« February 2008 »
S M T W T F S
1 2
3 4 5 6 7 8 9
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29
Articles by Topic
All topics
- '08 Visits (Local)
- '08 Visits (O'seas)
- 6-Part Round-up
- Abt the Final 2
- Accolades
- Astronaut/Tourist?
- By Dr Sheikh лл
- Challenges/Hurdles
- Dr Sheikh
- Editorials (Tributes)
- In Memoriam
- Life in Russia
- LIMA & MISA
- Other Reports
- P1 - Pre-Launch
- P2 - Launch
- P3 - Dock
- P4 - On ISS
- P5 - Undock/Return
- P6 - A New Start
- Prog's Champions
- Rehab. Updates
- Selection Process
- The 2nd Angkasawan
- The Experience
- The Experiments
- The ISS
- The Prog. - Future
- The Prog. - General
- Training Updates
- Var. Formal Appear'ce
- Well-wishes
DR SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR & THE ANGKASAWAN PROGRAMME

A Compilation of News, Updates & Press Releases

DISCLAIMER: This is an independent non-profit website. This website neither advertises nor is promoted by any of the media sites mentioned herein. Views expressed in the individual articles are those of their respective writers/journalists/media sites and not of the owner of this website, unless otherwise stated. This collection serves as a repository for future reference only. All articles and images remain the property of their original sources.

Sunday, 17 February 2008
CORETAN ANGKASAWAN - GELARAN ANGKAWASAN DIIKTIRAF
Topic: - By Dr Sheikh

MENJALANI activiti harian bersama-sama ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS)

Gelaran 'space flight participant' diberikan kepada negara yang bukan ahli ISS

SEJAK kembali ke bumi, saya mendengar pelbagai kontroversi mengatakan angkasawan Malaysia hanyalah sekadar pelancong . Angkasawan Malaysia tidak diiktiraf sebagai cosmonaut mahupun astronaut. Pihak Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) melabelkan angkasawan Malaysia sebagai 'flight participant'. Ia tersebar luas dalam pelbagai berita termasuk laman web seluruh dunia.

Saya mendengar berita ini ketika masih lagi berada di Baikonaur, Kazakhstan dan tidak berkesempatan menceritakan hal sebenar memandangkan terlalu fokus pada misi penjelajahan ke angkasa lepas. Saya tidak hairan apabila rakyat Malaysia melenting dan marah apabila kenyataan ini dikeluarkan. Apa tidaknya. Ini membabitkan maruah negara.

Ada yang mengatakan penghantaran angkasawan Malaysia sebagai suatu pembaziran kerana hanya bergelar pelancong. Mengapa tidak mengiktiraf angkasawan Malaysia sebagai astronaut?

Ketika saya berlatih di StarCity, Russia selama setahun, saya berkesempatan bergaul dan menjalani latihan bersama astronaut serata dunia. Ingin saya tekankan di sini bahawa astronaut adalah gelaran untuk Nasa, cosmonaut untuk Russia, taikonaut untuk China dan angkasawan untuk Malaysia. Ini adalah gelaran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Tidak pernah sekali angkasawan Malaysia disisihkan. Kami berlatih bersama dalam pelbagai aspek termasuk kelas teori, latihan fizikal serta ketahanan hidup. Kami bagaikan satu keluarga tidak mengira bangsa, agama mahupun negara. Banyak ilmu diperoleh sebagai persiapan untuk menjadi angkasawan yang terbilang. Amat penting untuk membuktikan kepada mereka bahawa angkasawan Malaysia setanding dengan negara maju lain.

KEPERCAYAAN yang diberikan kepada angkasawan negara membuktikan semangat Malaysia Boleh

Ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), saya bebas melakukan apa jua yang diingini. Di samping eksperimen yang dijalankan, saya menjalankan pelbagai aktiviti simbolik menggunakan peralatan kamera, perakam video, membaiki peralatan dari Eropah, menjalani ibadat serta bebas bergerak melakukan apa saja yang diingini. Ini menunjukkan kepercayaan yang diberikan mereka terhadap angkasawan Malaysia. Kami bersikap profesional dalam menjalani aktiviti harian demi kebaikan manusia sejagat.

Ramai yang kurang peka terhadap istilah "space flight participant" yang jauh berbeza dengan gelaran "space tourist" yang diberikan kepada pelancong yang berbelanja berjuta-juta dolar untuk penjelajahan ke angkasa lepas. Setakat ini ada lima astronaut bergelar space tourist termasuk rakan karib saya jutawan Anousheh Ansari dan Charles Simonyi yang hanya memerlukan latihan selama enam bulan di StarCity.

Seperti diketahui ISS dimiliki negara Russia, Amerika, Kanada, Jepun dan 14 negara Eropah dan gelaran "space flight participant" pula diberikan kepada negara yang bukan ahli kepada ISS termasuk Malaysia. Korea yang akan menghantar angkasawan mereka yang pertama pada Mac ini juga diberi gelaran "space flight participant". Ini tidak bermakna angkasawan Malaysia tidak diiktiraf memandangkan upacara itu sudah berlangsung pada November sebulan selepas pendaratan. Cuma gelaran saja yang membezakan .

