Topic: - By Dr Sheikh
DR Muszaphar melayan peminat kecil di Singapura. |
Dr Muszaphar galak ibu pupuk hobi membaca anak sejak kecil
SINGAPURA adalah negara keempat selepas Amerika Syarikat, Indonesia dan Brunei yang membolehkan saya berkongsi pengalaman ketika di angkasa lepas. Sebenarnya, banyak jemputan diterima dari negara lain, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana tumpuan utama adalah kepada negara sendiri.
Walaupun hanya di seberang Selat Tebrau, kali terakhir saya ke Singapura ialah kira-kira 15 tahun lalu, suatu tempoh yang cukup lama. Sudah tentu, banyak perubahan yang berlaku di negara jiran sepanjang tempoh itu.
Saya dijemput oleh Jamiyah Singapura, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak bangsa Melayu dan Islam di negara itu. Saya diberi peluang berucap dalam 'Forum Kepimpinan Komuniti' dengan harapan untuk menyuntik inspirasi kepada belia agar lebih berjaya.
Bagi saya, kesempatan ke Singapura adalah suatu kepuasan kerana dapat membantu melakukan perubahan dalam kehidupan setiap insan. Insya-Allah dengan harapan, mereka juga mampu mengejar impian masing-masing.
Saya berada di Singapura selama dua hari dan berasakan tempoh itu amat singkat kerana terpaksa bergegas pulang untuk memberikan ceramah motivasi di Kuala Lumpur pada keesokan hari.
Walaupun singkat, saya berkesempatan melawat sebuah rumah anak yatim orang Islam yang ditinggalkan oleh ibu bapa kerana pelbagai faktor. Anak-anak ini dijaga oleh pegawai Jamiyah yang terlatih bagi menjamin pendidikan dan masa depan mereka lebih terjamin.
Saya juga berkesempatan berkongsi pengalaman dan memberi ceramah motivasi kepada belia yang kebanyakan mereka bersemangat untuk mengetahui penjelajahan ke angkasa lepas. Tidak ada beza antara anak Singapura dan anak Malaysia.
Orang Islam di Singapura adalah golongan minoriti, iaitu kira-kira 220,000 orang berbanding jumlah keseluruhan penduduk Singapura seramai lima juta orang, tetapi mereka mendapat sokongan kerajaan Singapura untuk mempertingkatkan taraf hidup.
Orang Melayu dan Islam patut berasa bertuah tinggal di Malaysia kerana kerajaan kita memperjuangkan hak mereka. Oleh itu, kita harus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh. Tidak ada sebab kita tidak boleh berjaya mengejar impian berbanding negara lain.
Kini saya giat bekerjasama dengan perpustakaan seluruh negara setelah dipilih menjadi 'Ikon Membaca' untuk memupuk minat suka membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Program 'Setiap Bayi Satu Buku' yang dilancarkan di seluruh negara amat baik untuk memupuk sikap membaca di kalangan rakyat. Kita bukan hanya perlu menggalakkan sikap suka membaca di kalangan remaja, tetapi sikap ini harus bermula dari ibu yang bakal melahirkan anak.
Melalui kempen itu, buku yang dibuat dari kain diberikan kepada bakal ibu bagi menggantikan 'bantal busuk' dengan harapan pertalian antara buku dan kanak-kanak akan dijadikan satu keperluan yang berterusan untuk memupuk sikap membaca di kalangan anak-anak.
"Budaya Membaca Budaya Berjaya" yang dipilih sebagai tema kempen membaca pada tahun ini amat tepat untuk menyampaikan mesej bagi mencapai matlamat melahirkan modal insan yang intelektual dalam tempoh terdekat ini.
Saya sudah melawat Sarawak, Perlis dan Pulau Pinang bagi menjayakan program 'Setiap Bayi Satu Buku' bersama Datin Seri Zainab Abdul Kader, yang mengilhamkan program ini sejak awal lagi dan berharap dapat meneruskan program yang bermanfaat ini ke seluruh negara dalam tempoh terdekat ini. Insya-Allah.
Selain itu, saya kini bergiat aktif bekerjasama bersama Pride dan Avon mengetengahkan 'Program Kesedaran Kanser Payu Dara' di kalangan wanita negara ini. Kempen ini bertujuan menyedarkan wanita supaya menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan barah payu dara yang lazimnya dapat mengelakkan penyakit berbahaya itu.
Kekuatan minda kunci kejayaan
SOALAN: Bagaimana Dr membuatkan diri supaya sentiasa bermotivasi tinggi?
JAWAPAN:
Banyakkan membaca buku yang berunsurkan motivasi dan bergaul dengan kawan berfikiran positif yang sentiasa mempercayai kemampuan anda. Elakkan berkawan dengan mereka yang berjiwa negatif.
Kekuatan minda untuk berjaya adalah kunci kejawaan seseorang. Kekuatan minda yang membuat saya terpilih sebagai Angkasawan Negara.
INFO
Pembaca yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai program angkasa lepas dan penghantaran angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, boleh berbuat demikian dengan menghantar soalan ke alamat e-mel Berita Minggu, iaitu bminggu@bharian.com.my atau melalui surat ke alamat Soalan Kolum Coretan Angkasawan - Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu