Topic: - By Dr Sheikh
Pengiktirafan Russia penting tangkis kontroversi angkasawan Malaysia hanya seorang pelancong
MEMANG sudah menjadi tradisi, setiap insan yang menjelajahi angkasa lepas dengan kapal Soyuz akan diiktiraf oleh pihak Russia sebagai cosmonaut. Ia sebagai satu tanda penghormatan dan kebanggaan buat cosmonaut yang dianggap wira negara yang berbakti dan menabur jasa demi kedaulatan negara.
Apa tidaknya! Krew Russia menetap di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama enam bulan meninggalkan keluarga tersayang demi menjalankan pelbagai eksperimen saintifik untuk kebaikan manusia sejagat.
Saya berasa bangga kerana pihak Russia juga mengaitkan saya dalam upacara pengiktirafan sebagai seorang cosmonaut. Ini penting dalam menangkis pelbagai kontroversi yang mengatakan angkasawan Malaysia hanya seorang pelancong.
Tarikh 9 November adalah hari yang bersejarah buat Oleg Kotov, Fyeodor Urchikin, Sunita Williams dan saya sendiri. Sunita adalah wanita Amerika dalam ekspedisi 15 yang mencipta dua rekod, wanita yang paling lama berada di ISS selama tujuh bulan dan astronaut pertama berlari Maraton Boston selama 3 jam 48 minit di ISS.
Upacara pengiktirafan sebagai cosmonaut berlangsung di Star City Russia bermula di tapak Yuri Gagarin. Hari yang bersejarah ini dihadiri oleh semua cosmonaut Russia yang pernah menjelajahi angkasa lepas, termasuk Valentina Tereshkova, wanita pertama ke angkasa lepas pada 1963 dan media antarabangsa.
Kami diberi bunga carnation yang berwarna merah dan berarak sejauh 200 meter diikuti sekumpulan orkestra yang memainkan lagu kebangsaan negara mereka. Kami berempat diberi makan secebis roti sebagai tradisi kesyukuran sebelum memasuki dewan yang penuh sesak.
Delegasi Malaysia turut hadir bersama ibu bapa yang dikasihi. Saya berasa begitu terharu dan berbangga apabila lagu Negaraku berkumandang sebagai tanda rakyat Malaysia sudah menjejaki angkasa.
Saya memberi ucapan dalam tiga bahasa, Russia, Inggeris dan Bahasa Malaysia. Saya diberi pingat dan sijil serta diiktiraf sebagai cosmonaut. Pengiktirafan yang begitu bermakna buat diri ini. Ini bukanlah kejayaan saya seorang, tetapi kejayaan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan misi ini.
Sepanjang berlatih di Russia, saya bekerja keras untuk membuktikan bahawa Malaysia walaupun sebuah negara kecil mampu bersaing dengan cosmonaut bertaraf dunia.
Saya mempelajari setiap aspek dengan penuh terperinci dan mengambil tanggungjawab seorang angkasawan sebagai sesuatu yang serius. Setiap bulan kami menghadapi peperiksaan untuk menilai prestasi. Saya pastikan menjawab dan mendapat keputusan yang cemerlang.
Ramai astronaut dari Amerika Syarikat dan Eropah serta Jepun membimbing saya ke arah itu. Saya tidak pernah berasa malu untuk bertanyakan sesuatu. Sikap bekerjasama amat penting dalam diri angkasawan.
Inilah yang saya ingin terapkan dalam diri anda. Saya hanya seorang doktor perubatan. Tidak ada perbezaan. Hanya kekuatan mental dan sikap yakin kepada diri sendiri yang boleh membawa anda ke arah kejayaan.
Jika saya boleh melakukannya, anda lagi boleh. Impian sudah menjadi kenyataan. Impian anda juga mampu menjadi kenyataan. Bermulalah dari sekarang. Saya galakkan anda bertanya apa juga kemusykilan dengan menghubungi Berita Minggu. Insya-Allah saya akan cuba menjawab setiap soalan dengan terperinci.
SOALAN: Saya ingin tahu lebih lanjut mengenai Soyuz serta pengalaman Dr ketika menjalani latihan di Russia dan eksperimen yang dijalankan ketika berada di ISS?
JAWAPAN:
Struktur Soyuz dicipta untuk kegunaan sekali saja setiap enam bulan. Ia agak kompleks, tetapi lebih selamat berbanding kapal ulang alik Amerika Syarikat walaupun ia memerlukan latihan yang lebih intensif. Krew harus menjalani pelbagai latihan sebelum dibenarkan menaiki Soyuz kerana pelancaran dan pendaratan adalah lebih mencabar.
Latihan di Russia membabitkan kekuatan fizikal seperti larian, berenang, gimnasium, ikhtiar hidup musim sejuk dan laut. Kebuk udara (aerochamber), emparan (centrifuge) dan kerusi pintal (spinning chair) juga memainkan peranan penting. Kekuatan mental dan psikologi diutamakan di Russia.
Pemeriksaan kesihatan terperinci dilakukan setiap tiga bulan. Eksperimen yang dilakukan seperti kanser, bakteria dan penghabluran protein diusahakan bersama saintis tempatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa eksperimen lain bersama Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) dan Agensi Eksplorasi Angkasa Lepas Jepun (JAXA).
Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu