
Sifat tersebut menurut mereka memperlihatkan kematangan beliau berfikir walaupun dalam usia begitu muda, iaitu 26 tahun.
Laporan psikiatri pula menunjukkan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St. John’s Institution ini tidak pernah mengenal erti putus asa ketika berdepan sesuatu cabaran.
Dalam ujian-ujian serta tugasan-tugasan yang diberikan semasa proses pemilihan, beliau tidak mudah mengalah sebaliknya sentiasa berusaha mengatasi setiap rintangan.
"Dia melihat sesuatu kesulitan itu dari sudut positif dan tidak pernah mengaku kalah."
"Faiz sentiasa yakin bahawa sesuatu kesukaran itu mampu diatasi asalkan seseorang itu tabah, sabar dan sanggup berusaha," jelas seorang pakar psikiatri.
Sikap berkenaan dibuktikan dalam laporan perubatan yang ditulis berdasarkan hasil ujian ikhtiar hidup di Lumut, Perak.
Walaupun terpaksa menghadapi cabaran-cabaran lasak ala komando tanpa rehat yang mencukupi, Faiz dilihat mudah bekerjasama dengan ahli-ahli dalam sesebuah kumpulan, tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa memastikan setiap tugasan diselesaikan.
Sememangnya pemilihan Sheikh Muszaphar dan Faiz sebagai angkasawan boleh disifatkan sebagai tepat.
Ini kerana selain ketahanan fizikal dan mental, kedua-duanya mempunyai latarbelakang perubatan.
Misi di ISS nanti memerlukan mereka mahir dalam melaksanakan beberapa kajian saintifik, maka kepakaran dalam bidang perubatan sudah pasti dapat membantu.
Sekiranya ia dapat dilaksanakan dengan berjaya, sudah tentu akan dapat membuka era baru dalam bidang sains di negara ini.
Penghantaran angkasawan pertama negara dengan kos RM95 juta merupakan sebahagian daripada program mengimbangi pemerolehan 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.
Di bawah program berkenaan, angkasawan Malaysia tidak akan semata-mata menjadi ‘penumpang’ pada misi angkasa lepas tetapi turut menjalankan eksperimen saintifik di ISS yang terletak kira-kira 402.34 kilometer dari permukaan bumi di antara enam hingga lapan hari.
Sebanyak RM18.5 juta (AS$5 juta) diinsuranskan untuk program ulung negara ini bagi melindungi sebarang tuntutan atau tindakan undang-undang yang mungkin dikenakan ke atas kerajaan Rusia atau pihak-pihak lain yang terlibat.
Manakala RM3.7 juta (AS$1 juta) merupakan insurans nyawa bagi angkasawan Malaysia.