CORETAN ANGKASAWAN - IKAT KAKI KETIKA SOLAT
Topic: - By Dr Sheikh
Oleh DR SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR
|
SHEIKH MUSZAPHAR membaca al-Quran ketika lapang |
Panduan beribadat di angkasa hasil persidangan tokoh Islam seluruh dunia
PENGHANTARAN angkasawan Malaysia ke angkasa lepas pada Ramadan, 10 Oktober 2007, menarik minat dunia, terutama negara Islam yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam cara beribadah di angkasa lepas.
Memandangkan saya adalah angkasawan Islam pertama menjelajah angkasa lepas pada Ramadan dan menyambut Aidilfitri raya di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), ramai yang bertanya cara menunaikan solat dan berpuasa memandangkan topik ini tidak pernah dibincang secara terperinci sebelum ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat pertama kali menghasilkan sebuah buku kecil garis panduan 'Pelaksanaan Ibadah di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa' selepas membuat kajian terperinci, termasuk mengadakan pelbagai persidangan bersama mufti dan tokoh agama seluruh dunia dengan harapan akan menjadi panduan kepada angkasawan Islam lain selepas ini.
|
Beribadah di angkasa lepas tidak pernah diberi perhatian serius sebelum ini walaupun saya adalah umat Islam kesembilan menjelajah angkasa lepas. Mungkin kerana misi yang diutamakan adalah terhadap eksperimen saintifik yang bakal dijalankan.
Saya sempat berpuasa selama dua hari dalam Soyuz sebelum tiba di ISS. Ia adalah pengalaman yang begitu menakjubkan. Walaupun sukar untuk bergerak kerana Soyuz kecil dan sempit, tidak pernah sekali berasa dahaga mahupun lapar.
Memandangkan matahari terbit dan terbenam setiap 45 minit, berdasarkan panduan yang ditetapkan saya masih berpuasa mengikut waktu tempat Soyuz dilancarkan, iaitu di Kazakhstan. Saya berbuka puasa berbekalkan jus, biskut dan roti sambil memerhatikan keindahan bumi melalui tingkap kecil. Ketika ini, saya berasa seperti mencapai infiniti dalam kehidupan.
Bertahun-tahun saya mengembara hingga ke Afghanistan dan Cambodia, seolah-olah mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan dalam jiwa raga ini. Saya berasa kekosongan itu berjaya diisi sepanjang misi di angkasa lepas.
Aidilfitri di ISS disambut dengan penuh kesederhanaan. Saya mengadakan rumah terbuka dengan semua krew berkongsi bersama juadah yang dibawa dari Malaysia seperti rendang Tok, sate dan briyani. Kuih Bangkit juga menghidupkan suasana Aidilfitri.
Cuma lagu takbir Aidilfitri tidak berkumandang. Ketika itu, saya banyak bercerita mengenai keunikan Malaysia kepada krew lain yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam mengenai negara tercinta.
Saya tidak menghadapi masalah menunaikan solat di ISS. Kalau diikutkan, saya perlu melakukan solat sebanyak 80 kali sehari kerana ISS dengan kelajuan 27,000 kilometer sejam mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari.
Bagaimanapun, Jakim menetapkan bahawa solat dilakukan lima kali sehari mengikut waktu Kazakhstan dengan arah kiblat adalah mengikut hala bumi sudah memadai.
Oleh kerana bekalan air begitu berharga, saya dibenarkan bertayammum dengan cara menepuk dinding sebanyak dua kali sebelum menyapu pada muka dan kedua-dua belah tangan.
|
RENDANG terapung ketika Sheikh Muszaphar menikmati juadah Aidilfitri di ISS |
Ketika melakukan solat, saya terpaksa mengikat pergelangan kaki supaya tidak terapung dalam keadaan mikrograviti. Saya juga berkesempatan membawa dua buah al-Quran ke ISS dan membacanya ketika kelapangan.
Sebuah al-Quran saya berikan kepada ibu kesayangan sebagai tanda kasih sayang dan sebuah lagi diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin negara.
Secara keseluruhan, saya tidak menghadapi masalah menjalani ibadah di angkasa lepas dan setiap aktiviti didokumentasi supaya dapat berkongsi bersama umat Islam seluruh dunia. ISS tidak mengira bangsa, agama mahupun negara.
Setiap krew bekerjasama bagai satu keluarga yang mempunyai satu matlamat. Matlamat ketika menjalankan eksperimen saintifik adalah demi kebaikan manusia sejagat. Hormat menghormati dan sikap bekerjasama adalah ciri yang penting dalam kehidupan seorang angkasawan.
Bagi diri saya, 'Islam is a way of life'. Amat penting untuk diri saya membuktikan kepada seluruh umat Islam bahawa tanggungjawab harus dilaksanakan tidak mengira tempat mahupun masa, di bumi mahupun angkasa lepas.
Harapan saya agar dapat mengembalikan keagungan Islam dalam bidang astronomi dan angkasa lepas. Ini adalah tanggungjawab bersama.
FAKTA
Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS)
ISS adalah kemudahan penyelidikan yang dipasang di angkasa lepas pada 1998. Terletak pada ketinggian antara 350 hingga 460 kilometer (km) di atas permukaan bumi. Bergerak pada kelajuan purata 27,700 km sejam dan melengkapkan sebanyak 15.77 pusingan orbit sehari. ISS adalah projek usaha sama membabitkan agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, Russia, Jepun, Kanada dan beberapa negara Eropah. Projek ISS diumumkan pada 1993 dan dikenali sebagai Stesen Angkasa Lepas Alpha. Bilangan angkasawan yang kini berada di ISS ialah tiga orang. Sumber kuasa elektrik di ISS ialah matahari yang ditukar menggunakan panel solar. Kos ISS sejak dimulakan pada 1980-an hingga 2010 dianggarkan RM428 bilion.
Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu
Posted by site editor
at 12:01 AM WST