Saya berharap dengan penjelasan ini tidak timbul lagi isu kontroversi mengenai gelaran space flight participant. Bagi saya, yang penting diterima rakyat Malaysia sebagai seorang angkasawan. Malaysia kini berada di era baru. Era sains dan teknologi. Negara seperti China, Korea dan India bersaing bersama negara maju yang lain untuk menguasai angkasa lepas. Kita sudah pasti tidak mahu ketinggalan. Sudah 50 tahun kita merdeka dan pelbagai kemajuan sudah dikecapi. Tetapi pelbagai program harus dilakukan untuk Malaysia untuk terus menuju ke hadapan lebih-lebih lagi dalam bidang aeroangkasa. Sudah terbukti Malaysia mampu menjejak kaki ke ISS setaraf dengan negara maju lain tetapi persoalannya apakah yang berlaku selepas perjalanan bersejarah ini? Saya menggalakkan lebih ramai anak muda membabitkan diri dalam bidang sains dan teknologi supaya Malaysia melahirkan lebih ramai angkasawan, saintis, doktor dan jurutera aeroangkasa supaya Malaysia mampu melahirkan roket Malaysia tersendiri sebelum tahun 2020. Saya yakin ia akan tercapai jika kita bermula dari sekarang. Impian mampu menjadi kenyataan! 

 


 

SOALAN: Dr terbabit dalam pelbagai bidang termasuk sebagai seorang angkasawan dan doktor ortopedik. Bagaimanakan Dr boleh mengurus semua bidang yang diceburi dengan baik?

Dpd: Mohd Sani Sarjadi @ Universiti Malaysia Sabah


JAWAPAN:

Saya berasa sedih apabila seseorang mengatakan tidak ada masa kerana terlalu sibuk. Bagi saya, ada 24 jam sehari dan amat penting untuk kita membahagikan masa mengikut keutamaan. Saya bekerja sebagai doktor ortopedik, memiliki restoran, melakukan modeling dan kini seorang angkasawan. Namun saya masih mempunyai masa untuk melakukan senaman dan aktiviti lain. Paling penting anda harus pandai membahagikan masa.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM WST
Sunday, 10 February 2008
CORETAN ANGKASAWAN - BANGGA DIIKTIRAF SEBAGAI COSMONAUT
Topic: - By Dr Sheikh

Pengiktirafan Russia penting tangkis kontroversi angkasawan Malaysia hanya seorang pelancong

MEMANG sudah menjadi tradisi, setiap insan yang menjelajahi angkasa lepas dengan kapal Soyuz akan diiktiraf oleh pihak Russia sebagai cosmonaut. Ia sebagai satu tanda penghormatan dan kebanggaan buat cosmonaut yang dianggap wira negara yang berbakti dan menabur jasa demi kedaulatan negara.

Apa tidaknya! Krew Russia menetap di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama enam bulan meninggalkan keluarga tersayang demi menjalankan pelbagai eksperimen saintifik untuk kebaikan manusia sejagat.

Saya berasa bangga kerana pihak Russia juga mengaitkan saya dalam upacara pengiktirafan sebagai seorang cosmonaut. Ini penting dalam menangkis pelbagai kontroversi yang mengatakan angkasawan Malaysia hanya seorang pelancong.

Tarikh 9 November adalah hari yang bersejarah buat Oleg Kotov, Fyeodor Urchikin, Sunita Williams dan saya sendiri. Sunita adalah wanita Amerika dalam ekspedisi 15 yang mencipta dua rekod, wanita yang paling lama berada di ISS selama tujuh bulan dan astronaut pertama berlari Maraton Boston selama 3 jam 48 minit di ISS.

Upacara pengiktirafan sebagai cosmonaut berlangsung di Star City Russia bermula di tapak Yuri Gagarin. Hari yang bersejarah ini dihadiri oleh semua cosmonaut Russia yang pernah menjelajahi angkasa lepas, termasuk Valentina Tereshkova, wanita pertama ke angkasa lepas pada 1963 dan media antarabangsa.

Kami diberi bunga carnation yang berwarna merah dan berarak sejauh 200 meter diikuti sekumpulan orkestra yang memainkan lagu kebangsaan negara mereka. Kami berempat diberi makan secebis roti sebagai tradisi kesyukuran sebelum memasuki dewan yang penuh sesak.

Delegasi Malaysia turut hadir bersama ibu bapa yang dikasihi. Saya berasa begitu terharu dan berbangga apabila lagu Negaraku berkumandang sebagai tanda rakyat Malaysia sudah menjejaki angkasa.

Saya memberi ucapan dalam tiga bahasa, Russia, Inggeris dan Bahasa Malaysia. Saya diberi pingat dan sijil serta diiktiraf sebagai cosmonaut. Pengiktirafan yang begitu bermakna buat diri ini. Ini bukanlah kejayaan saya seorang, tetapi kejayaan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan misi ini.

