Topic: - By Dr Sheikh
Dr Sheikh Muszaphar (kanan) bersama calon finalis menjadi angkasawan pertama negara |
Membuang air kecil di tayar bas sebelum menaiki kapal Soyuz hanyalah tradisi
MINGGU ini angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan menjawab beberapa soalan yang dikemukakan pembaca Berita Minggu kepada beliau sebelum berangkat ke Russia untuk urusan.
SOALAN: Saya ingin tahu kenapa mesti buang air kecil di tayar kereta sebelum menaiki pesawat Soyuz dan bagaimana keadaan suhu udara di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS)?
JAWAPAN:
Ini adalah tradisi yang dilakukan oleh angkasawan Russia, Yuri Gagarin, apabila beliau membuang air kecil di tayar bas sebelum menaiki kapal Soyuz. Orang Russia amat mementingkan tradisi dan ini berterusan hingga sekarang. Saya melalui setiap tradisi itu untuk menghayati langkah Gagarin sebagai manusia pertama naik ke angkasa lepas pada tahun 1961.
Suhu di ISS ditetapkan dan dikawal dari kawalan misi (mission control), iaitu antara 22 hingga 26 darjah Celsius. Tidak panas dan tidak terlalu sejuk. Terlalu tinggi akan menyebabkan pertumbuhan bakteria dan terlalu sejuk akan menyukarkan kehidupan seharian krew di ISS.
SOALAN: Saya ingin tahu bagaimana hendak bernafas menggunakan abdomen?
JAWAPAN:
Apabila anda menarik nafas dan melihat abdomen anda naik, bermakna pernafasan anda menggunakan abdomen. Lazimnya kita bernafas menggunakan paru-paru yang menyebabkan dada kita berkembang. Apabila melalui tekanan 9G yang menekan dada kita, kita harus menggunakan abdomen untuk bernafas. Ketika pendaratan saya berasa seolah-olah seekor anak gajah memijak dada saya. Pernafasan menggunakan abdomen mampu menyelamatkan nyawa di saat-saat begini.
SOALAN: Jika seorang wanita ingin menyertai program angkasawan, adakah dia perlu bersaing dengan calon lelaki atau dia hanya perlu bersaing dengan calon wanita saja?
JAWAPAN:
Calon lelaki harus bersaing dengan calon wanita untuk menjadi seorang angkasawan. Ingin saya tekankan di sini bahawa untuk menjadi seorang angkasawan, bukan kekuatan fizikal saja menjadi penentuan tetapi lebih daripada itu. Kesihatan tubuh badan, kekuatan fizikal, psikologi dan kekuatan mental memainkan peranan penting.
Sentiasa bersikap positif, bekerjasama dalam satu kumpulan, sikap kepimpinan yang tinggi, mampu berkomunikasi dengan baik dan bersikap penyayang. Inilah ciri-ciri untuk menjadi seorang angkasawan.
Saya berharap wanita diberi peluang untuk menjelajah angkasa lepas. Wanita masa kini mampu bersaing dengan lelaki dalam apa juga bidang. Bagi saya kunci kejayaan terletak pada kekuatan mental. Ia adalah penentuan segala-galanya.
INFO
Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu