Topic: - Editorials (Tributes)
MEMBAWA cabaran Malaysia: (Dari kiri:) Mohammed Faiz, Vanajah, Muszaphar dan Faiz Khaleed. |
MELIHAT daripada rentetan atau saringan yang perlu dilalui rakyat Malaysia untuk melayakkan diri bergelar angkasawan pertama negara ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), bagaikan satu cabaran dalam program realiti TV.
Mana tidaknya daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon sejak tiga tahun lalu, jumlah itu kemudiannya menyusut kepada 894 selepas penapisan peringkat awal.
Jumlah itu menyusut kepada 199 peserta, kemudian 59, seterusnya 27, 18, 10, 8 dan terkini empat orang, yang terpilih untuk dihantar mengikuti kursus selama 18 bulan di Yuri Gagarin Astronaut Training Centre di Star City, Russia, selewat-lewatnya Mac atau April ini.
Mereka yang membawa cabaran Malaysia itu adalah seorang wanita atau Jurutera Kualiti, S Vanajah, 35; juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), Mohammed Faiz Kamaluddin, 34; pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 34 dan doktor gigi angkatan tentera, Dr Faiz Khaled, 26.
Namun hakikatnya, cabaran yang sudah dan akan mereka hadapi nyata lebih hebat daripada program realiti TV kerana misi mereka - bergelar angkasawan Malaysia pertama menaiki pesawat angkasa Soyuz pada Oktober 2007 nanti.
Siapakah antara empat ini yang akan terpilih untuk bergelar Angkasawan Malaysia Pertama? Semuanya hanya akan terjawab selepas latihan 18 bulan di Russia nanti.
Lapan siri saringan hebat mereka tempuhi tatkala di negara sendiri sepanjang hujung tahun lalu dan awal tahun ini. Ujian mengikut modul Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa) dan Russia.
Cabaran lebih getir bakal dihadapi di Russia nanti seperti latihan ikhtiar untuk hidup, dugaan di padang pasir dan hutan serta ujian kecergasan.
Tindakan Malaysia menerusi Agensi Angkasa Negara (Angkasa) untuk menghantar seorang angkasawan tempatan ke ISS berikutan termeterainya perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi (SU-30) MKM daripada Russia bernilai AS$900 juta (RM3.42 bilion) pada 2003.
Melalui perjanjian timbal balas itu, Russia akan menanggung kos melatih dan menghantar seorang angkasawan Malaysia ke ISS pada Oktober 2007, termasuk seorang angkasawan simpanan.
Siapapun yang terpilih, pastinya sokongan dan doa seluruh rakyat akan mengiringi mereka kerana mereka bukan saja membawa maruah diri malah rakyat dan negara.
Kepada yang tidak terpilih di peringkat akhir pun, rakyat Malaysia amat berbangga dengan pencapaian mereka sehingga kini, begitu juga dengan empat lagi rakyat Malaysia yang tergolong dalam lapan terbaik sebelum ini.
Apa yang penting, Malaysia akhirnya melahirkan seorang angkasawan. Sememangnya..Malaysia Boleh!
"SAYA tidak meletakkan pemilihan ini sebagai kepentingan peribadi kerana apa yang saya lakukan selama ini, semuanya untuk negara. Lakukan 100 peratus terbaik adalah misi saya."
"Memang benar saya paling muda antara empat yang terpilih. Tapi saya tidak memandangnya pada sudut angka. Saya cukup bertuah berada di sisi mereka yang lebih matang."
"Daripada mereka, saya belajar bekerja secara berkumpulan, bekerja dengan mereka yang berbeza latar belakang dan pekerjaan. Itu adalah pengalaman keemasan buat saya."
BIO DR FAIZ
Nama: Faiz Khaleed
Tarikh lahir: 15 September 1980
Umur: 25 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Kerjaya: Doktor gigi
Kelayakan: Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian, Universiti Malaya.
"PEMILIHAN ini bukan dibuat kerana jantina tetapi kerana kemampuan. Saya mahu jadi seorang yang dihormati dan sumber inspirasi kepada wanita lain supaya mereka setaraf lelaki."
"Buat pertama kalinya juga, saya menyaksikan tiada layanan berbeza antara lelaki mahupun wanita ketika proses ujian berlangsung. Semua calon dilayan sama rata tanpa ada pengecualian. Saya menjalani ujian fizikal dan mental yang sama dengan lelaki."
"Sebagai calon tunggal wanita, tanggungjawab itu berat tetapi saya akan pastikan untuk membuat yang terbaik kerana saya mahu menjadi idola kepada wanita lain."
BIO VANAJAH
Nama: S Vanajah Siva Subramaniam
Tarikh lahir: 2 Mac 1971
Umur: 35 tahun
Asal: Klang, Selangor
Kerjaya: Jurutera Kualiti, Teknion Furniture Sdn Bhd.