Sepanjang berlatih di Russia, saya bekerja keras untuk membuktikan bahawa Malaysia walaupun sebuah negara kecil mampu bersaing dengan cosmonaut bertaraf dunia.

Saya mempelajari setiap aspek dengan penuh terperinci dan mengambil tanggungjawab seorang angkasawan sebagai sesuatu yang serius. Setiap bulan kami menghadapi peperiksaan untuk menilai prestasi. Saya pastikan menjawab dan mendapat keputusan yang cemerlang.

Ramai astronaut dari Amerika Syarikat dan Eropah serta Jepun membimbing saya ke arah itu. Saya tidak pernah berasa malu untuk bertanyakan sesuatu. Sikap bekerjasama amat penting dalam diri angkasawan.

Inilah yang saya ingin terapkan dalam diri anda. Saya hanya seorang doktor perubatan. Tidak ada perbezaan. Hanya kekuatan mental dan sikap yakin kepada diri sendiri yang boleh membawa anda ke arah kejayaan.

Jika saya boleh melakukannya, anda lagi boleh. Impian sudah menjadi kenyataan. Impian anda juga mampu menjadi kenyataan. Bermulalah dari sekarang. Saya galakkan anda bertanya apa juga kemusykilan dengan menghubungi Berita Minggu. Insya-Allah saya akan cuba menjawab setiap soalan dengan terperinci.

 


 

SOALAN: Saya ingin tahu lebih lanjut mengenai Soyuz serta pengalaman Dr ketika menjalani latihan di Russia dan eksperimen yang dijalankan ketika berada di ISS?

Dpd: Ahmad Mujahid Mazlan @ Terengganu


JAWAPAN:

Struktur Soyuz dicipta untuk kegunaan sekali saja setiap enam bulan. Ia agak kompleks, tetapi lebih selamat berbanding kapal ulang alik Amerika Syarikat walaupun ia memerlukan latihan yang lebih intensif. Krew harus menjalani pelbagai latihan sebelum dibenarkan menaiki Soyuz kerana pelancaran dan pendaratan adalah lebih mencabar.

Latihan di Russia membabitkan kekuatan fizikal seperti larian, berenang, gimnasium, ikhtiar hidup musim sejuk dan laut. Kebuk udara (aerochamber), emparan (centrifuge) dan kerusi pintal (spinning chair) juga memainkan peranan penting. Kekuatan mental dan psikologi diutamakan di Russia.

Pemeriksaan kesihatan terperinci dilakukan setiap tiga bulan. Eksperimen yang dilakukan seperti kanser, bakteria dan penghabluran protein diusahakan bersama saintis tempatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa eksperimen lain bersama Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) dan Agensi Eksplorasi Angkasa Lepas Jepun (JAXA)
.

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM WST
Sunday, 3 February 2008
CORETAN ANGKASAWAN - PELUANG SEUMUR HIDUP SEKALI
Topic: - By Dr Sheikh

DR SHEIKH Muszaphar (kiri), diberi penghormatan memakai pakaian tradisi Kazakhstan selepas selamat mendarat

Russia kaya dengan tradisi yang diikuti dengan penuh semangat, ketekunan

SAYA kembali mendarat di Kazakhstan pada 21 Oktober 2007. Suatu penjelajahan yang sungguh menakjubkan. Sungguh memuaskan. Setiap detik dicatatkan dalam memori ini. Peluang sebegini datang hanya sekali seumur hidup.

Selepas setahun berlatih di StarCity , akhirnya impian menjadi kenyataan. Seolah-olah baru semalam bermulanya perjuangan. Masa berlalu begitu pantas. Udara bumi yang segar membawa saya kembali ke alam realiti. Kami bertiga [termasuk Fyeodor Urchikin dan Oleg Kotov yang menamatkan tempoh enam bulan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS)] menanti selama dua jam sebelum kumpulan penyelamat tiba.

Penduduk tempatan Kazakhstan mula mengerumuni kawasan pendaratan Soyuz termasuk kanak-kanak kecil. Saya diberi sebiji epal sebagai alas perut dan sekeping sejadah dari penduduk yang rata-ratanya beragama Islam. Mereka begitu berbangga dengan kejayaan Islam menjelajahi angkasa lepas.

Kami dipapah dan dibawa ke bandar kecil Kostanai menggunakan helikopter. Kami dikalungkan bunga dan diberikan jubah pakaian tradisi Kazakhstan. Memang menjadi tradisi setiap pendaratan krew akan singgah di bandar kecil ini sebagai tanda penghormatan sebelum berangkat kembali ke StarCity, Russia. Yuri Gagarin, orang yang pertama ke angkasa juga melalui proses sebegini. Russia memang kaya dengan tradisi.

Setiap tradisi diikuti dengan penuh semangat dan ketekunan seperti melawat Kremlin sebagai tanda penghormatan, menanam pokok di Baikonaur, adat mencukur rambut dan membuang air kecil di tayar bas sebelum memasuki Soyuz . Saya cuba lakukan setiap tradisi itu untuk menghayati setiap perjalanan Yuri Gagarin menuju ke angkasa lepas.

