Topic: - Abt the Final 2
HARAPAN NEGARA: Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz menerangkan sesuatu kepada pelajar berhubung angkasa lepas ketika lawatan dan program motivasi di Sekolah Menengah Sains Seremban (Saser), di Seremban, semalam. |
SEREMBAN: Dua calon angkasawan akur dengan kontrak, mahu lebih fokus program negara.
"Kami tidak ada masalah apabila dilarang berkahwin sehingga 2009 untuk memberi lebih fokus kepada program angkasa lepas," kata Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 34, seorang daripada dua calon angkasawan negara.
Beliau berkata, larangan mendirikan rumah tangga terkandung dalam kontrak ditandatangani dengan kerajaan selepas berjaya melepasi sesi pemilihan dua calon terakhir menjayakan misi negara itu.
"Peraturan itu tidak menjadi masalah bagi kami kerana ia sudah ditetapkan ketika bermulanya program berkenaan. Kami perlu memberi lebih fokus kerana ia adalah program pertama negara menghantar angkasawan," katanya pada sesi dialog bersama Dr Faiz Khaleed untuk pelajar Sekolah Menengah Sains Seremban (Saser), di sini, semalam.
Seramai 500 pelajar sekolah berkenaan berkongsi pengalaman dengan dua calon angkasawan negara itu sempena program motivasi sekolah itu.
Beliau berkata, peraturan tidak dibenarkan berkahwin itu bertujuan memastikan program angkasawan negara berjaya mencapai matlamatnya dengan memastikan calon tidak mencampuradukkan misi terbabit dengan perkara peribadi.
Sempena lawatan itu, pelajar diberi penerangan oleh dua calon angkasawan berkenaan mengenai peluang cerah dalam bidang sains angkasa.
Sementara itu, Dr Faiz, 26, berkata, program angkasawan negara tidak akan terhenti selepas tamatnya misi pertama itu, sebaliknya akan diteruskan pada masa depan, sekali gus membuka peluang luas kepada mereka berminat menjadi angkasawan.
"Bagaimanapun, bukan mudah menjadi calon angkasawan kerana memerlukan individu itu dilengkapi pelbagai disiplin ilmu, khususnya dalam bidang sains, selain kekuatan fizikal dan mental," katanya.
Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz baru saja menamatkan latihan empat bulan di Star City, Moscow dan kerajaan dijangka mengumumkan angkasawan terpilih untuk dihantar ke angkasa lepas pada 6 Oktober ini, melalui Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober.
Source: Berita Harian Online