Topic: - Var. Formal Appear'ce
KUALA LUMPUR: Dua calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed mengingatkan generasi muda supaya menjauhkan diri daripada tabiat merokok kerana ia syarat utama untuk terpilih menyertai Program Angkasawan Negara.
"Bagi generasi muda yang bercita-cita menyertai Program Angkasawan Negara, kita mesti mengelak daripada terjebak dengan tabiat merokok mulai sekarang dan lebih-lebih lagi tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah," kata Dr Sheikh Muszaphar pada majlis dialog dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Ampang dan Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, di sini, semalam.
BERI DORONGAN: Pelajar SMK Bandar Baru Ampang tidak melepaskan peluang bergambar bersama Dr Sheikh Muszaphar (kiri) dan Dr Faiz, selepas sesi Dialog Bersama Calon Angkasawan, semalam. |
Dr Sheikh Muszaphar berkata, bukan mudah untuk terpilih menyertai program berkenaan sekiranya seseorang itu tidak mempunyai kekuatan fizikal dan mental untuk mengharungi pelbagai cabaran sewaktu menjalani latihan.
"Untuk menjadi angkasawan, kita perlu mempunyai fizikal yang kuat dan menjaga kesihatan diri pada peringkat awal bermula dari usia muda," katanya.
Dr Faiz juga berharap kerajaan dapat menghantar lebih ramai angkasawan pada masa akan datang dan mempunyai roket sendiri untuk menjelajah angkasa.
Kunjungan ke SMK Bandar Baru Ampang yang dihadiri lebih 1,000 dan Maktab Tentera Diraja dengan 500 penuntutnya, adalah lokasi terakhir sebelum berlepas semula ke Moscow, Russia, Jumaat ini.
Mereka turut dijadual menjalani latihan di Laut Hitam, Ukraine pada 15 hingga 21 Julai dan ke Houston, Amerika Syarikat pada 23 Julai untuk menjalani latihan pengendalian dan penyelidikan di NASA Johnson Space Center.
Baru-baru ini, kedua-dua calon angkasawan negara menghadiri majlis khas bersama-sama penuntut baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dan dua sekolah di Negeri Sembilan iaitu Sekolah Menengah Sains Seremban dan Sekolah Datuk Abdul Razak.
Source: Berita Harian Online