 

Selepas tiga jam, kami akhirnya bertolak ke Lapangan Terbang Yuri Gagarin berhampiran StarCity dan disambut oleh media, sahabat handai dan ahli keluarga. Saya berasa gembira kerana dapat berjumpa ibu bapa tersayang yang sentiasa bimbang dalam misi saya ke angkasa lepas.

Kami dikuarantin selama dua minggu di StarCity untuk memastikan keadaan kesihatan kami memuaskan. Setiap hari pelbagai pemeriksaan dijalankan pakar perubatan termasuk pemeriksaan darah, tulang, fisioterapi dan kesihatan mental.

Badan masih terlalu lemah untuk berjalan dan keseimbangan badan masih belum lagi dapat dikawal. Segala-galanya seperti suatu mimpi yang indah. Seolah-olah berada di alam dimensi yang baru.

Kuarantin terpaksa dipendekkan apabila mengetahui adik saya Sheikh Mustapha berada dalam keadaan kritikal. Sesuatu yang di luar jangkaan. Bagi saya ini adalah ujian Allah. Pihak Russia memberi keizinan untuk pulang dalam masa terdekat selepas mendapati kesihatan saya pada tahap memuaskan.

Saya diberi lampu hijau untuk pulang oleh pakar perubatan Russia. Segala persiapan dibuat untuk kembali melihat adik tersayang namun tidak kesampaian. Adik kembali ke rahmatullah dan dikebumikan tiga jam sebelum saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Saya sungguh terkilan kerana tidak dapat melihat jenazah adik tersayang sebelum dikebumikan. Perasaan hiba menyelubungi diri ini. Saya sedar ini adalah ujian Allah. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Inilah ketetapan sejak azali lagi. Saya terima dengan hati terbuka.

Saya harus meneruskan perjuangan untuk negara tercinta. Saya harus pandang ke hadapan dan buat yang terbaik demi kegemilangan negara. Saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab negara. Inilah janjiku untuk mencapai negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Insya-Allah.

Wassalam
Angkasawan Negara

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM WST
Sunday, 27 January 2008
CORETAN ANGKASAWAN - PENDARATAN CEMAS TERSASAR 350 KILOMETER
Topic: - By Dr Sheikh

KAPAL Soyuz selepas membuat pendaratan cemas

Kami berpusing-pusing dan melambung-lambung di dalam kapal Soyuz

PADA 21 Oktober 2007 hari terakhir saya berada di angkasa lepas. Tidak sangka masa berlalu begitu pantas. Segala eksperimen saintifik sudah selesai. Hati ini berasa begitu berat untuk kembali ke bumi. Banyak memori manis yang tidak akan dilupakan.

Setiap detik ketika saya berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dicatatkan di dalam buku nota kecil supaya dapat berkongsi bersama seluruh rakyat Malaysia. Semua hasil eksperimen termasuk bahan simbolik seperti Jalur Gemilang, Rukunegara dimasukkan ke dalam Soyuz yang akan membawa kami pulang. Krew Yuri Malanchenko dan Peggy Whitson akan meneruskan cabaran berada di ISS selama enam bulan manakala saya pulang bersama Fyeodor Urchikin dan Oleg Kotov yang menamatkan tempoh enam bulan di ISS.

WAJAH gembira seorang angkasawan selepas berjaya membawa misi negara di angkasa lepas

Perasaan sedih menyelimuti diri. Namun saya tidak pasti mengapa. Mungkin kerana ini adalah impian saya sejak berumur 10 tahun lagi. Mungkin kerana saya berasa sungguh tenang dapat merasai kebesaran Allah sepanjang berada di angkasa.

Sedang saya bersiap sedia membuat persiapan terakhir, kedengaran suara azan. Ia seolah-olah datang dari dalam ISS. Saya melihat sekeliling pada krew yang lain tetapi mereka sibuk dengan tugas masing-masing. Saya dapat mendengar dengan jelas suara azan itu. Sungguh merdu lagi menyayat hati. Saya sedar ini adalah kebesaran Allah. Saya sedar misi saya di angkasa sudah berakhir dan kini tiba masanya untuk saya kembali ke bumi dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang angkasawan. Misi saya di ISS sudah selesai.

Kami memasuki kapal Soyuz yang sempit lagi kecil dengan pakaian angkasa lepas. Pakaian ini akan melindungi krew ketika memasuki lapisan atmosfera bumi dengan ketinggian suhu 8000 darjah Celsius dan sekiranya bekalan oksigen terputus. Ia mengambil masa 3 jam untuk Soyuz berpisah dari ISS dan mengelilingi orbit sebelum memasuki lapisan atmosfera. Segalanya mengikut perkiraan.

Tiba-tiba kami melihat tanda kecemasan terpancar pada monitor kapal Soyuz. Ini bermaksud kami akan melalui "ballistic re-entry" atau pendaratan kecemasan. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas. Kami berpusing-pusing dan melambung-lambung di dalam kapal Soyuz.