Kelayakan: Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik, Universiti Malaya.
"SAYA sudah bersedia dengan cabaran yang bakal hadapi di Russia nanti, baik secara fizikal, intensif, latihan skuba, bahasa dan budaya rakyat di sana serta penyelidikan mengenai bidang eroangkasa."
"Apa yang mampu saya lakukan sekarang, buat yang terbaik dan berserah. Kalau ditakdirkan saya tidak berjaya, saya memandangnya secara positif dengan memberi sokongan padu terhadap program ini tanpa henti."
BIO MOHAMMED FAIZ
Nama: Mohammed Faiz Kamaluddin
Tarikh lahir: 25 Januari 1972
Umur: 34 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Kerjaya: Kapten Jurulatih Penerbangan MAS
Kelayakan: Lesen penerbangan CPL dan ATPL
"ADA banyak sebab kenapa saya terpilih. Pertama kerana saya memiliki sikap positif, emosi yang cekal, stabil mental dan fizikal. Tapi saya percaya, kami semua memiliki kemampuan setara, itu yang menyebabkan kami terpilih sampai ke tahap ini."
"Saya tidak bersetuju jika soal wajah menjadi penentu pemilihan saya ini, sebaliknya ketahanan mental dan emosi serta kekuatan dalaman menjadi kekuatan. Saya ingin menjadi angkasawan di atas kaki sendiri, bukan kerana senyuman saya."
"Sebenarnya saya impikan menjadi angkasawan sejak berusia 10 tahun. Tapi saya tidak berpeluang dan kerana itu saya memilih menjadi doktor. Selepas tujuh tahun baru peluang ini dibuka. Saya takkan menoleh ke belakang lagi."
BIO DR SHEIKH
Nama: Sheikh Muszaphar Shukor
Tarikh lahir: 26 Julai 1972
Umur: 34 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Kerjaya: Pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
Kelayakan: MBBS, KMC Manipal, India dan Master dalam Pembedahan Orthopaedic HUKM.
Neil Armstrong angkasawan pertama ke bulan
TEPAT jam 10.56 malam, tanggal 20 Julai 1969 satu sejarah yang tidak pernah dibayangkan manusia tercipta, apabila Neil Armstrong buat pertama kalinya menjadi manusia dan angkasawan pertama yang menjejakkan kaki di permukaan bulan.
Armstrong 19 minit kemudian, manakala seorang lagi rakan mereka, Michael Collin dipertanggungjawabkan mengawal pesawat induk, Columbia.
Ketiga-tiga mereka menaiki roket Saturn V dengan berlepas dari Cape
Kennedy, Florida Amerika Syarikat (AS), empat hari sebelum itu iaitu kira-kira jam 9.32 pagi, sambil disaksikan lebih 600 juta manusia.
Arsmstrong yang dilahirkan pada 5 Ogos 1930 di Ohio, AS, mula teruja
dengan penerbangan sejak kanak-kanak lagi.
Beliau mula mengikuti kelas penerbangan ketika berusia 15 tahun dan
berjaya memperoleh lesen juruterbang pelatih setahun selepas itu.
Sebagai juruterbang tentera laut yang disertainya sejak 1949, beliau
sudah menyertai 78 misi ketenteraan dan menerima tiga pingat sepanjang
khidmatnya pada 1952.
Pada 1962, beliau dipilih sebagai angkasawan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa) dan tugas pertamanya adalah sebagai juruterbang pembantu untuk misi Gemini V.
Bagaimanapun hanya pada 16 Mac 1966, beliau diberi tanggungjawab menjadi juruterbang Gemini VIII bersama rakan setugas Dave Agena dan berjaya melaksanakan misi berkenaan.
Seterusnya pada 1969, beliau dipilih sebagai komander untuk mengetuai misi Apollo 11 ke bulan yang melakar sejarah dunia.
Kini dalam usianya sudah pun 75 tahun, masih ada yang menganggap sejarah yang tercipta 36 tahun itu satu pembohongan. Percaya atau tidak, percayalah kerana ini adalah fakta. Jika Armstrong boleh, rakyat Malaysia juga boleh. Malaysia Boleh!
BIO NEIL
Nama: Neil A Armstrong
Tarikh lahir: 5 Ogos 1930
Umur: 75 tahun
Asal: Ohio, Amerika Syarikat
Tempat tinggal sekarang: Lebanon, Ohio, AS
Jawatan sekarang: Pengerusi CTA Inc (syarikat sistem maklumat)
Pendidikan:
Cerita Angkasa
Source: Ikon, Berita Harian Online.
Site Editor's Note: The date this article was published is uncertain.