Kami mula merasakan tekanan graviti menekan dada. Dari 2G ia meningkat kepada 9G. Bermakna 9 kali berat badan menghempap dada. Ini membuatkan kami sukar untuk bernafas tetapi kami sudah dilatih untuk bernafas menggunakan abdomen. Pemikiran saya ketika itu hanya kepada eksperimen saintifik yang berada di dalam Soyuz. Saya berdoa supaya eksperimen itu tidak terjejas apabila melalui goncangan yang begitu kuat.

Saintis tempatan sudah bekerja keras untuk menghasilkan eksperimen berkenaan dan ia adalah keutamaan saya ketika itu. Tiga buah payung terjun dilepaskan untuk memperlahankan impak pendaratan pada ketinggian 11.5 kilometer. Saya dapat melihat kepulan api membara melalui tingkap Soyuz. Ketika itu komunikasi sudahpun terputus. Pada ketinggian 1.5 km thrusters dilepaskan di bawah permukaan Soyuz untuk mengurangkan lagi impak pendaratan. Saya masih berasakan hentakan yang begitu kuat apabila soyuz mencecah bumi. Akhirnya kami mendarat selepas melalui pendaratan yang mencemaskan selama 15 minit. Masing-masing masih terikat pada tempat duduk.

DR SHEIKH Muszaphar terus menghubungi ayahnya menggunakan telefon kecemasan sebaik Soyuz selamat mendarat

Bara api dan kepulan asap mula memasuki Soyuz melalui ventilasi yang terbuka secara automatik. Mujur baju angkasa membantu kami bernafas melalui oksigen yang dibekalkan. Komander Soyuz bertindak pantas menutup ventilasi dan memastikan keadaan kami selamat. Kami tidak mampu bergerak memandangkan badan berasa begitu berat. Kami cuma mampu menunggu sehingga kumpulan penyelamat tiba.

Kami terpaksa menunggu 40 minit sebelum pintu dibuka. Memandangkan tempat yang begitu sempit kami dibawa keluar dan di papah mengikut giliran. Badan kami terlalu lemah untuk berjalan dengan sendiri. Keadaan mikrograviti di angkasa membuatkan otot menjadi kecil dan tulang menjadi rapuh. Ini adalah kesan mikrograviti terhadap angkasawan yang berada di angkasa. Kami didukung dan diletakkan di atas padang gurun Kazakhstan yang terbentang luas.

Saya sedar kami terbabas sejauh 350 km dari sasaran. Saya diberi makan epal sambil menghirup udara bumi yang segar. Sambil menanti pakar perubatan dan kumpulan penyelamat yang lain, saya menelefon ayah saya menggunakan telefon kecemasan yang berada di dalam kapal Soyuz. Saya bersyukur kerana selamat kembali ke bumi dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan misi ini berjaya.

Ini adalah kejayaan kami bersama! Kejayaan Malaysia! Kejayaan negara tercinta!

 

Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


Posted by site editor at 12:01 AM WST
Sunday, 20 January 2008
CORETAN ANGKASAWAN - IKAT KAKI KETIKA SOLAT
Topic: - By Dr Sheikh

SHEIKH MUSZAPHAR membaca al-Quran ketika lapang

Panduan beribadat di angkasa hasil persidangan tokoh Islam seluruh dunia

PENGHANTARAN angkasawan Malaysia ke angkasa lepas pada Ramadan, 10 Oktober 2007, menarik minat dunia, terutama negara Islam yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam cara beribadah di angkasa lepas.

Memandangkan saya adalah angkasawan Islam pertama menjelajah angkasa lepas pada Ramadan dan menyambut Aidilfitri raya di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), ramai yang bertanya cara menunaikan solat dan berpuasa memandangkan topik ini tidak pernah dibincang secara terperinci sebelum ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat pertama kali menghasilkan sebuah buku kecil garis panduan 'Pelaksanaan Ibadah di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa' selepas membuat kajian terperinci, termasuk mengadakan pelbagai persidangan bersama mufti dan tokoh agama seluruh dunia dengan harapan akan menjadi panduan kepada angkasawan Islam lain selepas ini.

Beribadah di angkasa lepas tidak pernah diberi perhatian serius sebelum ini walaupun saya adalah umat Islam kesembilan menjelajah angkasa lepas. Mungkin kerana misi yang diutamakan adalah terhadap eksperimen saintifik yang bakal dijalankan.

Saya sempat berpuasa selama dua hari dalam Soyuz sebelum tiba di ISS. Ia adalah pengalaman yang begitu menakjubkan. Walaupun sukar untuk bergerak kerana Soyuz kecil dan sempit, tidak pernah sekali berasa dahaga mahupun lapar.

Memandangkan matahari terbit dan terbenam setiap 45 minit, berdasarkan panduan yang ditetapkan saya masih berpuasa mengikut waktu tempat Soyuz dilancarkan, iaitu di Kazakhstan. Saya berbuka puasa berbekalkan jus, biskut dan roti sambil memerhatikan keindahan bumi melalui tingkap kecil. Ketika ini, saya berasa seperti mencapai infiniti dalam kehidupan.

Bertahun-tahun saya mengembara hingga ke Afghanistan dan Cambodia, seolah-olah mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan dalam jiwa raga ini. Saya berasa kekosongan itu berjaya diisi sepanjang misi di angkasa lepas.

Aidilfitri di ISS disambut dengan penuh kesederhanaan. Saya mengadakan rumah terbuka dengan semua krew berkongsi bersama juadah yang dibawa dari Malaysia seperti rendang Tok, sate dan briyani. Kuih Bangkit juga menghidupkan suasana Aidilfitri.

Cuma lagu takbir Aidilfitri tidak berkumandang. Ketika itu, saya banyak bercerita mengenai keunikan Malaysia kepada krew lain yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam mengenai negara tercinta.

Saya tidak menghadapi masalah menunaikan solat di ISS. Kalau diikutkan, saya perlu melakukan solat sebanyak 80 kali sehari kerana ISS dengan kelajuan 27,000 kilometer sejam mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari.

Bagaimanapun, Jakim menetapkan bahawa solat dilakukan lima kali sehari mengikut waktu Kazakhstan dengan arah kiblat adalah mengikut hala bumi sudah memadai.

Oleh kerana bekalan air begitu berharga, saya dibenarkan bertayammum dengan cara menepuk dinding sebanyak dua kali sebelum menyapu pada muka dan kedua-dua belah tangan.

RENDANG terapung ketika Sheikh Muszaphar menikmati juadah Aidilfitri di ISS

Ketika melakukan solat, saya terpaksa mengikat pergelangan kaki supaya tidak terapung dalam keadaan mikrograviti. Saya juga berkesempatan membawa dua buah al-Quran ke ISS dan membacanya ketika kelapangan.

Sebuah al-Quran saya berikan kepada ibu kesayangan sebagai tanda kasih sayang dan sebuah lagi diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin negara.

Secara keseluruhan, saya tidak menghadapi masalah menjalani ibadah di angkasa lepas dan setiap aktiviti didokumentasi supaya dapat berkongsi bersama umat Islam seluruh dunia. ISS tidak mengira bangsa, agama mahupun negara.

Setiap krew bekerjasama bagai satu keluarga yang mempunyai satu matlamat. Matlamat ketika menjalankan eksperimen saintifik adalah demi kebaikan manusia sejagat. Hormat menghormati dan sikap bekerjasama adalah ciri yang penting dalam kehidupan seorang angkasawan.

Bagi diri saya, 'Islam is a way of life'. Amat penting untuk diri saya membuktikan kepada seluruh umat Islam bahawa tanggungjawab harus dilaksanakan tidak mengira tempat mahupun masa, di bumi mahupun angkasa lepas.

Harapan saya agar dapat mengembalikan keagungan Islam dalam bidang astronomi dan angkasa lepas. Ini adalah tanggungjawab bersama.

 


FAKTA

Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS)

  • ISS adalah kemudahan penyelidikan yang dipasang di angkasa lepas pada 1998.
  • Terletak pada ketinggian antara 350 hingga 460 kilometer (km) di atas permukaan bumi.
  • Bergerak pada kelajuan purata 27,700 km sejam dan melengkapkan sebanyak 15.77 pusingan orbit sehari.
  • ISS adalah projek usaha sama membabitkan agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, Russia, Jepun, Kanada dan beberapa negara Eropah.
  • Projek ISS diumumkan pada 1993 dan dikenali sebagai Stesen Angkasa Lepas Alpha.
  • Bilangan angkasawan yang kini berada di ISS ialah tiga orang.
  • Sumber kuasa elektrik di ISS ialah matahari yang ditukar menggunakan panel solar.
  • Kos ISS sejak dimulakan pada 1980-an hingga 2010 dianggarkan RM428 bilion.
  •  

    Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


    Posted by site editor at 12:01 AM WST
    Sunday, 13 January 2008
    CORETAN ANGKASAWAN - ANGKASA UBAH PERSEPSI HIDUP
    Topic: - By Dr Sheikh

    Detik paling indah ketika berada di ISS adalah apabila melihat bumi ciptaan Allah

    TAHUN 2008, bermulanya nafas baru bukan saja untuk diri saya, tetapi membabitkan segenap lapisan masyarakat Malaysia. Apa tidaknya. Malaysia kini sudah boleh mendongak tinggi dan mendabik dada kerana negara kita berjaya menghantar seorang angkasawan ke angkasa lepas.

    Tahun ini akan membuka lembaran baru untuk kita semua, untuk membuat yang terbaik bagi menempatkan Malaysia di persada antarabangsa, lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi terutama aeroangkasa.

    Tahun ini juga bermula penjelajahan saya ke setiap pelusuk negara dengan harapan dapat menyuntik inspirasi serta membakar semangat, terutama kepada seluruh lima juta pelajar Malaysia. Pada 5 Januari lalu, saya bertapak di Universiti Sains Malaysia USM dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau untuk berkongsi pengalaman ketika berada di ISS (Stesen Angkasa Lepas Antarabngsa). Sambutannya sungguh menggalakkan.

    Walaupun hari Sabtu, ramai pelajar menghadirkan diri untuk mengetahui dengan lebih mendalam cara kehidupan di ISS. Bagi saya, ini menunjukkan satu petanda yang positif dan membuktikan impak Program Angkasawan tersebar dengan begitu luas bukan saja di kalangan kanak-kanak dan pelajar, tetapi setiap lapisan termasuk ibu bapa dan golongan dewasa.

    Sebelum berangkat ke angkasa lepas, saya berjanji untuk menghadirkan diri ke setiap pelusuk negeri mahu pun kawasan pedalaman. Ini adalah janji saya untuk Malaysia. Misi menukar minda rakyat adalah jauh lebih sukar dan mencabar, berbanding misi selama 10 hari di ISS. Bagaimanapun, saya yakin lambat laun ia akan tercapai juga.

    Selain menjalankan eksperimen bersama saintis tempatan (eksperimen kanser sel, bakteria dan penghabluran protein) Agensi Angkasa Lepas Eropah atau ESA (eksperimen persepsi pergerakan, kajian tulang dan perubahan vestibular), Agensi Angkasa Lepas Jepun atau JAXA (kesan radioaktif), amat penting bagi saya menjalankan pelbagai simbolik aktiviti dan memperkenalkan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

    Saya berasa begitu bangga apabila dapat mengibarkan Jalur Gemilang dan membaca Rukun Negara di angkasa lepas. Ini penting memandangkan seluruh dunia memerhati setiap pergerakan dan aktiviti ketika berada di ISS.

    Krew seperti Yuri Malanchenko dan Peggy Whitson, begitu tertarik dengan baju batik yang dibawa bersama dan saya berjanji akan menghadiahkan mereka sepasang baju batik apabila mereka kembali pada bulan Mac nanti.

    Menyambut Aidilfitri di ISS adalah suatu pengalaman yang begitu menyeronokkan. Saya mengadakan `open house’ (rumah terbuka) di ISS dengan menghidangkan juadah seperti rendang tok, sate dan beriani ayam serta kuih bangkit.

    Ia lebih istimewa apabila saya memainkan lagu berirama Malaysia seperti Malam Bulan di Pagar Bintang oleh P Ramlee, Seribu Bintang oleh Alleycats dan Balik Kampung oleh Sudirman. Selama satu jam, kami bersama-sama menikmati juadah. Saya tidak berhenti-henti diajukan pelbagai soalan mengenai keunikan Malaysia.

    Detik paling indah ketika berada di ISS adalah apabila melihat bumi ciptaan Allah. Ia adalah sesuatu yang begitu menakjubkan. Saya sungguh takjub dapat melihat keindahan dan kebesaran Allah. Perasaan ini berlaku setiap kali saya melihat bumi melalui tingkap kecil ISS.

    Pada setiap detik, jantung saya seolah-olah berhenti berdegup. Mata saya langsung tidak berkelip. Lautan biru, gunung-ganang, kepulan awan, semuanya dapat dilihat dengan jelas memandangkan ISS hanya terletak 400 kilometer dari bumi.

    Penjelajahan di angkasa lepas mengubah persepsi saya mengenai erti kehidupan. Saya kini lebih sensitif kepada isu global seperti pencemaran, peperangan dan penderitaan serta kesengsaraan, terutama yang membabitkan wanita dan kanak-kanak. Mungkin kerana selepas melihat bumi ini begitu kecil diselubungi berjuta-juta galaksi memberikan kesedaran yang begitu mendalam dalam diri saya.

    Saya berharap setiap manusia menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjadikan bumi ini selamat untuk generasi akan datang.

    Dalam artikel akan datang, saya akan berkongsi pengalaman mengenai cara beribadah di angkasa lepas memandangkan Malaysia adalah negara pertama menghasilkan garis panduan itu. Semoga pengalaman sebagai angkasawan dapat menjadi pemangkin dan melahirkan lebih ramai doktor, saintis dan jurutera angkasa lepas pada masa akan datang. Tahun 2008 sudah pasti menjadi milik Malaysia. Milik kita bersama!

    Wassalam

     

    Source: Berita Harian Online/ Berita Minggu


    Posted by site editor at 12:01 AM WST
    Sunday, 6 January 2008
    IMPIAN JADI KENYATAAN
    Topic: - By Dr Sheikh

    Dr Sheikh Muszaphar (kanan) memberi kata-kata semangat selepas bersalam dengan Zanil Azwan (tengah) dan Mohd Nazri di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi.

    Dr Muszaphar sentiasa yakin boleh capai cita-cita

    IMPIAN saya untuk menjadi angkasawan bermula ketika berumur 10 tahun lagi. Saya sering mendongak ke langit pada waktu malam seolah-olah mencari sesuatu. Terlalu banyak misteri. Terlalu banyak persoalan. Ketika itu Malaysia terlalu baru dalam bidang aeroangkasa. Namun impian itu terus saya simpan.

    Saya mengambil bidang kedoktoran kerana ia membabitkan sains dan tidak pernah sesekali saya melepaskan impian untuk menjadi seorang angkasawan. Selepas 25 tahun akhirnya impian untuk menerokai angkasa lepas tercapai jua.

    Ramai yang bertanya apakah rahsia anda? Apakah yang mendorong anda sehingga terpilih dari 11,425 rakyat Malaysia? Apakah keistimewaan anda?

    Terus terang ingin saya sampaikan bahawa tiada perbezaan di antara kita. Kekuatan mental dan keyakinan pada diri sendiri adalah kunci kejayaan. Jangan sesekali mencurigai keupayaan anda. Sekiranya saya mampu melakukannya, saya yakin anda lagi boleh!

    Selama setahun saya berlatih di Star City, Russia untuk menjadi seorang angkasawan. Pelbagai halangan dan rintangan saya lalui.

    Dari winter survival di paras beku minus 30 darjah Celsius sehingga dicampakkan ke Laut Mati, Ukraine saya sentiasa berpegang pada prinsip "Malaysia Boleh". Saya sedar ini adalah misi negara.

    Harapan seluruh rakyat Malaysia. Amat penting untuk saya buktikan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia mampu melahirkan seorang angkasawan bertaraf dunia, mampu bersaing di persada antarabangsa. Harapan ini tercapai apabila saya mengibarkan Jalur Gemilang di angkasa lepas. Itu adalah janji saya untuk negara tercinta.

    Ayuh rakyat Malaysia. Kita mulakan hidup baru pada 2008. Catatkan segala impian anda di dalam sebuah diari. Jangan terpesong dari impian itu. Usaha gigih dan sentiasa fokus ke arah impian anda.

    Hanya berbekalkan impian tanpa usaha gigih tidak bermakna sekiranya langkah tidak diambil untuk mengecapi impian itu.

    Buktikan kepada dunia bahawa Malaysia setaraf dengan negara maju lain. Sudah 50 tahun Malaysia merdeka. Sudah tiba masanya kita bangkit dari tidur. Ayuh Malaysia!

    Kini ramai kanak-kanak menyimpan impian untuk menjadi angkasawan. Ramai pelajar sudah berminat mendalami bidang sains. Ramai ibu bapa yang mengatakan anak mereka bersemangat untuk membaca buku berunsurkan angkasa lepas. Guru-guru juga mengatakan pelajar mereka lebih cenderung dalam bidang sains dan matematik. Ini adalah satu impak yang begitu positif terhadap rakyat Malaysia lebih-lebih lagi golongan pelajar dan kanak-kanak.

    Program angkasawan berjaya menambat hati seluruh pelusuk Malaysia di bandar mahupun kawasan pedalaman. Program angkasawan berjaya menyuntik inspirasi sebahagian besar rakyat Malaysia. Inilah harapan dan aspirasi negara.

    Seperti Yuri Gagarin mencetus minda rakyat Russia, seperti Neil Amstrong mengubah corak pemikiran rakyat Amerika, inilah yang diharapkan negara untuk menghantar seorang angkasawan ke angkasa lepas. Menukar minda rakyat supaya lebih positif dan berkeyakinan tinggi adalah langkah pertama dalam menghasilkan rakyat yang berwawasan dan intelektual.

    Sekiranya ini berjaya ditanam dalam setiap individu, saya yakin Malaysia akan dapat menjadi negara yang bertamadun tinggi lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi dalam masa yang terdekat ini.

    Janji saya buat rakyat Malaysia. Untuk menyuntik inspirasi dan membuka minda rakyat Malaysia lebih-lebih lagi golongan belia dan kanak-kanak supaya lebih bersikap positif dan yakin pada diri sendiri, supaya lebih ramai menceburi bidang sains dan matematik.

    Harapan saya agar Malaysia dapat melahirkan lebih ramai lagi doktor, saintis dan ahli sains supaya Malaysia maju dalam bidang sains dan teknologi. Tetapi setiap insan harus memainkan peranan masing-masing terutama guru dan ibu bapa untuk mendidik dan membimbing anak-anak kita untuk bergerak ke hadapan. Sudah tiba masanya kita bangkit dari tidur!

    Jangan sesekali lepaskan impian anda. Tidak ada apa yang mustahil dalam hidup ini. Dengan impian datangnya cita-cita. Dengan usaha yang gigih, saya yakin impian anda akan tercapai jua. Sekiranya saya mengambil masa 25 tahun untuk mencapai impian untuk menjadi kenyataan, saya pasti anda juga mampu melakukannya. Impian anda juga harus menjadi kenyataan. Insya-Allah!

    Ke arah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang!

     

    Sumber: Berita Harian Online/ Berita Minggu


    Posted by site editor at 12:01 AM WST

    Newer | Latest | Older

    free web tracker